Jangan Angkuh! - TGNA
Kemenangan calon PAS di PRK P36, Mohd Abdul Wahid Endut mengundang pelbagai perasaan dari hati sama ada penyokong PR mahupun penyokong BN.
Para pemimpin dan penyokong BN tentulah gundah-gulana dan berdukacita atas kekalahan ini kerana BN kehilangan 1 kerusi parlimen. Namun kekalahan ini bukanlah bermakna BN akan terus gagal selamanya kerana ianya akan menjadi pedoman dan teguran kepada BN dan UMNO khususnya untuk memperbaiki kepimpinan, dasar-dasar negara, dan hubungan dengan rakyat.
Dari segi penyokong PR terutamanya para penyokong PAS yang sentiasa bertungkus-lumus bekerja untuk memastikan kemenangan PAS, kemenangan ini disambut dengan penuh keseronokan. Pastinya seluruh pemimpin dan penyokong PAS di serata Malaysia bergembira dan bangga dengan pencapaian ini.
Namun haruslah diingat, kemenangan ini bukanlah lesen yang membolehkan kita untuk bercakap besar atau mengutuk parti lawan. Kemenangan ini adalah tanggungjawab yang diberikan oleh pengundi agar PAS memperkuatkan semangan berkebajikan terhadap rakyat. Janganlah jadikan perolehan kerusi parlimen ini sebagai khayalan mengimpikan kuasa yang makin banyak dalam genggaman.
Kita telah melihat dan mendengar betapa banyak blog-blog pro-PAS dan pro-PR mempersendakan kekalahan BN dalam pilihanraya ini. Tidak kurang juga daripada kalangan pemimpin PAS, PKR dan DAP yang memperlekehkan perjuangan BN dan UMNO. Apalagi daripada kalangan penyokong yang sentiasa menjadi pak turut kepada kelakuan buruk pemimpin yang disanjung mereka. Perangai buruk diikut, perangai baik tak diikut pula.
Tidaklah seorang Mukmin itu suka mencela, dan tidak pula suka melaknat, dan tidak keji mulut dan tidak berkata kotor. (Hadis Riwayat Muslim)
Malu itu bagian dari iman, dan iman itu di surga ; sedangkan ucapan kasar bagian dari sifat kasar, dan sifat kasar itu di neraka. (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Orang yang banyak berkata, akan banyak silap, dan orang yang banyak silap akan banyak dosa dan orang yang banyak dosa ialah neraka lebih layak baginya. (Maksud Hadis)
Orang yang buruk dari kalangan umatku ialah yang selalu makan mewah, berpakaian aneka ragam dan suka bercakap besar.(Maksud Hadis)
Walau apapun teguran dan nasihat Tuan Guru Nik Aziz, rasanya para pemimpin PR dan penyokong-penyokong mereka akan terus bercakap besar dan angkuh kerana politik moden telah membutakan hati mereka. Jangan pula Tuan Guru sendiri yang berkata-kata angkuh nanti. Minta dijauhkan. Moga kita semua diberikan petunjuk dan hidayah daripada-Nya.
MStar - Ahad Januari 18, 2009
Nik Aziz ingatkan pemimpin PAS jangan keluar kenyataan angkuh
KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin PAS dan komponen Pakatan Rakyat tidak mengeluarkan kenyataan yang angkuh berikutan kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, mengeluarkan kenyataan negatif seperti itu tidak akan membawa gambaran yang baik kepada parti dan menjejaskan persepsi masyarakat terhadap PAS.
"Jangan buat kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan kerana tujuan kita buat kerja (memperjuangkan parti) adalah kerana dakwah.
"Kalau dia (pihak lawan) terluka, kita nak paut (pikat semula) dia tidak boleh. Jadi kita kena ingat, kerja kita adalah untuk akhirat," katanya di sini hari ini.
Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.
Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan.
Nik Abdul Aziz yang bersyukur dengan kemenangan PAS itu berkata kemenangan itu adalah petanda perjuangan PAS mula difahami oleh semua kaum termasuk penyokong DAP.
Beliau berkata ini menunjukkan yang mereka memahami bahawa PAS dan Islam tidak menolak kemajuan seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu sebelum ini.
Ini dibuktikan sendiri dengan kemajuan dan pembangunan yang dibawa PAS di Kelantan mengikut acuan Islam sejak 1990, katanya. BERNAMA
1 comments:
Salam ziarah dari Pak Karamu
Catat Ulasan