"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]
Memaparkan catatan dengan label Aku punya cerita.... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aku punya cerita.... Papar semua catatan

Rabu, April 15, 2009

Sembang Kedai Kopi 3

Tarikh : Sabtu, 21 Mac 2009



Mengapa PASMUDA?


"Kenapa kau pakai nama PasMuda? Orang muda PAS atau Pemuda PAS?" Adi bertanya sambil meletakkan handphone saya rapat ke mulutnya seperti mikrofon temubual.

"Yelah, kenapa nama PasMuda? Nak kata muda, kita ni dah tak berapa muda pun," Abang Zul bertanya pula. Adi menyuakan hendphone saya seolah-olah wartawan mahu merakam temubual.

"PasMuda ni bukannya bermakna orang muda PAS atau Pemuda PAS. Bukan juga nak kata saya ni masih muda. Tak. Tapi nama ni berkaitan dengan kita 10 tahun yang lalu. 10 Tahun ke? Yelah tu, lebih-kurang 10 tahun yang lalu," saya cuba menjelaskan. Abang Zul dan Adi kelihatan mengerutkan dahi masing-masing.

"Tak faham," Adi berkata sambil menggaru kepalanya.

"Ingat lagi tak, Golongan Tua dan Golongan Muda?" saya menyoal Abang Zul dan Adi.

"Ooo, itu rupanya. Rasanya 12 tahun yang lepas. Bukan 10 tahun," kata Abang Zul yang baru ingat kisah lama.


Pada ketika itu PAS dikhabarkan terbahagi kepada 2 puak yang mana puak pertama dipanggil golongan tua yang terdiri daripada pemimpin veteran seperti Ustaz Fadzil Noor, Haji Hadi, Nik Aziz dan lain-lain. Manakala golongan muda pula terdiri daripada Ustaz Nasaruddin, Husam, Salahuddin Ayub dan ramai lagi yang terdiri daripada profesional dan berpendidikan tinggi.

Golongan tua dilihat telah terlalu jauh dalam tindakan mereka terutama apabila mengeluarkan kenyataan mengkafirkan UMNO yang dikatakan berpakat dengan kafir (merujuk kepada MCA dan MIC). Selain itu, sikap golongan tua yang mencantas peluang golongan muda untuk naik dalam parti. Golongan muda bermatlamat untuk menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang bersih, mencerminkan Islam dan dihormati kawan mahupun lawan. Pendek kata, golongan mudan nak jadikan PAS sebagai parti yang baik dan menghakis kecurangan golongan tua dalam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dari segi Islam.

Nampaknya sampai sekarang pun belum ada yang berjaya mengubah PAS jadi parti orang baik-baik. Memang ramai yang alim dan lebai dalam parti tapi nak kata jadi parti baik-baik tu, taklah rasanya.

"Gitu rupanya nama PasMuda. Golongan Muda PAS, macam tu kan?" Adi berkata.

"Lebih kurang la," saya menjawab.

"Kita pun begitu juga. Masih ada semangat tu dalam diri kita. Pemimpin golongan muda yang dulu pun dah ramai jadi... apa benda tu? Endo... endo apa ntah. Susah sangat nak sebut," Abang Zul tertawa gelihat kerana dia tak dapat menyebut perkataan endorgan.

"Endorsement kot? Hahaha!!!" Adi ketawa berdekah-dekah. Walhal dia sendiri pun tak ingat istilah endorgan tu.

"Endorgan la. Jangan kata endorphin pulak," saya memberitahu. Entah apa endorphin tu. Tak ingat...

"Baguslah. Kau teruskan semangat golongan muda walaupun pemimpin golongan muda tu dah jadi endorgan. Kami yang lain pun sama, tapi tak bolehlah nak buat mendadak je. Masing-masing cari peluang," Abang Zul berkata.

"Korang yang dah memang dalam parti, jadi petugas parti, kenapa tak buat apa-apa? Tak terasa bila tengok pemimpin kita buat kenyataan yang salah semata-mata sebab nak jaga hati geng pakatan? Tak terasa juga bila tengok penyokong-penyokong yang bengong merusuh atau serang orang-orang BN dan polis? Tak marah bila tengok PAS macam sekarang ni?" saya bertanya. Abang Zul menggaru-garu dagunya manakala Adi merenung roti canainya yang dah nak habis.

"Sebenarnya ramai orang-orang kita dalam parti yang sedih dengan penyakit kita (PAS) sekarang ni. Kita bukannya nak hancurkan negara atau bangsa. Apa lagi nak malukan agama kita sendiri. PAS ni dilihat sebagai sebuah entiti yang menggambarkan kumpulan Islam. Tapi disebabkan sebilangan pemimpin dan penyokong yang langsung tak gunakan akal yang dikurniakan Allah dengan sebaik-baiknya, Islam dalam PAS ni dilihat mengelirukan. Semua yang dalam PAS dikatakan jahat," Abang Zul meluahkan perasaannya sebelum berhenti sebentar untuk minum.

"Kita bukannya nak bermusuh dengan orang lain. Kita nakkan Islam. Islam sahaja yang dapat ubah negara kita ni jadi lebih baik. Dapat ubah rakyat kita ni jadi harmoni dan bersatu-padu. Jangan asyik kata UMNO tolak Islam, UMNO tolak Al-Quran... tapi kita salahguna pengetahuan kita. Jangan anggap kita lebih Islam dari orang lain kerana hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Kalau buat amal banyak-banyak tapi mengutuk orang, memaki-hamun, memfitnah, sombong... pahala makin terhakis, dosa makin menimbun. Pakai nama Islam tapi perangai langsung tak ikut ajaran Islam," Abang Zul berkata lagi. Saya dan Adi hanya terdiam mendengar luahan hati Abang Zul. Nak mencelah percakapan Abang Zul pun saya tak berani.

"Kita yang dalam parti ni wajib jalankan tanggungjawab kita. Betulkan apa yang salah. Sampaikan maklumat yang benar. Apa sahaja yang salah walaupun dibuat oleh tok guru sekalipun, wajib kita tegur dan perjelaskan," Abang Zul berkata lagi.

"Ok," Adi menjawab ringkas. Saya cuma menganggukkan kepala.

