"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Rabu, Februari 11, 2009

Politik Punya Hal...

Baru-baru ini hampir dalam semua akhbar di muka hadapan memaparkan kenyataan Anwar Ibrahim untuk berunding dengan Karpal Singh agar tidak meneruskan niatnya menyaman Sultan Perak.


Yang menjadi persoalannya, mengapakah Anwar menunggu sehingga beberapa hari untuk respon kepada niat Karpal Singh itu? Adakah sebelum ini Anwar sibuk hingga tidak ada masa untuk mengambil tahu hal tersebut? Atau menunggu kes ini panas beberapa ketika sebelum keluar menjadi hero?

Ada seorang sahabat membuat jenaka darihal berita ini. Katanya, mengapa Anwar nak pergi jumpa untuk berbincang? Telefon kan lebih mudah. Cepat dan segera. Guna 3G boleh tengok muka. Jika mahu pergi berjumpa, entah bila boleh berbincang.

Tindakan Anwar ini sebenarnya tidak berupaya untuk menjernihkan kembali luka yang tercalar di hati Sultan Perak disebabkan tindak-tanduk para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat yang menghina institusi raja di Perak.

Antara bentuk penghinaan terhadap institusi raja Perak adalah seperti keengganan Nizar untuk melepaskan jawatan MB, rusuhan penyokong PR yang menghalang dan merosakkan kenderaan rasmi raja, penghinaan terhadap Sultan Perak di dalam blog-blog pro-PR, serta pelbagai tuduhan liar terhadap Sultan Azlan Shah.

Tindakan para pemimpin PR terutamanya PAS dan PKR yang sengaja menyuruh para penyokong pergi bersolat Jumaat di Masjid Ubudiah adalah tindakan terancang yang tidak perlu dinyatakan arahan seterusnya. Bila sudah ramai penyokong yang berada di sana ditambah pula dengan 'panas hati' akibat jatuhnya kerajaan PR Perak, maka secara automatiknya para penyokong akan merusuh. Apa yang diperlukan adalah sedikit 'minyak' untuk dicurahkan ke dalam hati-hati yang sedang panas menggelegak itu.


Rusuhan yang buruk itu bukan sekadar menghalang laluan kenderaan anggota diraja, malah tindakan ramai di kalangan perusuh yang menendang kenderaan dan membaling batu sehingga memecahkan cermin kenderaan keluarga diraja amatlah memberi kesan buruk kepada imej PR. Yang paling terkesan sekali adalah imej PAS yang dipandang jahat oleh orang ramai. Malah kebanyakan penyokong PKR menafikan tindakan jahat itu adalah oleh penyokong PKR, dan tentulah mereka menuding kepada PAS. Alasannya, semua perusuh memakai kopiah dan serban. Tentulah pakai kopiah dan serban kerana selepas solat Jumaat. Orang PKR di sana tak solat Jumaat ke?


Di ruang siber sekalipun banyak blog pro-PR yang menjadi pak turut kepada para pemimpin yang biadap sehingga ikut sama menghina dan mengutuk sultan. Maka keluarlah pelbagai 'nas' atau dalil yang entah diambil dari mana untuk menghalalkan perbuatan mengutuk Sultan Perak.

Kita sedia maklum akan pelbagai tuduhan yang ditujukan kepada Sultan Perak. Antaranya tuduhan berpihak kepada UMNO, bencikan PR, malah tuduhan bersikap zalim terhadap rakyat. Sepatutnya kita bersyukur kerana Sultan Perak memilih wakil kita dari PAS untuk menjadi MB walaupun kerusi ADUN PAS adalah yang paling sedikit.

Tindakan para penyokong PAS (jika benarlah semuanya penyokong PAS) yang merusuh sebenarnya membuatkan orang lain yang gembira. DAP tidak perlu mengapi-apikan penentangan terhadap sultan Melayu kerana orang Melayu PAS (yang lebih Islam kononnya) sendiri melakukan penentangan terhadap sultan Melayu. Malah ruang Anwar untuk menjadi PM (jika PR berjaya menjatuhkan kerajaan BN) akan lebih terbuka. Pemimpin PAS tidak akan mendapat apa-apa malah Yang Dipertuan Agong pasti tidak akan memilih pemimpin PAS untuk jadi PM kerana PAS melakukan penentangan dan menghina raja Melayu. Nauzubillah...


