Songkok Punya Pasal...
"Tak guna betul pejabat kadi tu," kawan aku yang bernama Mat itu menumbuk tiang wakaf di depan surau sewaktu kami duduk menunggu masuknya waktu Isyak malam tadi.
"Apasal pulak engkau ni?" aku bertanya kehairanan.
"Dah la lambat sangat proses kad nikah aku. Sekarang reject pulak," kata Mat.
"Kad nikah pun boleh kena reject jugak ke? Engkau nikah sindiket kot?" aku mengusik Mat yang tengah bengang tu.
"Sindiket kepala hotak kau. Kau sendiri yang jadik driver aku masa tu," Mat menambah. Betullah aku jadi driver tak rasmi dia masa akad nikah hari tu. Dah hampir 5 bulan lepas.
"Abis tu, apa masalahnya?" aku bertanya kerana belum jelas dengan masalah kad akuan nikah si Mat itu.
"Aku punya gambar yang kena reject," Mat memberitahu. Suaranya kembali kendur.
"Gambar? Engkau bagi gambar apa?" aku buat-buat tak faham. Padahal tentulah berkaitan gambar pasport yang diserahkan semasa akad nikah dulu tu.
"Gambar aku la. Pejabat kadi minta gambar yang pakai songkok," Mat kembali meninggikan suaranya.
"Abis tu?"
"Gambar aku hari tu pakai kopiah," Mat tersengih-sengih.
"Woit!!! Apasal pulak engkau pakai kopiah? Pakai songkok la," aku terkejut dengan kenyataannya tu. Apahal pulak beri gambar pakai kopiah?
"Aku orang PAS, mesti la pakai kopiah! Orang UMNO je yang pakai songkok!" Mat memarahi aku. Ni yang aku malas nak melayan orang gila politik berbual ni. Banyak benda yang bodoh berbanding yang cerdik.
"Menteri Besar Perak orang UMNO jugak ye?" aku bertanya sinis. Maklumlah, MB Perak selalu pakai songkok. Mat terkebil-kebil merenungku.
"Sekarang ni ramai pemimpin kita yang pakai songkok. Kalau nak sebut nama, memang tak terkira. Engkau tau tak asal-usul songkok ni?" aku bertanya soalan budak tadika pada Mat.
"Entah," pendek je jawapan Mat. Jawapan yang mudah bila tak nak berfikir.
"Songkok ni pakaian Melayu. Masa zaman Hang Tuah dulu, orang Melayu lilit kain di kepala. Kalau orang besar-besar pakai destar atau tengkolok. Bila masuk zaman British, orang Melayu pakai songkok. Engkau bangsa apa?" Entah betul, entah tidak cerita aku ni. Saja untuk buat si Mat ni faham maksud aku.
"Tapi aku orang PAS. Orang PAS mesti tetap dengan pendiriannya. PAS pakai kopiah. UMNO pakai songkok!!!" Mat menyuarakan kata-kata semangat sambil mendabik dada.
"Tak payah la. Bos-bos (pemimpin PAS) kita pun tak tetap pendirian. Dulu kata tak boleh bersahabat dengan parti agama lain tapi sekarang kita sendiri yang buat. Dulu cakap nak buat negeri kebajikan tapi sampai sekarang belum buat apa-apa," aku menambah sedikit pedas. Bengang jugak aku dibuatnya bila hal songkok kopiah pun jadi hal politik jugak.
"Kalau kad nikah engkau tak ada, macam mana engkau nak buktikan engkau dah kawin? Kalau kena operasi cegah maksiat, penat engkau nak menjawab," aku menambah lagi.
"Ye la, esok aku pergi buat gambar baru," Mat mengangguk sambil tersengih macam kerang busuk.
P/S : Songkok bukan lambang parti tapi lambang bangsa Melayu. Harap maklum...