"Hah, engkau pun boleh ikut sama. Tulis dalam blog engkau tu. Tulis tu biar 'panas-panas' sikit. Rajin-rajin buat blog. Ini tidak, memanjang sibuk dengan kerja. Blog jarang-jarang update," Abang Zul berkata kepada saya. Saya cuma mampu tersenyum terutama bila Abang Zul mengatakan blog saya jarang update.

"Kau tulis je apa yang patut. Tak payahlah buat macam orang lain yang sibuk nak kutuk parti lain, padahal parti sendiri pun tak betul. Lagi satu, jangan bermusuh dengan orang lain. Kadang-kadang tengok blog Pakatan Rakyat lawan blog UMNO, nampak bodoh je. Kita sama-sama Melayu, sama-sama Islam," Adi pula menyambung kata-kata Abang Zul.

"Sampaikan berita benar sahaja. Jangan fitnah atau buat provokasi," Abang Zul berkata, Saya mengangguk lagi.

"Rajin-rajinlah update blog!" Adi bersuara dengan kuat, separuh bergurau. Kami ketawa kerana masing-masing pun tahu bahawa saya masih cuba untuk menstabilkan kedudukan dan pekerjaan saya di sini.


bersambung...


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

P/S : Sambung sikit-sikit. Ada 2-3 topik lagi yang akan diceritakan.

Read more...

Khamis, Mac 26, 2009

Sembang Kedai Kopi 2

Tarikh : Sabtu, 21 Mac 2009

Apa perjuangan kita?


"Matlamat utama kita (PAS) adalah untuk menegakkan syiar Islam dan menubuhkan negara Islam," kata Abang Zul. Seterusnya beliau menyambung, "Ok, negara Islam memang susah ditubuhkan bila kita (PAS) bersama dengan PKR dan DAP. DAP memang tak nak negara Islam. PKR pula perjuangkan kesamarataan antara kaum, dan lebih dikuasai oleh anggota yang agama dan bangsa lain. Tapi menjadi kewajiban kita untuk mengangkat Islam lebih tinggi dari keutamaan lain."

"Boleh ke?" Adi menyampuk sambil matanya melilau melihat sekitar kedai. Entah apa yang dicarinya.

"Dah tentu boleh. Negara kita ada perlembagaan, dan ada kontrak sosial sejak dulu lagi. Kita berpegang pada yang dua tu pun dah cukup untuk mengikat agama dan bangsa kita di atas (utama/rasmi)," Abang Zul menjelaskan.

"Kalau nak cakap hal macam ni, rasanya tak habis. Kita (PAS) ikut PR, perjuangkan kesamarataan. Orang cabar agama dan bangsa kita, kita diam je. Orang Kristian nak guna kalimah Allah, kita kata tak salah. Sokong pulak tu. Orang lain nak berkuasa, kita sanggup ikut je. Mana hala tuju kita?" saya bertanya kepada Abang Zul.

"Tambah roti kosong satu lagi!" Adi memesan roti canai. "Tak cukup satu," Adi berkata sambil tersengih. Itulah, siapa suruh makan roti canai. kalau lapar, 3 keping pun belum tentu cukup.

Borak-borak punya pasal, 3 keping roti canai si Adi makan. Itu belum kira air yang entah berapa kali order

"Memang... ada yang tak kena dalam parti kita. Nampaknya dah semakin liberal. Terlalu ramai calon berfikiran liberal yang kita angkat menjadi pemimpin dalam parti. Mereka ni pulak jenis yang berani buat kenyataan terbuka. Akhirnya, nampak macam PAS dah jadi parti liberal," Abang Zul berkata lagi. Asyik bercakap saja Abang Zul ni. Macam tak puas hati. Sampai air kopinya dah sejuk pun dia tak hiraukan.

"Dulu kata orang lain makan duit haram, sekarang kita (PAS) pun subahat terima cukai arak (negeri mana yang dimaksudkan ni?), hal masjid kita belum ambik tahu tapi sibuk tolong pertahankan kuil dan gereja. Macam-macam lagilah. Malas aku nak fikir," Adi menyampuk.

"Siapa yang tentukan hala tuju PAS? Kadang-kadang saya tengok PAS macam tak stabil emosi. Puak A nak buat kerja tu, tapi puak B bantah. Puak B nakkan orang tu, tapi puak A tak nak orang tu. Puak A nak perkuatkan Islam tapi puak B kata 'For All'. Kalimah Allah pun 'for all' jugak. Lebih kurang puak Haji Hadi dan Nasaruddin lawan puak Nik Aziz dan Husam. Abang Zul macam mana?" Aku bertanya.

"Memang begitulah keadaannya. Puak-puak liberal ni lebih ikut cakap Ustaz Nik Aziz. Kalau apa-apa yang dibuat oleh puak Ustaz Haji Hadi, memang mereka ni takkan patuh. Itulah pentingnya bila Ustaz Nik Aziz menyebelahi mereka. Mereka akan lebih kuat dari geng Ustaz Haji Hadi," Abang Zul berkata sambil mengacau kopinya yang dah sejuk.

"Ramai yang berperangai macam liberal. Orang buat kesalahan moral, dibela mati-matian. Kononnya hak peribadi. Agaknya tak salah nak buat maksiat atau bergambar yang bukan-bukan, asalkan tak tersebar," Adi berkata.

"Orang mana buat kesalahan moral?" aku bertanya.

"Elizabeth la. Siapa lagi. Ada orang lain lagi ke? Oh ya, si Anwar. Pembela kemaksiatan diorang ni," panas betul kata-kata Adi. Saya tak pasti sama ada kata-katanya itu dimaksudkan kepada PR, PKR atau PAS sendiri.

"PAS dah jadi makin liberal sejak ramai dari golongan profesional jadi pemimpin parti. Tambah pula dengan joint-venture dengan PKR dan DAP. Bila dah bergabung kita tak boleh bawa suara Islam, tak boleh sebut pasal perjuangan Islam sebab takut nanti DAP marah. PKR pun ramai orang India dan Kristian," Abang Zul berkata sebelum menghirup kopinya.

"Dulu kata Selangor makan cukai arak, duit haram. Sekarang kita (PR) berkuasa. Kita makan juga duit cukai arak. Duit tu juga yang bayar elaun exco. Itu belum kira duit disko, pub, dan entah bisnes haram apa lagi entah," Adi mencelah.

