"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Sabtu, Februari 28, 2009

Resolusi BPN 3/2009 : Mengutuk Tindakan Karpal Singh


BPN dengan ini mengambil keputusan mengeluarkan resolusi berkenaan tindakan Karpal Singh yang terang dan jelas ingin menaikkan kemarahan bangsa Melayu dan Muslim berhubung tindakannya mencarut perkataan CELAKA beberapa hari yang lalu di Parlimen. Meskipun sudah ditarik kembali namun ia tetap didengar dan dibaca oleh rakyat Malaysia.

BPN merasakan tindakan beliau sangat tidak wajar menggunakan perkataan CELAKA kepada pemuda UMNO tersebut, apatah lagi dengan menuduh Pemuda UMNO sebagai pihak yang telah menghantar dua butir peluru kepadanya tempoh hari. Ini sangat berbahaya kepada suasana harmoni negara kita dan juga boleh menaikkan sentimen kebencian yang boleh memudaratkan orang awam yang tidak berdosa.

Permainan politik keterlaluan ini boleh menimbulkan huru hara di negara kita jika tidak dibendung dengan segera oleh pihak yang berwajib.

Seperti mana yang kita tahu bahawa DAP dan Pakatan Rakyat memang sudah terang terangan sejak dahulu hingga kini cuba menyentuh beberapa isu sangat sensitif negara kita dengan sengaja dan jelas ada niat jahat di sebalik tindakan mereka. Isu babi, azan, tanah, papan tanda jawi, Hindraf adalah contoh yang boleh kita nampak telah dipolitikkan sebelum ini.

Meskipun sudah diberi amaran oleh Raja Raja kita agar isu isu sensitif tersebut jangan diusik atau dicabar oleh mana mana pihak, namun mereka seperti tidak mendengar atau memahami atau menghormati titah Raja kita yang menjadi RUKUN NEGARA yang kedua (Kesetiaan Kepada Raja dan Negara) yang sangat penting sehingga diletakkan di kedudukan tersebut selepas keimanan kita kepada Allah Yang Maha Esa,

BPN dengan ini merasa terpanggil untuk membuat satu Resolusi bersama oleh rakan rakan Blogger BPN agar semua dapat menyedari tindakan Karpal ini sangat berbahaya dan perlu dikutuk oleh kita semua. Jika kita masih sayangkan negara yang menjadi tempat kita bernaung selama ini.


HIDUP BPN !!!

SATU SUARA SATU ARAH SATU AKIDAH...


Disediakan :

Panglima Perang Cyber
Yang Dipertua Blogger Pembela Negara.

28 Februari 2009

Read more...

Khamis, Februari 26, 2009

Isu Elizabeth Wong

Berita terkini, hiburan sensasi. Begitulah isu gambar Elizabeth Wong yang kini tersebar secara MMS atau dalam internet. Sana-sini orang sibuk mencari gambar tersebut. Ada yang kata teringin nak tengok, nak buat koleksi, dan macam-macam lagi.

Saya tidak berhajat untuk memaparkan gambar-gambar Elizabeth Wong yang dikatakan separuh bogel atau dalam posisi intim. Dan saya memang tak berhajat untuk mencari gambar tersebut. Biarlah orang lain yang cari dan tunjukkan dalam blog mereka.


Isu gambar Elizabeth yang dikatakan dirakam sebelum PRU12 memang mengejutkan kerana ia melibatkan pemimpin PKR yang kini menjadi ADUN merangkap exco kerajaan negeri Selangor. Maka timbullah pelbagai tanggapan sama ada daripada pihak Pakatan Rakyat atau masyarakat yang lain.

Isu ini tidaklah besar sangat kerana Elizabeth Wong adalah orang Cina dan bukan beragama Islam. Tetapi yang menjadikan kes ini besar dan bermasalah adalah kerana beliau adalah wakil rakyat PR yang mana suka menuding kesalahan sendiri kepada pihak lain. Dan sememangnya hampir semua pihak dalam PR sehati sejiwa menyokong Elizabeth Wong dan menuduh BN mendalangi penyebaran gambar tersebut.

Tuduhan Anwar Ibrahim kepada pihak BN memang dijangka. Latahan beliau yang sebenarnya dibuat-buat itu bagaikan menyembunyikan sesuatu. Adakah isu ini telah dirancang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kes liwatnya atau sengaja untuk membuatkan BN kelihatan jahat di mata rakyat. Jawapan daripada pihak DAP senada dengan Anwar Ibrahim dan ini amat difahami kerana mereka sedang membodek Anwar. Komen daripada pihak PAS pula tidak sekata antara satu sama lain dan ada getaran keraguan dalam kenyataan mereka.

Saya hairan melihatkan kebanyakan penyokong PR yang terus sahaja menurut kata pemimpin PR tanpa mahu berfikir (atau mungkin sudah tidak mampu berfikir). Mereka cepat menuding kepada pihak yang dituduh pemimpin mereka kurang dari sesaat selepas pemimpin mereka membuat tuduhan.

Lebih mengecewakan bila mereka membela hak Elizabeth Wong untuk berkelakuan menyalahi moral dengan alasan itu adalah hak peribadi dan dilakukan di dalam rumah. Mereka tidak melihat isu perhubungan bebas itu sebagai satu kesalahan selagi dibuat dalam premis tertutup.


Lihatlah makcik-makcik yang menyokong Elizabeth Wong ketika sidang akhbar tempoh hari. Mereka sedarkah apa yang mereka lakukan? Mereka sedarkah apa tanggapan yang mereka timbulkan bila bersungguh-sungguh membela Elizabeth Wong?