Saya sebenarnya tidak pasti adakah para penyokong yang merusuh dan Unit Amal PAS yang menjadi pengawal kediaman MB Perak itu patut dipuji kerana setia kepada parti dan pemimpin, atau harus dikecam kerana jadi pak turut secara membabi-buta? Bagaimana pula dengan pemimpin yang degil enggan meletak jawatan walaupun selepas dititahkan oleh sultan yang melantiknya sebelum ini?


Kini Nizar pun sudah setuju untuk keluar dari kediaman rasmi MB tersebut. Maka tamatlah tugas Unit Amal yang sentiasa setia kepada arahan pemimpin parti tanpa banyak soal. Nasib baiklah makan minum ditanggung beres. Bolehlah mereka kembali kepada keluarga dan meneruskan hidup seperti biasa. Jika dapat elaun hasil dari tugas mengawal itu, berbaloilah juga.

Minda kita harus diubah agar sentiasa dapat berfikir matang sebelum melibatkan diri dalam apa sahaja yang dilakukan oleh pimpinan parti. Jangan mengikut atau bertindak tanpa memikirkan dahulu baik-buruknya, kerana apa yang kita lakukan itu seumpama membawa nama parti. Jika buruk yang kita buat, maka buruklah nama parti. Lebih-lebih lagi bila kita adalah dari parti Islam...

Orang-orang kita terlalu mengutamakan politik dari segala perkara yang lain. Kerana politik, kita bermusuhan. Kerana perbezaan ideologi politik, kita menganggap orang lain jahil dan kita lebih Islam berbanding orang lain. Kerana politik jugalah, ada makmum yang memilih tempat sembahyang kerana tidak mahu berimamkan orang yang bukan dari parti mereka. Dan disebabkan politik jugalah, ramai blogger yang berbalah sesama sendiri untuk menegakkan pemimpin pujaan mereka (pemimpin tak tegakkan hak rakyat pun).

Kepada penyokong PAS, janganlah kita mengikut rentak parti lain selain parti kita sendiri. Biarlah DAP dengan opera mereka dan biarkan juga PKR dengan ronggeng mereka. Kita bukan pelakon opera dan kita bukan penari ronggeng (macam Anwar). Manakala untuk penyokong parti lain, bersama-samalah kita membawa kebenaran dan keikhlasan dalam setiap perjuangan kita. Hentikan fitnah dan tohmahan.

Ini juga bukan masa untuk kita mementingkan diri kita. Sekarang adalah masa untuk kita menjulang agama Islam agar lebih dihormati di negara ini, juga di seluruh dunia. Dan ini juga masanya untuk kita membela nasib bangsa kita, serta membantu membentuk negara yang aman dan makmur.

Satu sahaja seruan saya, kita dahulukanlah agama Islam sebelum kita mengutamakan parti. Seperti kata mentor saya dalam Pas, "Perjuangkan agama Islam sebelum perjuangkan parti Islam..."

3 comments:

MyIdea 14 Februari 2009 pada 1:40 PTG  

Salam Saudara ku..

Adapun telah tersurat dalam hikayat, yang Melayu Islam akan terus dipergunakan.. sedeh2..

Masa rusuhan hari tu, tak nampak pulak kelibat para pemimpin.. Tak macam demo Bersih..

Ini meninjukkan yang rakyat terus di pergunakan untuk kepentingan seseorang.

Mungkin para pemimpin mahu rakyat2 yang mengadakan rusuhan.. kalau pemimpin ada sama, sudah tentu pemimpin tersebut akan hilang jawatan atau mungkin pemimpin takut di murkahi sultan..

"Lantak ko lah rakyat, janji aku selamat". Kata pemimpin tersebut..

hehehe..

wassalam..

PasMuda 14 Februari 2009 pada 7:28 PTG  

Salam, sahabat...

Menurut kata Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang :

"Kita cuma seru semua penyokong pergi menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dan apa yang berlaku adalah kehendak mereka sendiri."

Tak perlu suruh. Beri arahan begitu pun, org2 kita akan buat rusuhan. Penyokong mmg memahami pemimpin.

Tp pemimpin lgsg tak pergi sbb tak mahu dikaitkan dgn mereka...

Tanpa Nama,  25 Februari 2009 pada 2:40 PG  

sorry 2 say deh...yg baring atas jalan tu orghe mano?melayu deh ...dok malu ker ?mana cina ,india yg yg satu geng dalam PR tuh?mano ???melayu dipergunakan?lupikir la sendiri??

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.