"Terlalu banyak dahulukan kepentingan puak lain, kepentingan bangsa dan agama kita dikemudiankan. Tengoklah macam projek ladang ternakan baby (babi) tu. Lepas tu usaha untuk memperbanyakkan tokong, kuil dan gereja. Siap dengan peruntukan negeri pulak. Nak ambil pula duit majlis agama untuk dikongsi dengan rumah ibadat tu semua. Bila puak-puak (bangsa lain) tu ada rasa diri dah berkuasa, berani nak suruh perlahankan azan. Kita diam je. Ikut telunjuk diorang. Habis tu, apa perjuangan kita?" panjang pula Abang Zul berbicara. Macam banyak yangterpendam dalam hatinya. Aku cuma banyak jadi pendengar sahaja.

"Kalau nak cerita pasal ni, sampai minggu depan pun tak habis. Sebenarnya ramai yang kecewa dengan PAS sekarang. Kita tak jadi semakin baik tapi makin tenat dengan pemimpin yang liberal, banyak dolak dalih, cakap berubah-ubah. Tambah pulak dengan ahli dan penyokong yang sebenarnya tak faham erti perjuangan Islam," Adi berkata sambil menekan-nekan roti canainya dalam kuah kari bagai melepaskan geram.

"Kau dengan Abang Zul kan orang penting, petugas parti. Apa sumbangan untuk membetulkan perkara ni?" saya bertanya kepada Adi. Adi diam seketika.

"Kita ni orang kecil je. Silap cakap, kita kena tendang pulak. Apa susah, tulis dalam internet banyak-banyak. Kau pun ada blog. Tulis la," Adi menjawab.

"Memang dia akan tulis. Tengoklah, handphone dia duduk atas meja. Mesti dia tengah rakam tu," Abang Zul ketawa kecil. Alamak! Dia terperasankan handphone saya pula. Kantoi!

"Pehhh! Biasanya kau sorok handphone kau. Ni atas meja pulak. Nak korek rahsia ke?" Adi ketawa besar sambil cuba mengambil handphone saya. Saya cuma tersenyum dan membiarkan Adi membelek-beleknya.

Saya tak menjangkakan sahabat-sahabat saya ini akan berkata sedemikian kerana mereka adalah antara petugas parti yang amat aktif. Mereka inilah juga yang menarik saya masuk ke dalam jemaah PAS. Adakah ramai anggota parti yang sebenarnya sudah mula muak dengan sikap sebilangan pemimpin dan penyokong parti? Tetapi siapakah pemimpin yang akan dapat kembali membawa cahaya Islam dengan sebenar-benarnya dalam parti?

Kita wajib ikhlas dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. Kita tidak boleh bermusuhan semata-mata disebabkan perbezaan fahaman politik selagi kita seagama dan sebangsa. Jangan disebabkan kata-kata oleh pemimpin yang berkepentingan diri, kita terikut-ikut dan sesat dalam perkataan dan perbuatan. Sesiapa pun yang membuat kenyataan walau Tok Guru sendiri, kita wajib tahu membezakan benar atau salah. Yang benarlah yang kita ikut, dan yang salah wajib dijauhi.

Namun walaupun tidak puas hati dengan keadaan parti kini, kami masih tetap bersama parti untuk meneruskan perjuangan Islam dan mengharapkan PAS menjadi semakin baik seperti yang dikehendaki dalam agama Islam.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

P/S : Bukan senang untuk menulis semula rakaman di telefon bimbit. Terpaksa buat pelahan-lahan dan banyak makan masa. Sembang kedai kopi belum habis...


Bersambung lagi...

Read more...

Sabtu, Mac 21, 2009

Sembang Kedai Kopi 1


Pagi-pagi lagi telefon bimbit saya berbunyi. Rupanya sahabat dari Cheras. Dia mengajak saya minum di Seksyen 6, Kota Damansara. Entah apa yang dibuatnya di sana. Mujurlah hari ni saya tak bekerja.

"Tokey, asyik berjalan je? Ada bisnes ke?" aku menegur Adi yang sedang menghirup milo aisnya.

"Kenapa lambat sangat? Dah nak abis air ni," Adi bertanya kembali. Aku cuma tersenyum dan terus duduk. Rasanya masa dia hubungi saya tadi, katanya masih dalam perjalanan.

"Haa, sampai pun kamu. Jom makan sekali," tiba-tiba Abang Zul muncul dari belakang sambil membawa nasi lemak. Maka saya pun turut memesan teh tarik dan nasi lemak untuk sarapan pagi saya.

Sedang kami makan minum sambil berbual-bual, tiba-tiba Adi menunjukkan sebuah kereta yang melalui depan restoran.

"Tengok tu..." Adi pantas menunjuk. Sebuah kereta dengan bendera kecil PAS di kiri-kanan cermin depannya. Abang Zul ketawa kecil.

"Orang kita rupanya," kata Abang Zul.

"Orang kita atau ikut-ikut je?" Adi berkata sambil gelak-gelak.

"Kau ingat tak dulu, yang kita nampak kereta pakai bendera PAS dan DAP tu?" Abang Zul bertanya Adi.

"Ingat. Perodua Kelisa warna merah. Bendera PKR tak ada pun," Adi menjawab.

"Siapa pulak yang buat kerja gila macam tu?" saya bertanya.

"Melayu. Tapi mungkin jenis orang yang ikut-ikut je. Orang sekarang ni ikut-ikut pun dah perasan macam aktif sangat," Abang Zul menjawab. "Agaknya dia nak naik roket pergi ke bulan. Sebab tu pakai bendera DAP dan PAS."

"Bulan tak jatuh ke roket, tapi roket yang pergi ke bulan. Agak-agaknya apa maknanya tu?" Adi bertanya sambil makan roti canai.

"PAS ingat DAP baik dengan dia. Boleh letak bendera PAS bersama bendera DAP. Walhal DAP buat-buat baik je, demi untuk kuasa," Abang Zul berkata. Aku cuma tersenyum. Mereka berdua ni petugas PAS, bukannya tukang ikut tetapi orang penting dalam PAS kawasan masing-masing. Aku yang cuma orang kecil ni, lebih selesa mendengar sambil makan nasi lemak.