Saya mengutuk tindakan menyebarkan gambar-gambar yang mengaibkan tersebut kerana ini memalukan Elizabeth Wong. Sebagai orang Islam, hanya itu yang boleh kita bersimpati kepada beliau. Tetapi dari segi moral, kita tidak boleh bersimpati kerana beliau melakukan kesalahan moral yang berat. Beliau sendiri akui bahawa ia berkemungkinan besar dilakukan oleh bekas teman lelakinya yang tidur di rumahnya (atau mungkin buat benda lain?) dan beliau ada melakukan posisi intim.

Adakah penyebaran gambar mengaibkan tersebut boleh dikaitkan dengan konspirasi politik? Sudah tentu tidak kerana perlakuan tersebut berlaku sebelum orang mengenali Elizabeth Wong sebagai wakil rakyat. Jika gambar tersebut tersebar pada ketika itu, tiada siapa pun yang akan ambil peduli kerana tiada siapa yang kenal Elizabeth Wong.

Kita ambil contoh berita yang pernah disiarkan dalam Kosmo bertarikh 17 Februari 2009 dengan tajuk 'Seks Di Bilik X-ray'. Dalam kes ini, pasangan suami isteri tersebut melakukan hubungan seks di sebuah klinik dan dirakam menggunakan telefon bimbit berkamera pada tahun lepas. Malangnya pada sekitar bulan Oktober atau November 2008, telefon bimbit tersebut telah hilang dan wanita tersebut telah membuatlaporan polis kerana takut rakaman tersebut tersebar. Malangnya, orang yang 'mendapat' telefon bimbit tersebut telah mengedarkan video klip tersebut.

Adakah rakaman mereka tersebar kerana mereka orang terkenal?

Dalam kes Elizabeth Wong, kita boleh mengandaikan bahawa teman lelaki beliau telah merakam gambar tersebut menggunakan telefon bimbit berkamera untuk dibuat kenang-kenangan. Mungkin telefon bimbit teman lelaki Elizabeth telah hilang dan gambarnya menerima nasib seperti pasangan malang tersebut. Sama ada orang yang 'menjumpai' telefon berkenaan kenal atau tidak identiti orang di dalam gambar tersebut, gambar tersebut akan tetap diedarkan melalui kawan-kawan atau internet.

Tapi jika penyebaran gambar tersebut adalah satu perbuatan konspirasi politik, saya tidak nampak ianya dibuat oleh pihak musuh politik. Kemungkinan besar penyebaran gambar tersebut dibuat dengan sengaja sebagai propaganda untuk menjatuhkan musuh politik mereka. Teman lelaki Elizabeth Wong menghilangkan diri pada waktu yang sama gambar tersebut tersebar, dan Anwar Ibrahim cepat menuding jari kepada BN. Amat disyaki...

Jika anda tidak mampu berfikir dengan logik dan masih mahu menyalahkan pihak lain, anda cuba letakkan diri anda dalam situasi ini. Katakanlah, anda seorang perempuan dan merakamkan gambar separuh bogel anda di dalam telefon bimbit berkamera. Bila telefon bimbit tersebut hilang atau dicuri, adakah gambar tersebut tidak akan tersebar disebabkan anda tidak dikenali atau rupa paras anda hodoh? Tidak kira bagaimana sekalipun, gambar tersebut akan tersebar. Jika anda tidak percaya, cubalah buat...

Dalam mana-mana agama sekalipun, tiada yang membenarkan zina. Ia adalah perbuatan terkutuk dan dikeji. Apalagi kita sebagai umat Islam tidak boleh berkompromi dengan perbuatan zina, berkesedudukan atau apa saja yang berkaitan dengannya; walaupun ia dilakukan oleh orang beragama lain.

Namun yang menimbulkan keraguan, adakah perkara ini melibatkan rancangan Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan BN? Adakah perkara ini dirancang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kes liwat Anwar? Atau adakah perkara ini dirancang sebagai propaganda kejahatan BN?

Helmi Malek, bekas teman lelaki Elizabeth Wong yang juga ahli PKR, kini berada di negara jiran dan tidak dapat dikesan. Nampaknya sama seperti semua orang yang berkaitan dengan Anwar Ibrahim, iaitu menghilangkan diri selepas membuat sumpah berkanun, laporan palsu atau berkaitan sesuatu isu. Elizabeth Wong pun sudah keluar negara dengan alasan untuk mencari ketenangan. ADUN Bukit Semambu pun melarikan diri ke luar negara juga. Orang PKR diajar untuk lari? Banyak betul duit korang semua lari ke luar negara.

Dan PAS sendiri ada 2 versi reaksi berkenaan isu ini. Di satu pihak yang melibatkan Ustaz Nik Aziz dan Husam Musa, mengutuk penyebaran gambar tersebut dan turut sama menyalahkan pihak lawan (BN) yang dituduh melakukan penyebaran gambar tersebut. Pada masa yang sama, mereka beserta para pengikut mereka mahu Elizabeth terus kekal sebagai ADUN Bukit Lanjan.

Satu pihak lagi di dalam PAS mahukan Elizabeth Wong meletak jawatan dan digugurkan kerana perlakuan tidak bermoralnya menjejaskan nama baik PR dan merosakkan agama. Jika anda ahli PAS, pihak yang manakah anda sokong?

Elizabeth Wong sudah pun pergi menenangkan jiwa di luar negara, tetapi kita yang masih di sini tetap dengan tuduh-menuduh. PR tuduh BN, BN nafikan, blogger buat teori. Sudahlah, jangan nak gaduh-gaduh lagi. Cuba kita tumpukan perhatian pada agama, bangsa dan negara. Masih banyak untuk diperjuangkan.