"Roket pergi ke bulan..." Adi bersuara. "Situasi pertama, orang bulan gembira bertepuk tangan sebab orang roket datang berkawan. Siap dengan takbir Allahuakbar pulak tu," Adi berhenti sebentar menghirup milo ais. "Situasi kedua, orang roket pacak bendera atas bulan. Balik tempat dia dan canangkan bahawa dia dah tundukkan orang bulan. Orang bulan ikut cakap dia. Sukahati bertepuk tanganlah orang roket yang lain."

"Apa maksudnya tu?" saya bertanyakan Adi.

"Maknanya, orang kita ingat DAP tu ikhlas dengan kita. Kita lupa diri. Sanggup berpeluk-cium dengan DAP. Walhal DAP tu berbaik dengan kita sebab ada kepentingan tertentu. Kita ni mudah lupa diri. Kuasa kita sikit, kuasa dia banyak. Akhirnya kita terpaksa ikut cakap dia, atau ikut rentak dia. Prinsip kita terbuang entah ke mana," Abang Zul menjelaskan kepada saya.

"Bunyinya macam tak puas hati je?" saya sengaja bertanya sebegitu kepada Abang Zul.

"Memanglah. Kita ni terlalu ikut rentak DAP dan PKR. Sanggup gadaikan perjuangan asal demi untuk kuasa," Abang Zul menjawab.

"Bukan 'kita' tapi pemimpin kita dan pengikut-pengikut yang tak fikir panjang," Adi mengusik Abang Zul sambil ketawa kecil.


Bersambung...

Read more...

Khamis, Februari 05, 2009

Pindah Ke Tempat Baru!

Sudah 5 hari saya menghirup udara baru di sini setelah berpindah dari desa ke kota untuk beralih kerja. Meninggalkan udara nyaman desa di Kelantan dan menyedut udara penuh karbon monoksida di Damansara ini memang memeningkan kepala.

Saya mula cuba membiasakan diri dengan suasana dan jalan-jalan di kota ini. Jika di Kelantan, jalanraya taklah sesak sangat kecuali pada masa-masa cuti, tapi di sini selalu sesak. Masih cuba membiasakan diri di tempat kerja baru, terasa janggal dan lemas.

Jika di Kelantan, saudara-mara sentiasa berdekatan, di sini saudara-mara yang ada pun semuanya jauh. Nak pergi ke sana pun perlu menghadapi jalan yang jauh dan sesak.

Di Kelantan, kita bertemu dan bersahabat dengan orang-orang Cina yang bercakap bahasa yang sama iaitu dialek Kelantan. Tapi di sini, Cina bercakap bahasa Melayu pelat yang selalunya susah kita nak faham. Mahu tak mahu, kita perlu 'speaking' supaya sama-sama boleh faham. Nak bersahabat, jauh sekali. Mereka lebih suka berkawan sesama bangsa mereka sahaja. Agaknya begitu juga kita di sini.

Dah 4 hari sibuk masuk rumah baru, memindahkan barang-barang dari rumah sewa isteri saya, dan membeli perabut baru. Beli barang elektrik pun dah hampir RM2,000.00 yang habis. Sekarang saya dah boleh mula buka internet dan menghadap blog ini lagi.

Alhamdulillah, liputan Celcom Broadband di sini memang baik walaupun selalu juga perkhidmatannya terganggu. Jika di Kelantan, internet memang perlahan hinggakan nak kemaskini blog atau layari internet pun rasa terseksa. Buat hilang semangat saja.

Beginilah Celcom Broadband masa aku di Kelantan

Di sini ada liputan 3G. Tapi saya cuma melanggan Celcom Broadband bagi kelajuan 384kbps. Cukuplah untuk layari internet dan kemaskini blog ini.

Ini di Seksyen 4 Kota Damansara. Tak laju, tapi ok...

Tapi jika namanya Celcom Broadband, dah tentulah ia tetap tak sempurna terutamanya bila selalu terganggu dan kelajuannya kadang-kadang naik, kadang-kadang turun. Itulah Celcom Broadband, kan? Ada wireless broadband yang lebih baik?

Kadang-kadang jadi macam ni...

Setelah meninggalkan Kelantan, nampaknya saya belum tahu di mana arah saya untuk bersama PAS. Entah di mana cawangan terhampir di Damansara ini. Jika ada banyak masa dan tak terikat sangat dengan kerja, bolehlah saya ke ibu pejabat PAS Pusat. Mungkin belum sampai masanya dalam sebulan-dua ini.

Walau apapun, saya akan teruskan blog ini untuk menyuarakan perjuangan Islam yang sebenar selaras dengan Islam dan perlembagaan parti. Dan saya akan terus menegur dan menghentam kepimpinan dan penyokong PAS yang merosakkan nama agama dan parti. Saya cuma menegur parti saya sahaja. Parti orang, biarlah orang lain yang tegur.

Tak lupa juga kepada BPN yang terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengira pegangan politik. Moga terus maju jaya.

Read more...

Selasa, November 18, 2008

Siapa Yang Tak Boleh Ditegur?

Sewaktu aku ke Kuala Lumpur untuk makan angin baru-baru ni, seorang sahabat lama yang lebih senior telah menghubungi aku. Kebetulan kami sama-sama berada di KL, maka kami pun bertemu. Macam-macam cerita lama yang keluar. Seronok juga sambil-sambil makan nasi kandar mamak. Seronok sebab senior aku tu yang belanja. Biasanya aku makan yang murah-murah je. Dapat yang mahal, memang tak tolaklah.

"Aku dengar kau ada buat blog. Betul ke?" tiba-tiba sahaja senior aku yang bernama Muaz ni bertanya. Aku terkejut juga.

"Tau dari mana?" aku bertanya.

"Zul yang bagitau," Muaz menjawab. Aku tersengih-sengih, tak tau nak cakap apa.

"Blog biasa je. Bukannya gah sangat. Saja-saja. Update pun jarang-jarang sebab sekarang tak ada internet kat rumah. Kabel telefon kat kampung tu kena curi," aku menerangkan.

"Blog pasal apa? Politik?" Muaz bertanya lagi.

"Politik tapi taklah macam blog orang lain. Orang lain banyak ulas perkembangan dan isu politik, tapi saya sikit-sikit je. Yang banyaknya menceritakan pendapat dan pemerhatian saya je," aku menjelaskan. Malulah juga. Kalau Muaz komen blog aku ni cikai atau low class, entah mana aku nak letak muka aku ni.

"Biasanya blogger ni akan nampak menyokong sesuatu pihak. Ada yang sokong UMNO, BN, PKR, PAS, DAP... Kau sokong apa?" Muaz bertanya lagi. Macam polis pulak. Ni yang aku tak sedap hati ni.

"Dah tentulah saya sokong PAS. Tapi saya tak bias. Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah. Tapi kalau boleh saya nak tegur PAS dulu. Supaya kita boleh selari dengan kehendak agama dan perlembagaan parti. Itu je niat saya," suara aku makin slow. Bukan takut tapi sebab rasa macam kena soal-siasat. Muaz nak marah aku ke?

"Bagus! Macam tu la yang bagus," tiba-tiba sahaja Muaz tersenyum sambil menunjukkan tanda bagus kepada aku. Apahal pulak ni?

"Apa yang bagusnya?" aku bertanya.

"PAS kita ni memang patut ditegur. Kita dah jauh sangat dari landasan perjuangan kita. Terutamanya sejak masuk Pakatan Rakyat. PAS dah tak berapa nak jadi macam PAS," Muaz bercerita sambil menghirup teh tariknya.

"Kenapa? Ada cerita ke?" aku cuba mengorek cerita daripada Muaz.

"Memang ada cerita," Muaz menjawab, kuat. Beberapa pelanggan kedai mamak tu memerhatikan kami.

"Kau tau tak, pemimpin kita sekarang ni makin susah ditegur?" Muaz berkata sambil bertanya.

"Tak tau. Apa maksud 'makin susah' tu? Selama ni boleh ditegur atau memang tak boleh ditegur?" aku bertanya lagi. Nampaknya aku asyik bertanya je. Maklumlah nak dapat cerita.

"Masa kita mula-mula join PAS dulu, boleh ditegur. Sekarang makin tak boleh ditegur. Ingat diorang je yang betul. PAS pun dah mula perangai macam PKR," kata Muaz.

"Ye ke?"

"Ye la. Nak sangat pada kuasa. Hari tu sibuk nak jadi kerajaan, sekarang senyap sebab tak jadi kenyataan. Apa UMNO buat, semua nak disalahkan. Tapi kalau PKR atau DAP buat, kita senyap menikus je," Muaz bercerita dengan penuh semangat.

"Ooo, dah jadi tikus la sekarang ni? Bagi la racun tikus," aku ketawa. Muaz merenung aku.

"Kau ni tak serius langsung. Ni hal kita jugak ni," Muaz berkata.

"Saya tak bekerja dengan parti. Saya tak tau sangat cerita macam ni. Abang Muaz kat Johor, Abang Shah kat Perak, Abang Din di Kelantan, Abang Zul kat sini, entah berapa ramai lagi geng-geng kita di serata Malaysia ni," aku menjawab.

"Sebab bekerja dengan parti la yang buat kami tension sangat ni. Kau tau tak..."

"Tak tau," pantas aku menjawab walaupun Muaz belum habis bercakap lagi.

"Memang la kau tak tau. Aku belum habis cakap lagi. Ramai pemimpin kita yang dah bersikap macam pemimpin PKR. Bila bercakap pun melebihkan Anwar je. Cakap pasal Islam, pasal PAS berdegar-degar. Tapi bukannya ikut prinsip parti yang nakkan Islam. Bila kita tegur, dikatanya kita tak reti. Maklumlah, dia pemimpin. Kita ni kuli je. Mungkin diorang (pemimpin) rasa besar kepala sebab PAS ramai pengikut yang sanggup buat apa saja," Muaz bercerita.

"Sanggup buat apa saja, macam kita?" aku menyoal.

"Kita buat apa yang patut je. Kalau pasal nak kerahkan buat kerja, penyokong kat luar sana sanggup buat apa saja. Bukan macam PKR yang yang perasan diorang betul, bukan macam orang BN yang buat kerja bila ada duit. Penyokong kita diberi minum teh-o dengan biskut kering saja pun tak apa. Tetap buat kerja sampai habis," Muaz berkata. Teh-o dengan biskut kering? Macam kami di Kelantan je...

"Apa masalahnya?" aku bertanya, pura-pura tak faham.

"Masalahnya pemimpin kita dah jadi macam pemimpin PKR. Dah ikut Anwar pulak. Percaya sangat pada Anwar tu. Cakap Tok Guru pun dah tak berapa nak ikut. Kalau kita cakap benda tu tak betul, benda tu salah; pemimpin kita buat tak tau je. Ikut jugak si Anwar tu," kata Muaz.

"Biasalah tu. Walaupun kita benci Anwar, tapi Anwar dah diangkat jadi bigbos Pakatan Rakyat. Bukan kita yang angkat tapi pemimpin PAS dan DAP, dengan para penyokong yang lain. Anwarlebih berpengaruh berbanding sesiapa pun dalam Pakatan Rakyat. Dia bos, yang lain pencacai je," aku menjawab.

"Kan kita sepatutnya ikut prinsip perjuangan kita. Kita nakkan Islam. Ikut perlembagaan parti. Bukan ikut cakap orang lain. Anwar tu jadi pemimpin? Sekarang pun orang-orang dia buat benda yang mencabar agama kita. Entah apa nama India-India tu. Cina pun ramai. Barua Anwar semua tu," Muaz berkata.

"Ada juga orang-orang kita ikut cakap Tok Guru. Contohnya, boleh mengumpat, orang utan, ikut Anwar, macam-macam lagilah," aku buat lawak bodoh lagi.

"Tu cakap yang tak boleh dipakai. Benda yang salah, orang kita ikut. Benda betul, tak nak ikut pulak. Tok Guru pun satu hal. Bercakap macam agama Islam tu dalam tangan dia semata-mata. Bila kita tegur, buat tak tau. Orang-orang dia marah kita balik," Muaz menambah. Banyak sangat yang dia tak puas hati...