Read more...

Selasa, Februari 17, 2009

Mercedes - Camry. Apa Pendapat Anda?

Sejak saya tinggal di Selangor ni, ramai juga sahabat-sahabat lama dari jemaah PAS masa zaman IPT dulu yang menghubungi saya. Malah ada juga yang sanggup datang ke tempatkerja saya semata-mata untuk bertemu. Maklumlah, sudah lama tak bertemu. Lagipun jika saya yang mahu cari mereka, bukannya saya mahir sangat dengan jalan-jalan di KL dan Selangor ni.

Tengahari tadi, seorang sahabat yang dipanggil Yan datang mengajak saya minum di warung. Tapi disebabkan warung atau kedai makan yang ada di sekitar tempat kerja saya itu penuh, akhirnya kami masuk makan di KFC.

Kami banyak berbicara hal-hal lama dan hal peribadi sebelum tiba-tiba Yan mengajukan soalan yang amat memenatkan otak untuk difikir. Biasalah, berkaitan politik juga. Politik ni dah jadi macam agama pula. Sensitif untuk dibincangkan.

Soalannya : Bila Kerajaan Negeri Terengganu beli Mercedes Benz untuk kegunaan Exco, semua pihak (kerajaan pusat, rakyat, pemimpin PR, penyokong PR) bising dan menuduh Kerajaan Negeri Terengganu membazirkan wang rakyat. Tapi bila Kerajaan Negeri Perak dan Selangor di bawah PR yang beli Toyota Camry, kerajaan pusat tak bising dan penyokong PR bela keputusan beli kereta tu. Kenapa?


Panjang betul soalannya. Disebabkan soalan terlalu panjang, saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk memikirkannya. Lagipun ini soalan politik. Isu antara kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat dah jadi macam isu agama. Salah cakap, ramai yang marah...

Sewaktu Kerajaan Negeri Terengganu membeli Mercedes Benz untuk kegunaan MB dan exco, seluruh Malaysia marah dan mengutuk tindakan tersebut. Di pihak kerajaan BN, mereka berpendapat bahawa tindakan ini melanggar pekeliling yang dikeluarkan agar menggunakan kenderaan tempatan sebagai kenderaan rasmi.


Dari pihak Pakatan Rakyat (pemimpin, penyokong, blogger dsb.), semuanya mengutuk tindakan tersebut sebagai membazirkan duit rakyat, untuk bermewah-mewah, dan sebagainya. Para pemimpin PR menjadikan isu ini sebagai satu pengisian utama ceramah mereka dan sebagai modal untuk membuatkan rakyat benci kepada BN. Penyokong pula bercerita di kedai kopi dan yang suka mengutuk pula memang menjadikan isu ini sebagai bahan kutukan utama terhadap BN. Blogger PR pula seperti yang kita sedia maklum memang menjadikan isu ini sebagai hidangan dan santapan utama pembaca, ditambah dengan rencah makian dan kutukan.

Dato Dr Abdul Rahman keluar dari Mercedes Benz rasmi beliau

Para penyokong BN sendiri pun kesal dengan pembelian kenderaan mewah tersebut kerana berpendapat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk kebaikan rakyat.

Akhirnya akibat tekanan daripada pihak Kerajaan Pusat sendiri, Kerajaan Negeri Terengganu menggunakan semula Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi. Mercedes Benz tersebut terpaksa disimpan untuk kegunaan tetamu kenamaan sahaja.


Apa cerita dengan Toyota Camry yang dibeli Kerajaan Negeri Perak dan Selangor? Ada bising-bising?

Tentulah ada yang bising-bising dan marah dengan tindakan tersebut. Tapi, siapa yang marah? Yang marah cumalah pemimpin BN (secara individu), penyokong BN dan para blogger penyokong BN. Kalau orang dari PR, tak pula dengar suara marah mereka seperti mana orang BN marah Kerajaan Negeri Terengganu beli Mercedes Benz.

Mungkin saya seorang sahaja orang PAS yang marah sebab diorang cakap tak serupa bikin. BN beli, dikatakan membazir wang rakyat. PR beli dikatakan kerana Proton Perdana mudah rosak dan tidak berkualiti. Semua penyokong jadi pak turut. Walhal dulu pun MB Terengganu beri alasan macam itu juga, tapi semua orang tak mahu terima.

"Bestnya nak Camry baru," kata Nizar sambil melambaikan tangan.

Kadang-kadang kita mahu beri komen pun susah kerana isu politik antara BN dan PR ni dah jadi macam isu agama pula. Bila diusik, maka jadilah isu sensitif. BN usik PR, semua orang PR marah dan maki-hamun BN. PR usik BN, semua orang BN marah dan maki-hamun PR.

Saya cuma berpendapat bahawa kerajaan BN malas mahu campur hal pembelian Toyota Camry tersebut kerana tidak mahu terjadi isu atau perbalahan. Biarlah Perak dan Selangor nak buat apa pun. PR memang bertuah kerana para penyokong PR memang kaki turut apa sahaja yang pemimpin PR buat dan akan sentiasa sokong walaupun pemimpin PR tak jaga pun kebajikan mereka.

Apa pendapat anda?

Read more...

Sabtu, Februari 14, 2009

Jangan Biadab!


KENYATAAN AKHBAR KHAS PENEGASAN TERHADAP PERGOLAKAN POLITIK YANG BERLAKU DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa pada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan beta Perkara ini lebih-lebih lagi dirasai oleh beta kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah ayahanda saudara beta. Malah, keluarga diraja kedua-dua buah negeri ini mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman baginda, sesuai dengan kedudukan baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara. Baginda dan keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit.