"Kau tulis dalam blog kau. Tulis biar pedas-pedas. Biar diorang sedar sikit. Nanti kami semua bagi cerita pada kau kalau ada apa-apa," Muaz menyuruh. Memang mereka boleh beri cerita pada aku sebab mereka kerja dengan parti.

"Tapi, takkan la semua pemimpin kita macam tu? Saya rasa cuma sebahagian je. Itupun mungkin yang pro-Anwar je," aku cuba menyanggah.

"Betul, bukan semuanya tak boleh ditegur. Tapi ramai sangat. Dulu ikut perlembagaan parti, ikut agama. Sekarang ikut kuasa dan pangkat pulak," Muaz menyatakan. Aku terdiam, tak cuba untuk menyambung kata-kata lagi. Makin dilayan, makin panjang perbualan ni. Aku nak balik cepat ni sebab nak beli hard disk baru untuk pc aku.

"Kalau kau nak banyak cerita, kau kerja dengan parti. Macam-macam kau boleh tahu. Macam-macam kau boleh cerita dalam blog kau. Kami semua boleh tolong dapatkan tempat untuk kau," Muaz mencadangkan.

"Tak nak la. Kalau dah kerja dengan parti, tentulah tanggungjawab saya untuk rahsiakan segala hal parti. Lagipun, saya tak nak jumpa dengan orang-orang yang tak boleh ditegur."

Kalau aku sanggup jumpa orang-orang yang tak boleh ditegur ni, dah tentu aku pun kerja dengan parti macam kawan-kawan aku yang taksub sangat dengan PAS sejak zaman belajar lagi.

Read more...

Isnin, November 03, 2008

Cerita Dobi PLKN

Opis tempat aku kerja ni buat 2 bisnes. Selain projek perumahan yang aku jaga sekarang ni, ada juga buat insurans am. Kalau dengan kerja aku di projek perumahan memang tak banyak cerita menarik. Yang paling banyak adalah cerita yang kami tak nak dengar iaitu kenaikan harga bahan binaan, ada buruh tak datang kerja, kontraktor lambat buat kerja, dan macam-macam lagi. Tapi bila bersabit dengan insurans, banyak juga aku dapat cerita menarik bila selalu bertemu kontraktor yang datang buat insurans kontrak mereka.

Kontraktor yang dapat kerja sebelum kontrak dibincangkan dalam mesyuarat pun ada. Surat tawaran dan inden pun langsung belum dibuat tapi kerja dah siap dan nak tunggu untuk claim. Maklumlah baik dengan YDP majlis daerah atau Pegawai Daerah. Ada juga orang Melayu pajak lesen kontraktor kepada orang Cina. Tapi cerita yang aku rasa paling best adalah semasa aku membantu staf kedai insurans bos aku tu buat insurans kontrak untuk seorang kontraktor yang datang dengan kereta Mercedes.

"Engkau makin hebat sekarang. Pakai Mercedes pulak. Dapat projek bagus ke?" kawan kontraktor kereta Mercedes tu bertanya. Kontraktor tu ketawa macam Aziz Satar dalam watak Ali Baba nak praktis jadi orang kaya. Aku yang tengah sibuk menunjuk ajar staf kedai tu buka nota lindung hanya sekadar pasang telinga.

"Tentu la. Aku dapat kontrak dobi PLKN (Program Latihan Khidmat Negara). Memang boleh buat duit," si kontraktor mula buka cerita.

"Macam mana pulak?" kawannya semakin berminat nak tau.

"Kawan aku tu pegawai yang jaga tender kontrak PLKN. Dia yang suruh aku masuk tender. Lepas tu dia adjust la semua. Bukan buat kerja susah. Buat bangunan untung sikit. Kerja ni untung banyak," galak si kontraktor bercerita.

"Kerja apa? Adjust la untuk aku sekali," terliur juga kawannya tu.

"Buat dobi je," selamba si kontraktor menjawab.

"Engkau ada kedai dobi ke? Mahal mesinnya tu," tanya si kawannya tu.

"Tak payah kedai. Kita ambik baju, kain tu semua dan hantar ke kedai dobi mana-mana yang ada. Bukan susah," jawab si kontraktor.

"Hah?! Habis tu, macam mana untungnya?" kawannya kehairanan.

"Untung memang banyak. Kerja pun senang. Uniform atas kertas, RM5 sepasang. Kita hantar kedai kena RM3 je. Untung RM2. Beratus-ratus helai darab dengan RM2, dah berapa? Tu belum masuk cadar, selimut, sarung bantal, macam-macam lagi. Memang loaded," si kontraktor bercerita megah akan kontraknya itu.

"Cuci, kedai dobi yang buat. Gosok, lipat pun kedai dobi yang buat. Kita cuma ambik dari kem tu dan hantar ke kedai dobi. Lepas siap, bawa dari kedai dobi dan hantar ke kem. Senang, kan?" tambah si kontraktor sambil tersengih bangga. Si kawannya terlopong dan terliur dengan cerita itu. Rasanya kawan kontraktor tu pun nak juga buat kontrak macam tu.

"Macam mana nak dapat? Ada orang dalam?" kawannya bertanya.

"Ehh, mestilah. Kalau tak ada orang dalam, macam mana nak dapat. Pegawai tu adjust semuanya. Yang penting kita hantar borang tender je," si kontraktor menjelaskan.

"Aku pun nak juga. Kau tolong beritahu aku kalau ada buka tender," kawannya dah makin terliur nampaknya.

"Kontrak dobi ni la yang paling mudah. Tak payah habis duit nak buka kedai, beli mesin basuh, sabun, apa semua lagi. Hantar je ke dobi kat luar tu, habis cerita," kontraktor dan kawannya ketawa semakin kuat, seronok.

"Jangan lupa aku, tau. Kalau ada kontrak, bagi la kat aku sikit. Tolong la kawan-kawan sikit," kawannya membodek.

"Ok, nanti aku bagitau kau. Kalau kita kenal menteri lagi senang. Mudah-mudah je boleh dapat. Kawan aku yang sorang tu baik dengan bini menteri, selalu dapat kontrak PLKN ni," terlalu seronok bercerita hinggakan si kontraktor tu mula pecah lubang. Aku cuma pasang telinga.