Apa yang kita dapat saksikan yang telah dan sedang berlaku semenjak minggu lalu di negeri Perak amat membimbangkan sesiapapun yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama.

Kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya “mob" amat memalukan.

Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, “barulah kita kenal siapa kaca siapa permata”. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang “marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar”.

Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita. Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Kegawatan ekonomi yang semakin meruncingkan di peringkat global dan serantau menuntut kita supaya memantapkan perpaduan sesama kita walaupun ada perbezaan pendirian. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana.

Kepada mereka yang telah berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi raja-raja, maka beta ingin menasihatkan supaya rakyat menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan seterusnya.

(DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ)
SULTAN SELANGOR
13 Februari 2009

Read more...

Rabu, Februari 11, 2009

Politik Punya Hal...

Baru-baru ini hampir dalam semua akhbar di muka hadapan memaparkan kenyataan Anwar Ibrahim untuk berunding dengan Karpal Singh agar tidak meneruskan niatnya menyaman Sultan Perak.


Yang menjadi persoalannya, mengapakah Anwar menunggu sehingga beberapa hari untuk respon kepada niat Karpal Singh itu? Adakah sebelum ini Anwar sibuk hingga tidak ada masa untuk mengambil tahu hal tersebut? Atau menunggu kes ini panas beberapa ketika sebelum keluar menjadi hero?

Ada seorang sahabat membuat jenaka darihal berita ini. Katanya, mengapa Anwar nak pergi jumpa untuk berbincang? Telefon kan lebih mudah. Cepat dan segera. Guna 3G boleh tengok muka. Jika mahu pergi berjumpa, entah bila boleh berbincang.

Tindakan Anwar ini sebenarnya tidak berupaya untuk menjernihkan kembali luka yang tercalar di hati Sultan Perak disebabkan tindak-tanduk para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat yang menghina institusi raja di Perak.

Antara bentuk penghinaan terhadap institusi raja Perak adalah seperti keengganan Nizar untuk melepaskan jawatan MB, rusuhan penyokong PR yang menghalang dan merosakkan kenderaan rasmi raja, penghinaan terhadap Sultan Perak di dalam blog-blog pro-PR, serta pelbagai tuduhan liar terhadap Sultan Azlan Shah.

Tindakan para pemimpin PR terutamanya PAS dan PKR yang sengaja menyuruh para penyokong pergi bersolat Jumaat di Masjid Ubudiah adalah tindakan terancang yang tidak perlu dinyatakan arahan seterusnya. Bila sudah ramai penyokong yang berada di sana ditambah pula dengan 'panas hati' akibat jatuhnya kerajaan PR Perak, maka secara automatiknya para penyokong akan merusuh. Apa yang diperlukan adalah sedikit 'minyak' untuk dicurahkan ke dalam hati-hati yang sedang panas menggelegak itu.


Rusuhan yang buruk itu bukan sekadar menghalang laluan kenderaan anggota diraja, malah tindakan ramai di kalangan perusuh yang menendang kenderaan dan membaling batu sehingga memecahkan cermin kenderaan keluarga diraja amatlah memberi kesan buruk kepada imej PR. Yang paling terkesan sekali adalah imej PAS yang dipandang jahat oleh orang ramai. Malah kebanyakan penyokong PKR menafikan tindakan jahat itu adalah oleh penyokong PKR, dan tentulah mereka menuding kepada PAS. Alasannya, semua perusuh memakai kopiah dan serban. Tentulah pakai kopiah dan serban kerana selepas solat Jumaat. Orang PKR di sana tak solat Jumaat ke?


Di ruang siber sekalipun banyak blog pro-PR yang menjadi pak turut kepada para pemimpin yang biadap sehingga ikut sama menghina dan mengutuk sultan. Maka keluarlah pelbagai 'nas' atau dalil yang entah diambil dari mana untuk menghalalkan perbuatan mengutuk Sultan Perak.

Kita sedia maklum akan pelbagai tuduhan yang ditujukan kepada Sultan Perak. Antaranya tuduhan berpihak kepada UMNO, bencikan PR, malah tuduhan bersikap zalim terhadap rakyat. Sepatutnya kita bersyukur kerana Sultan Perak memilih wakil kita dari PAS untuk menjadi MB walaupun kerusi ADUN PAS adalah yang paling sedikit.

Tindakan para penyokong PAS (jika benarlah semuanya penyokong PAS) yang merusuh sebenarnya membuatkan orang lain yang gembira. DAP tidak perlu mengapi-apikan penentangan terhadap sultan Melayu kerana orang Melayu PAS (yang lebih Islam kononnya) sendiri melakukan penentangan terhadap sultan Melayu. Malah ruang Anwar untuk menjadi PM (jika PR berjaya menjatuhkan kerajaan BN) akan lebih terbuka. Pemimpin PAS tidak akan mendapat apa-apa malah Yang Dipertuan Agong pasti tidak akan memilih pemimpin PAS untuk jadi PM kerana PAS melakukan penentangan dan menghina raja Melayu. Nauzubillah...


Saya sebenarnya tidak pasti adakah para penyokong yang merusuh dan Unit Amal PAS yang menjadi pengawal kediaman MB Perak itu patut dipuji kerana setia kepada parti dan pemimpin, atau harus dikecam kerana jadi pak turut secara membabi-buta? Bagaimana pula dengan pemimpin yang degil enggan meletak jawatan walaupun selepas dititahkan oleh sultan yang melantiknya sebelum ini?


Kini Nizar pun sudah setuju untuk keluar dari kediaman rasmi MB tersebut. Maka tamatlah tugas Unit Amal yang sentiasa setia kepada arahan pemimpin parti tanpa banyak soal. Nasib baiklah makan minum ditanggung beres. Bolehlah mereka kembali kepada keluarga dan meneruskan hidup seperti biasa. Jika dapat elaun hasil dari tugas mengawal itu, berbaloilah juga.

Minda kita harus diubah agar sentiasa dapat berfikir matang sebelum melibatkan diri dalam apa sahaja yang dilakukan oleh pimpinan parti. Jangan mengikut atau bertindak tanpa memikirkan dahulu baik-buruknya, kerana apa yang kita lakukan itu seumpama membawa nama parti. Jika buruk yang kita buat, maka buruklah nama parti. Lebih-lebih lagi bila kita adalah dari parti Islam...

Orang-orang kita terlalu mengutamakan politik dari segala perkara yang lain. Kerana politik, kita bermusuhan. Kerana perbezaan ideologi politik, kita menganggap orang lain jahil dan kita lebih Islam berbanding orang lain. Kerana politik jugalah, ada makmum yang memilih tempat sembahyang kerana tidak mahu berimamkan orang yang bukan dari parti mereka. Dan disebabkan politik jugalah, ramai blogger yang berbalah sesama sendiri untuk menegakkan pemimpin pujaan mereka (pemimpin tak tegakkan hak rakyat pun).

Kepada penyokong PAS, janganlah kita mengikut rentak parti lain selain parti kita sendiri. Biarlah DAP dengan opera mereka dan biarkan juga PKR dengan ronggeng mereka. Kita bukan pelakon opera dan kita bukan penari ronggeng (macam Anwar). Manakala untuk penyokong parti lain, bersama-samalah kita membawa kebenaran dan keikhlasan dalam setiap perjuangan kita. Hentikan fitnah dan tohmahan.

Ini juga bukan masa untuk kita mementingkan diri kita. Sekarang adalah masa untuk kita menjulang agama Islam agar lebih dihormati di negara ini, juga di seluruh dunia. Dan ini juga masanya untuk kita membela nasib bangsa kita, serta membantu membentuk negara yang aman dan makmur.

Satu sahaja seruan saya, kita dahulukanlah agama Islam sebelum kita mengutamakan parti. Seperti kata mentor saya dalam Pas, "Perjuangkan agama Islam sebelum perjuangkan parti Islam..."

Read more...

Selasa, Februari 10, 2009

Sembang Dengan Sahabat Lama

Seorang sahabat lama menghubungi saya sambil bertanyakan suasana di rumah baru dan kerja baru. Padahal dah 10 hari saya di sini dan dia pun pernah mengatakan nak datang ke sini minggu lepas. Dia tak datang dan hari ni cuma telefon sahaja.

Habis bercerita tentang rumah baru saya, sahabat saya ini yang juga salah seorang pertugas PAS Pusat bercerita pula mengenai kepimpinan PAS (yang tertentu) sedang cuba mengusir anasir erdogan yang nampaknya membarah dalam parti dan penyakit ini sudah berjangkit kepada golongan muda belia.

Erdogan yang diperkatakan ini adalah golongan liberal dan yang menyokong Anwar Ibrahim. Liberal dari segi tingkahlaku dan perbuatan, serta sikap membiarkan bangsa lain mempermainkan agama Islam termasuklah membenarkan orang Kristian menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada tuhan. Yang menyokong Anwar Ibrahim pula, sudah semestinya anda fahami sangat-sangat.

Saya yakin ramai di kalangan kita dalam parti yang kenal siapa golongan erdogan ini. Memang terlalu ramai dan mereka banyak memegang tampuk penting kepimpinan parti. Dengan kerjasama yang rapat antara kita, golongan ini boleh diketepikan sedikit demi sedikit. Cuma menurut kata sahabat saya ini, Ustaz Nik Aziz begitu rapat dengan golongan erdogan ini. Kerana itulah kadangkala kita melihat beliau menyokong puak erdogan ini atau membuat kenyataan yang mengelirukan seperti selalu.

Golongan belia pula nampaknya mengikut rentak orang-orang PKR yang sentiasa memandang buruk kepada parti lawan tetapi menganggap apa sahaja yang dilakukan oleh parti sokongan mereka adalah benar. Contohnya jika kerajaan negeri pimpinan UMNO beli Mercedes, dikatanya membazir wang rakyat dan mahu berlagak. Tapi bila kerajaan negeri pimpinan PR beli Camry, dikatanya untuk kebaikan demi menjimatkan wang negeri? Atau jika orang UMNO lompat parti ke PR, dikatakan sebagai tindakan yang bermaruah dan baik. Tetapi jika orang PR melompat ke UMNO, dikatakan sebagai tidak bermaruah dan makan rasuah. Banyak lagi contoh lain...

Tapi jika merujuk kepada 'yang menyokong Anwar Ibrahim', rasanya susah sikit. Saya sendiri sukar nak faham maksud 'menyokong' itu. Sahabat saya berkata, "Apa yang susahnya? Mereka tu sokong Anwar Ibrahim dan melebihkan dia berbanding pemimpin kita sendiri."

Jika begitulah takrifan 'menyokong Anwar', maka terlalu ramai yang terpaksa kita ketepikan. Mungkin terpaksa tutup cawangan atau macam-macam lagi. Ahli pun perlu ditapis. Unit Amal pun perlu ditarbiahkan semula. Apalagi para pemimpin yang begitu condong kepada Pakatan Rakyat lebih dari mengutamakan PAS sendiri.