Jom kontrak dobi dengan PLKN

Cerita seterusnya adalah berkisar kepada kisah beberapa orang yang rapat dengan bini menteri yang dapat bermacam-macam kontrak berkaitan PLKN tanpa perlu bersusah payah letak tender. Tiada pula kisah orang-orang yang dapat kontrak tu memberikan imbuhan kepada bini menteri tetapi jika imbuhan kepada pegawai yang tolong dapatkan kontrak tu, memang ada.

Entah berapa banyak sebenarnya kerugian yang ditanggung oleh kerajaan akibat penyelewengan seperti ini. Benda yang harga RM1 dibuatnya jadi RM3. Jika semua kem PLKN seluruh negara ada kes macam ni, berjuta RM juga yang rugi di atas angin.

Aku berharap kerajaan kita dapat atasi perkara macam ni. Walau melibatkan sesiapapun, tindakan perlu diambil. Jangan biarkan hidup kita diselubungi kerugian...

Read more...

Selasa, Oktober 28, 2008

Nak Beli Kayu...

Baru-baru ni semasa dalam perjalanan balik dari Kota Bharu selepas menyelesaikan urusan syarikat di sana, aku singgah ke kedai kayu yang dimiliki orang kampung aku. Sambil melihat-lihat kayu dan papan untuk buat tambahan rumah ayah aku, boleh jugalah nak berbual-bual.

Semasa aku sampai ke kedainya, aku nampak 2-3 orang lelaki sedang berbual-bual di hujung longgokan kayu sambil bergelak-ketawa. Mata aku melilau mencari Din. Entah di mana dia. Dalam opis agaknya...

"Assalamualaikum. Sibuk sangat ke?" aku menegur Din yang sibuk menulis bil belian. Nampak panjang berjela senarai yang dibuatnya. Wah, untung banyak nampaknya.

"Wa'alaikummussalam. Mimpi gapo mu maghi sini?" Din bangun bersalam dengan aku.

"Kebetulan lalu sini, aku singgah la. Nak cari barang untuk buat dapur rumah aku," aku menjelaskan. Din duduk kembali dan menyambung kerjanya.

"Kawe banyok kijo nih. Nok buat bil untuk tok penghulu nuuu..." Din berkata sambil mulutnya memuncung ke arah 3 orang lelaki yang berborak tadi. Aku memerhatikan mereka tapi tak dapat meneka yang mana satu tok penghulu.

"Tok penghulu kampung mana pulak? Tak pernah tengok pun. Gaya macam tok penghulu pun tak ada," aku masih mengamati mereka sambul menggaru dagu aku.

"Ni tok penghulu kapung *********. Tok penghulu UMNO," Din menjelaskan sambil menyiapkan bil yang sedang ditulisnya.

"Dia beli kayu ke?" aku bertanya lagi.

"Dok ehh... dio beli motobot," Din menjawab sambil menjeling aku.

"Rilek la, jangan marah. Aku saja tanya. Banyak sangat diorang beli, untung besar la kamu," aku menepuk-nepuk bahu Din. Din tersengih saja.

"Biaso-biaso jah. Gini la oghe berniago. Cari make," Din berkata sambil mencabut bil yang telah siap ditulisnya. Din bangun dan berjalan keluar opisnya untuk menyerahkan bil tersebut kepada pelanggannya. Aku ikut di belakang Din.

"Bereh, boh... Nanti kawe bayar lepah buleh pitih," tok penghulu tu memberitahu Din sambil memasukkan bil tu ke dalam failnya.

"Berehhh... Srupo skalo la," Din menjawab. Mereka bergelak-gelak beberapa ketika sambil berbual sedikit sebelum 3 lelaki tu naik Proton Waja dan pergi entah ke mana.

"Semacam je bunyinya. Ada apa-apa ke?" aku cuba mengorek rahsia. Din tersenyum.

"Aku jual kayu, buleh untung. Dio beli kayu pun buleh untung jugok," Din menjawab. Din memang dapat untung sebab berniaga, tapi orang beli kayu dapat untung yang aku tak berapa nak faham ni...

"Mu garu palo buat gapo? Tok pehe? Bendo mudoh jah ni. Mu tengok aku buat bil tadi?" Din bertanya. Aku mengangguk macam belatuk...

"Mu tengok kayu gapo hok dio beli?" Din bertanya lagi.

"Aku tengok. Kayu yang paling molek," aku menjawab pantas. Maksud kayu molek tu tentulah kayu gred 1 dan bukannya gred yang tercorot.

"Ya, betul atah kertas. Atah kayu jah hok saloh," Din terkekek-kekek ketawa macam anak dara mengusik anak teruna.

"Korok mu. Aku tak faham ni," aku marahkan si Din tu. Aku dah makin pening.

"Gini, tok penghulu tadi tu beli kayu untuk buak kijo do kapung dio la. Buak wakaf, baiki rumoh oghe kapung puok-puok OMNO dio tu," Din menjelaskan. Memang la orang UMNO jaga puak-puak dia je sebab puak-puak PAS langsung tak nak terima bantuan daripada UMNO. Maklumlah, semua sentiasa buruk sangka dan bermusuh disebabkan berlainan ideologi politik. Melayu memang mudah lupa...

"Haa, lepas tu?" tiba-tiba je aku rasa macam ada cerita best.

"Biaso la bilo kes projek JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) ni. Beli baghe muroh tapi claim mahal. Buleh pitih lebih. Katolah tadi dio beli kayu gred 3 jah. Tapi dio suruh aku buat bil mace beli kayu gred 1. Kalu kayu gred 3 hargo RM10,000 tapi bilo buat bil kayu gred 1 dio buleh claim denge JPP RM15,000. Masyukkk..." Din bercerita sambil menunjukkan tanda bagus merujuk kepada kata-kata terakhirnya iaitu masyuk.

"Mak oii, RM5,000 masuk poket dia. Loaded tu," macam tak percaya je cerita yang aku dengar ni. Memang masyuk dapat RM5,000 untuk satu kerja mudah macam ni.