Ambil contoh di kampung saya sendiri, para penyokong PAS lebih banyak berbicara mengenai Anwar Ibrahim lebih dari pemimpin PAS. Kiranya Anwar lebih diagung-agungkan dan mereka menerima sahaja apa yang diperkatakan oleh Anwar Ibrahim walaupun ianya meragukan, tipu dan fitnah. Padahal penyokong PAS di kampung saya kebanyakannya adalah tok lebai, tetapi malangnya menerima sahaja apa yang disuapkan tanpa memikirkan benar atau salah.

Jika ditanya kepada para penyokong PAS di mana-mana sahaja, siapakah yang layak menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menguasai majoriti Parlimen? Sebahagian besar akan menjawab Anwar Ibrahim. Ya, jika dilihat dari kedudukan kerusi Parlimen dalam PR tentulah Anwar Ibrahim akan jadi PM kerana PKR memiliki kerusi Parlimen paling banyak. Tambahan pula dengan usahanya untuk memancing ahli Parlimen BN lompat parti ke PKR, tentulah PKR yang lebih berkuasa.

Tapi bagaimana jika kerusi Parlimen PAS lebih banyak berbanding PKR? Malangnya ramai juga yang menjawab Anwar Ibrahim. Kenapa? Kata mereka, Anwar Ibrahim lebih bagus (berbanding pemimpin PAS?). Bagus dari segi mana? Dari segi buat propaganda dan tohmahan agaknya.

Jadi, bagaimana kita nak buat penyokong PAS kembali mengangkat pemimpin PAS dan ketepikan Anwar Ibrahim? Haji Hadi tak boleh jadi PM? Jika bukan Haji Hadi, kita masih ada Nasaruddin Mat Isa. Beliau juga bagus. Husam tak payahlah...

"Masih jauh nak cakap pasal Pakatan Rakyat jadi PM. Jangan mimpilah," kata sahabat saya...

Read more...

Kasihan Karpal Singh

Malang sungguh nasib Karpal Singh. Setelah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi ketua Pakatan Rakyat dan menyuarakan rasa hatinya dengan tingkahlaku Lim Kita Siang dan Lim Guan Eng yang tidak menyokong atau membela kata-katanya, kini sekali lagi beliau ditimpa malang.

Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sekali lagi tidak membela kata-kata Karpal Singh dan mahukan Anwar terus memimpin Pakatan Rakyat.

Karpal Singh

"Anwar tidak layak memimpin Pakatan kerana beliau hanya memberi masalah kepada pakatan pembangkang itu."

Karpal membuat kenyataan itu beberapa hari selepas Pakatan kehilangan kerajaan negeri Perak kepada BN.

Karpal mendakwa ia berpunca daripada tindakan tidak bermoral Anwar meminta wakil rakyat BN menyertai Pakatan bagi menguatkan kedudukannya.

Lim Guan Eng

"DAP mengulangi sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan alternatif yang demokratik, memusatkan rakyat dan kepimpinan beretika berdasarkan lima prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan sosial dan nilai moral universal.

"Sehubungan itu, DAP menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemimpin Pembangkang di Parlimen dan akan kekal (dalam kedudukan itu) memandangkan tiada pemimpin tunggal yang pernah mempersoalkan perkara ini semasa mesyuarat dalaman di mana-mana peringkat," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guang Eng menegaskan, Anwar akan kekal sebagai ketua Pakatan Rakyat seperti yang dipersetujui barisan kepimpinan pakatan itu.

"Beliau akan kekal demikian kerana tiada mana-mana pemimpin yang pernah mempersoalkan perkara ini pada mesyuarat dalaman, sama ada di peringkat tertinggi atau sebaliknya," kata Guan Eng lagi.

Beliau berkata, Pakatan telah meluluskan satu ketetapan bahawa tiada dasar mana-mana parti boleh dianggap sebagai dasar Pakatan, melainkan ia dilulus sebulat suara oleh ketiga-tiga parti yang menganggotai pakatan itu.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut turut meminta Karpal supaya menggunakan saluran dalaman parti jika ingin mengubah dasar Pakatan dan tidak menggunakan media dikawal Barisan Nasional (BN) bagi tujuan itu.

Lim Kit Siang

"Saya terkejut dan tersinggung dengan kenyataan Karpal semalam,"

"Biarkan DAP menyelesaikan apa jua perbezaan secara dalaman memandangkan ia tidak harus dibenarkan untuk mengalih usaha bagi menyelesaikan kedua-dua krisis politik dan ekonomi yang dihadapi rakyat Malaysia,"

Hahaha! Peduli apa dengan Karpal Singh...

Read more...

Isnin, Februari 09, 2009

Al-Fatihah


Al-Fatihah untuk Allahyarham Tuan Haji Roslan Shaharum (Ahli Parlimen Bukit Gantang, Pengerusi Yayasan Perak)

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM, dulu ITM) di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.

Diharapkan agar pemergian beliau akan dikenang segala jasa dan budi sepanjang menjadi pemimpin parti dan ahli Parlimen Bukit Gantang. Janganlah terburu-buru bercakap hal meletak calon pilihanraya kecil sedangkan Allahyarham baru sahaja dikebumikan. Tinggallah kita untuk meningkatkan amalan dan memperbanyakkan kebaikan.

Read more...

Ahad, Februari 08, 2009

Anwar Tidak Layak Jadi Pemimpin PKR!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti. - Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh


Begitulah lantangnya Karpal Singh sehingga sanggup mengecam Anwar Ibrahim akibat tindakannya 'mempromosikan lompat parti'.