"Gitu la oghe UMNO. Kuat make pitih. Kalu takdok pitih gak, toksir kijo. Sebab buleh pitih la puok-puok tu sanggup jadi kuli UMNO," Din mula mengutuk orang-orang UMNO. Tapi rasanya kalau bab duit ni sesiapa pun boleh jadi gelap mata. Orang parti aku sendiri pun nak sangat cari duit mudah. Buka pos PAS masa pilihanraya dulu tu semata-mata nak duit daripada wakil rakyat. Wakil rakyat beri duit banyak, tapi dia beri orang makan bihun sikit dengan air teh-o je. Ada juga yang jadi talam dua muka dengan membodek orang BN untuk dapat projek. Lepas tu 'suap-menyuap' sesama sendiri. Hampeh...

"Kamu sokong apa?" aku tanya Din.

"Aku oghe PAS la. Srupo mu jugok. Maso ngundi haghi tu mu buat senarai pengundi, pukul 12 male kelik tido. Aku incharge poster, pukul 3 pagi baru abih kijo. Si Halim dengan Mamat jago tv denge video, mu hok igat puok-puok tu tenguk cd blue dale pos. Mu tok ingat ko?" Din menjawab. Padahal dia sendiri pun aku tangkap tengah tengok cd tak senonoh tu dengan Halim dan Mamat. "Puok-puok oghe tuo suruh mu buat poster pasal oghe UMNO tapi mu toksir sebab mu kato tok baik menjatuhke maruoh oghe. Tok imam maroh mu tapi mu maroh dio balik," Din ketawa terkekeh-kekeh mengenangkan peristiwa dulu.

"Ke situ pulak dia. Cerita lama dah tu. Kamu memang orang PAS? Kenapa PAS? Kalau sokong UMNO boleh dapat macam-macam," aku sengaja mengumpan Din untuk tau apa jawapannya. Tapi rasanya aku dah tau.

"Kalu kito nok kepado Isle, kito pilih PAS. Kito nok kerajae Isle. UMNO buke nok ko Isle. Nok pitih jah. Rasuoh, saloh guno kuaso, kroni, mace-mace lagi. Mako aku pilih PAS sampai ke akhir hayat," Din tersengih sambik mendabik dada.

"Islam sangatlah kamu tu?" aku bertanya. Din terkebil-kebil dengan pertanyaanku.

"Bakpo pulok?" Din kehairanan.

"Kamu bersubahat dengan orang UMNO buat bil palsu. Lepas tok penghulu UMNO tadi tu claim kayu dengan JPP, berapa banyak dia berbahagi duit haram tu dengan kamu?" aku menyindir sambil mengangkat kening aku macam Ziana Zain. Din terkulat-kulat...

"Rilek, boh... Kawe cari make jah..."

Read more...

Rabu, Oktober 22, 2008

Songkok Punya Pasal...

"Tak guna betul pejabat kadi tu," kawan aku yang bernama Mat itu menumbuk tiang wakaf di depan surau sewaktu kami duduk menunggu masuknya waktu Isyak malam tadi.

"Apasal pulak engkau ni?" aku bertanya kehairanan.

"Dah la lambat sangat proses kad nikah aku. Sekarang reject pulak," kata Mat.

"Kad nikah pun boleh kena reject jugak ke? Engkau nikah sindiket kot?" aku mengusik Mat yang tengah bengang tu.

"Sindiket kepala hotak kau. Kau sendiri yang jadik driver aku masa tu," Mat menambah. Betullah aku jadi driver tak rasmi dia masa akad nikah hari tu. Dah hampir 5 bulan lepas.

"Abis tu, apa masalahnya?" aku bertanya kerana belum jelas dengan masalah kad akuan nikah si Mat itu.

"Aku punya gambar yang kena reject," Mat memberitahu. Suaranya kembali kendur.

"Gambar? Engkau bagi gambar apa?" aku buat-buat tak faham. Padahal tentulah berkaitan gambar pasport yang diserahkan semasa akad nikah dulu tu.

"Gambar aku la. Pejabat kadi minta gambar yang pakai songkok," Mat kembali meninggikan suaranya.

"Abis tu?"

"Gambar aku hari tu pakai kopiah," Mat tersengih-sengih.

"Woit!!! Apasal pulak engkau pakai kopiah? Pakai songkok la," aku terkejut dengan kenyataannya tu. Apahal pulak beri gambar pakai kopiah?

"Aku orang PAS, mesti la pakai kopiah! Orang UMNO je yang pakai songkok!" Mat memarahi aku. Ni yang aku malas nak melayan orang gila politik berbual ni. Banyak benda yang bodoh berbanding yang cerdik.

"Menteri Besar Perak orang UMNO jugak ye?" aku bertanya sinis. Maklumlah, MB Perak selalu pakai songkok. Mat terkebil-kebil merenungku.

"Sekarang ni ramai pemimpin kita yang pakai songkok. Kalau nak sebut nama, memang tak terkira. Engkau tau tak asal-usul songkok ni?" aku bertanya soalan budak tadika pada Mat.

"Entah," pendek je jawapan Mat. Jawapan yang mudah bila tak nak berfikir.

"Songkok ni pakaian Melayu. Masa zaman Hang Tuah dulu, orang Melayu lilit kain di kepala. Kalau orang besar-besar pakai destar atau tengkolok. Bila masuk zaman British, orang Melayu pakai songkok. Engkau bangsa apa?" Entah betul, entah tidak cerita aku ni. Saja untuk buat si Mat ni faham maksud aku.

"Tapi aku orang PAS. Orang PAS mesti tetap dengan pendiriannya. PAS pakai kopiah. UMNO pakai songkok!!!" Mat menyuarakan kata-kata semangat sambil mendabik dada.

"Tak payah la. Bos-bos (pemimpin PAS) kita pun tak tetap pendirian. Dulu kata tak boleh bersahabat dengan parti agama lain tapi sekarang kita sendiri yang buat. Dulu cakap nak buat negeri kebajikan tapi sampai sekarang belum buat apa-apa," aku menambah sedikit pedas. Bengang jugak aku dibuatnya bila hal songkok kopiah pun jadi hal politik jugak.

"Kalau kad nikah engkau tak ada, macam mana engkau nak buktikan engkau dah kawin? Kalau kena operasi cegah maksiat, penat engkau nak menjawab," aku menambah lagi.

"Ye la, esok aku pergi buat gambar baru," Mat mengangguk sambil tersengih macam kerang busuk.

Apa susahnya pakai songkok?

P/S : Songkok bukan lambang parti tapi lambang bangsa Melayu. Harap maklum...

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.