Karpal Singh pasti marah kerana promosi Anwar itu akhirnya memakan diri mereka sendiri apabila orang-orang PR yang akhirnya melompat ke BN atau menyokong BN. Ini lebih terkesan lagi apabila kerajaan negeri PR di Perak akhirnya jatuh ke tangan BN akibat 3 ADUN mereka keluar dari parti masing-masing dan menyokong BN.

Sebelum ini Anwar sibuk mencanangkan bahawa ramai ahli Parlimen dan ADUN bari BN akan melompat parti kepada PR dana akan membolehkannya membentuk kerajaan baru dan menjadi PM melalui aktiviti lompat parti.

Sememangnya sebelum ini para pemimpin PR yang lain tidaklah menyukai tindakan lompat parti ini kerana risau anggota mereka menyeberang ke BN. Sehinggakan mereka menyokong penggubalan akta lompat parti. Hanya Anwar sahaja yang tetap mencanangkan kemuliaan aktiviti ini. Maklumlah, anggota BN lompat ke PR akan membolehkannya menjadi PM. Bila jadi PM, bolehlah menutup kesnya yang popular itu.

Bila ADUN Bota melompat parti ke PKR, maka semua pemimpin dalam PR membuat kenyataan bahawa Datuk Nasa sudah sedar dan insaf akan kesilapannya bersama BN. Mereka memandang perbuatan lompat parti tersebut sebagai perbuatan baik dan mengalu-alukannya.

Namun bila berlaku sebaliknya, maka sedarlah PR bahawa tindakan lompat parti yang dipandang mulia (jika BN lompat ke PR) telah memakan diri mereka sendiri. Mereka tidak dapat menambah kerusi DUN atau parlimen, malah kehilangan sebuah negeri. Adakah begini yang dirancang Anwar?

Tidak hairanlah mengapa Karpal Singh begitu marah dengan apa yang telah terjadi. Bukan sekadar idea lompat parti atau 'curi calon' yang dirangka Anwar telah menghancurkan kerajaan Negeri Perak di mana DAP menguasai kerusi majoriti PR, malah disebabkan kebanyakan pemimpin DAP menjadi pak turut kepada Anwar sehingga tidak menyokong Karpal Singh yang merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP.

Salah satu gesaan Karpal dalam kenyataan berkaitan hal ini adalah agar DAP keluar dari Pakatan Rakyat. Adakah pemimpin DAP yang lain akan menyokong Karpal Singh kali ini? DAP sudah hilang kuasa majoriti di Perak tetapi masih memegang kuasa di Pulau Pinang. Tidak rugi jika DAP keluar PR kerana mereka boleh menentukan halatuju baru tanpa perlu mengikut telunjuk Anwar yang telah menghancurkan mereka di Perak...

Read more...

Jangan Hina Raja Melayu

Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)

Tindakan mahu menyaman Sultan Perak adalah suatu langkah yang tidak bijaksana, berbaur politik, agenda pakatan pembangkang dan tidak menghormati hak raja di dalam Perlembagaan. Ia adalah amat memalukan, raja perlu dihormati. – MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO)

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, institusi raja dilibatkan begitu agresif sehingga ke peringkat perundangan hanya akibat daripada kekecewaan politik segelintir pihak. – DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Seolah-olah kita (orang Melayu) jadi patung wayang kulit, Karpal Singh pula menjadi `tok dalang’, manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengadu domba. – JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida)

Tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan. Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu tidak akan berdiam diri. – IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa)

Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu. Tindakan mereka membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat. – FERIZ OMAR (Presiden Prowaris)

Read more...

Sabtu, Februari 07, 2009

Terimalah Keputusan Sultan


Kemelut politik di Perak memang telah begitu teruk hinggakan Karpal Singh dan PR mahu menyaman Sultan Azlan Shah atas keputusan baginda sultan untuk melucutkan jawatan Nizar. Malah PR menganggap kerajaan negeri Perak yang baru yang dibentuk setelah 3 adun PR menyokong BN adalah kerajaan haram. Malah Sultan Azlan Shah juga dituduh memihak kepada BN.

Memandangkan PR kehilangan sokongan majoriti di dewan negeri, maka Sultan Perak telah mengarahkan agar MB Nizar dan para exco PR agar meletak jawatan. Ya, begitulah keadaannya bila kita menjadi majoriti. Tentulah bukan kita yang berkuasa.

Sultan Perak juga tidak berkenan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri. Mengapa? PRU12 belum mencecah 1 tahun, dan PR mahu membuat 1 pilihanraya lagi di negeri Perak. Selain membazirkan wang negara, negeri dan wang parti politik terbabit, ia juga akan mencetuskan keadaan tidak aman di Perak akibat kempen politik yang kotor kebelakangan ini serta tindakan para penyokong yang tidak mampu menggunakan otak yang dianugerahkan Allah.

Tindakan PR melalui Nizar yang bertindak membubarkan DUN sebelum mendapat perkenan Sultan Perak telah menimbulkan pelbagai persoalan di minda manusia yang waras. Kemudian tindakan Nizar enggan melepaskan jawatan MB walaupun exco PR yang lain melepaskan jawatan masing-masing. Sehingga ke hari ini pun Nizar belum memulangkan Toyota Camry yang digunakannya. Mungkin kerana belum puas merasa naik kereta baru yang mewah.

Diburukkan pula oleh kenyataan Karpal Singh (yang katanya mewakili PR) yang mahu menyaman Sultan Perak kerana tindakan baginda sultan memecat exco PR. Pada mulanya para pemimpin PR bagaikan mengiakan tindakan saman ini tetapi pada hari ini masing-masing menafikan mahu menyaman Sultan Perak. Nampaknya Karpal Singh terpaksa menghadapi kemarahan orang Melayu dan kemurkaan Sultan. Karpal Singh perlu jawab; adakah beliau membuat kenyataan untuk menyaman Sultan Perak sebagai mewakili PR atau ianya tindakan beliau sendiri yang mahu menyaman sultan?

Nizar dipilih oleh Sultan Perak untuk menjadi MB Perak walaupun PAS mendapat kerusi DUN paling sedikit di antara parti lain dalam PR. Maka Sultan Perak juga berhak untuk menyuruh Nizar meletak jawatan. Janganlah menambah duka dan murka di hati Sultan Perak atas apa yang telah dilakukan semasa PR memerintah Perak hinggakan hanya bangsa lain yang mendapat faedah atas setiap keputusan kerajaan PR. Maklumlah, DAP yang berkuasa kerana mereka yang lebih banyak kerusi DUN.

Siapa MB Perak?

Moga Nizar dapat menghormati keputusan dan titah Sultan Azlan Shah atas kapisiti sebagai orang Islam, bangsa Melayu dan orang yang telah dilantik oleh baginda sultan. Biarlah BN berkuasa. Ambillah masa ini untuk muhasabah diri kita atas apa yang telah kita lakukan sepanjang memegang kuasa. Jika setakat ini takdirnya kita berkuasa, maka terimalah qada dan qadar daripada Allah. Berusahalah untuk membuktikan keupayaan kita bermula dari hari ini agar lebih ramai akan memilih kita sebagai pemimpin.

Jangan derhaka kapada Sultan kerana tiada sekelumit pun kezaliman dalam keputusan baginda sultan. Dan sultan juga tidak memihak kepada mana-mana parti politik kerana Sultan Perak berkepimpinan tinggi. Malah baginda juga amat arif hal perundangan dan amat bijaksana.

Terimalah keputusan Sultan. Jangan bertindak memalukan diri sendiri. Hentikan sibuk dengan jawatan MB. Kembalilah ke kawasan sendiri dan jaga rakyat yang mengundi anda...

Read more...

Khamis, Februari 05, 2009

Pindah Ke Tempat Baru!

Sudah 5 hari saya menghirup udara baru di sini setelah berpindah dari desa ke kota untuk beralih kerja. Meninggalkan udara nyaman desa di Kelantan dan menyedut udara penuh karbon monoksida di Damansara ini memang memeningkan kepala.

Saya mula cuba membiasakan diri dengan suasana dan jalan-jalan di kota ini. Jika di Kelantan, jalanraya taklah sesak sangat kecuali pada masa-masa cuti, tapi di sini selalu sesak. Masih cuba membiasakan diri di tempat kerja baru, terasa janggal dan lemas.

Jika di Kelantan, saudara-mara sentiasa berdekatan, di sini saudara-mara yang ada pun semuanya jauh. Nak pergi ke sana pun perlu menghadapi jalan yang jauh dan sesak.

Di Kelantan, kita bertemu dan bersahabat dengan orang-orang Cina yang bercakap bahasa yang sama iaitu dialek Kelantan. Tapi di sini, Cina bercakap bahasa Melayu pelat yang selalunya susah kita nak faham. Mahu tak mahu, kita perlu 'speaking' supaya sama-sama boleh faham. Nak bersahabat, jauh sekali. Mereka lebih suka berkawan sesama bangsa mereka sahaja. Agaknya begitu juga kita di sini.

Dah 4 hari sibuk masuk rumah baru, memindahkan barang-barang dari rumah sewa isteri saya, dan membeli perabut baru. Beli barang elektrik pun dah hampir RM2,000.00 yang habis. Sekarang saya dah boleh mula buka internet dan menghadap blog ini lagi.

Alhamdulillah, liputan Celcom Broadband di sini memang baik walaupun selalu juga perkhidmatannya terganggu. Jika di Kelantan, internet memang perlahan hinggakan nak kemaskini blog atau layari internet pun rasa terseksa. Buat hilang semangat saja.

Beginilah Celcom Broadband masa aku di Kelantan

Di sini ada liputan 3G. Tapi saya cuma melanggan Celcom Broadband bagi kelajuan 384kbps. Cukuplah untuk layari internet dan kemaskini blog ini.

Ini di Seksyen 4 Kota Damansara. Tak laju, tapi ok...

Tapi jika namanya Celcom Broadband, dah tentulah ia tetap tak sempurna terutamanya bila selalu terganggu dan kelajuannya kadang-kadang naik, kadang-kadang turun. Itulah Celcom Broadband, kan? Ada wireless broadband yang lebih baik?

Kadang-kadang jadi macam ni...

Setelah meninggalkan Kelantan, nampaknya saya belum tahu di mana arah saya untuk bersama PAS. Entah di mana cawangan terhampir di Damansara ini. Jika ada banyak masa dan tak terikat sangat dengan kerja, bolehlah saya ke ibu pejabat PAS Pusat. Mungkin belum sampai masanya dalam sebulan-dua ini.

Walau apapun, saya akan teruskan blog ini untuk menyuarakan perjuangan Islam yang sebenar selaras dengan Islam dan perlembagaan parti. Dan saya akan terus menegur dan menghentam kepimpinan dan penyokong PAS yang merosakkan nama agama dan parti. Saya cuma menegur parti saya sahaja. Parti orang, biarlah orang lain yang tegur.

Tak lupa juga kepada BPN yang terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengira pegangan politik. Moga terus maju jaya.

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.