Perlu Beri Imej Baik Kepada Parti
Kadangkala seronok juga melihat ramai yang menyokong PAS terutamanya di Kelantan ni. Penuh dengan semangat. Harap-harap sangat mereka benar-benar mahukan Islam menjadi dasar yang kuat dalam pemerintahan negara dan masyarakat Malaysia.
Ramai dari kalangan penyokong di Kelantan ini yang terdiri daripada tok lebai, pelajar pondok dan juga dari kalangan muda. Sewaktu menghadapi Pilihanraya Umum 12, kami tidak perlu risau untuk bertungkus-lumus membina pos parti atau menggantung poster dan bendera kerana ramai golongan muda dan budak-budak yang sanggup tidak tidur malam untuk mengerjakannya sehingga siap.
Namun sepanjang menghadapi pilihanraya tersebut, aku sebenarnya risau dengan semangat Islam dalam diri para penyokong yang suka menyebut diri mereka sebagai 'orang PAS' kerana terlalu banyak sikap yang bertentangan dengan perlembagaan dan dasar parti. Malah bertentangan dengan ajaran Islam yang syumul. Terlalu banyak sikap memandang serong dan memburukkan orang parti lain yang dilakukan oleh orang yang mengaku sebagai ahli PAS.
Sewaktu pergi menziarah kematian di sebuah kampung, aku berkesempatan melihat betapa buruknya perangai manusia akibat daripada perbezaan ideologi politik. Si mati adalah orang PAS dan ramai yang datang melawatnya adalah orang PAS. Aku hairan bila melihat para hadirin memandang sinis kepada adik si mati yang datang bersama keluarganya, malah ramai juga yang mencemuh adik si mati tersebut. Aku bertambah hairan bila melihat para hadiri yang terdiri daripada orang-orang PAS ini sengaja menghalang jalan sehingga menyebabkan adik si mati sukar untuk masuk melihat arwah abangnya. Apabila ditanya kepada seorang hadirin yang ada, dia mengatakan bahawa adik si mati adalah orang UMNO. Dalam keadaan kesal kepada orang-orang yang sama ideologi politik dengan aku, aku membantu adik si mati untuk melaksanakan fardhu kifayah terhadap arwah abangnya.
Di kedai kopi makcik aku yang turut menjadi pos PAS, aku melihat banyak laksam yang tidak habis dijual walaupun matahari telah tegak di atas kepala. Biasanya sebelum ini laksam sudah habis terjual sebelum pukul 10 pagi. Makcik aku mengatakan ianya adalah laksam 'warna biru'. Apa yang birunya? Nampak ok je. Rupa-rupanya pembuat laksam tersebut adalah penyokong BN. Apa masalahnya? Haram ke? Selama ni orang kita (PAS) juga yang makan, sekarang kenapa tak boleh? Makcik aku diam sahaja dengan pertanyaan aku itu...
Dalam ceramah politik dalam menghadapi PRU 12, calon wakil rakyat PAS ada mengutuk dan memaki pihak-pihak tertentu tanpa asas dan bukti sahih. Malangnya para penyokong bertakbir 'ALLAHUAKBAR' dengan begitu kuat menyahut caci-maki tersebut. Takbir untuk caci-maki? Mungkin kerana Tok Guru Hj Hadi mengizinkan mengumpat dan caci-maki...
Banyak juga risalah yang memburukkan pemimpin tertentu dan kerajaan yang diedarkan. Saya tertarik dengan satu risalah yang menunjukkan gambar lama pemimpin UMNO 'buat salah'. Tapi itukan gambar lama. Bagaimana jika pemimpin tersebut telah bertaubat dan tidak buat begitu lagi? Wajarkah kita membangkitkan sesuatu yang telah lama berlaku? Harus diingat, pemimpin kita sendiri pun banyak masalah moral dulu-dulu. Adakah dengan masuk PAS maka dosa dulu boleh hilang begitu sahaja? Jangan lupa akan pemimpin-pemimpin kita yang sering buat kenyataan yang bukan-bukan tetapi masih belum mengakui kesalahan, malah minta maaf pun tidak. Dulu kes mengatakan Allah pun mencarut pun belum ada kenyataan maaf. Mungkin disebabkan PAS adalah parti Islam dan pemimpinnya semua taraf ustaz dan tok guru maka mereka kebal dari sebarang kesalahan?
Sewaktu singgah ke pos-pos PAS di beberapa tempat sewaktu dinihari, aku sempat melihat sesuatu yang memalukan dilakukan dalam pos PAS tersebut terutama ketika orang-orang muda yang menjaga. Antaranya menonton vcd lucah, berjudi dan menghisap dadah. Memang aku terkilan dengan perlakuan golongan sebegini. Itu belum termasuk tindakan menconteng jalan, merosakkan poster lawan, mengejek penyokong lawan dan sebagainya.
Setelah selesai mengundi, ada sebilangan penyokong PAS yang mengambil bendera BN dan memijaknya di atas tanah. Ada yang membakar bendera BN seperti perusuh Indon membakar bendera Malaysia dan ada yang menggantungkannya secara terbalik. Aku sendiri berkesempatan melihat sekumpulan orang muda berbaju PAS yang merosakkan kenderaan penyokong BN hanya kerana penyokong BN tersebut tidak mahu menanggalkan bendera BN di keretanya. Malah ramai budak-budak pondok yang gembira melihat tindakan jahat tersebut.
Aku melihat perkara ini semakin membarah dalam kelompok penyokong PAS. Jika ia berlarutan, ia akan memburukkan nama baik PAS dan ini bagaikan menghina asas Islam dalam parti.
Seorang sahabat yang terlibat aktif dalam parti menyatakan bahawa perbandingan antara ahli dengan penyokong dalam PAS bagaikan air kolam dengan air laut. Maknanya ahli berdaftar terlalu sedikit berbanding jumlah penyokong yang ada. Mungkin disebabkan cawangan tidak berusaha untuk menambah bilangan ahli atau penyokong tidak sanggup mengikut syarat keahlian untuk 'Memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam'. Bukan sekadar memperdalamkan ilmu pengetahuan, tapi amal-ibadat juga wajib dilakukan.
Maka tidak hairanlah jika kita melihat betapa ramainya orang yang mengaku sebagai orang PAS tetapi melakukan perkara yang di luar batasan agama seperti memaki-hamun pihak lain, merosakkan harta benda awam, membuat rusuhan dan kacau-ganggu, serta tidak berpendirian tetap terhadap agama dan bangsa. Malah ramai juga yang tidak melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam untuk beribadat kepada Allah. Apa lagi untuk berbuat baik sesama saudara seagama, atau amar maaruf nahi mungkar.
Apabila PAS bergabung dengan PKR dan DAP di bawah Pakatan Rakyat, sikap penyokong kelihatan tidak tentu arah. Mereka tidak lagi menjadi seperti penyokong PAS yang sepatutnya setia kepada parti dan menyokong Islam untuk pemerintahan dan kehidupan yang lebih baik. Mereka menjadi 'penyokong PR' yang mengikut segala apa yang diperkatakan oleh mana-mana pemimpin walaupun daripada PKR atau DAP. Malah bila ada pemimpin PAS yang tidak sealiran dengan pemimpin besar PR yang seorang tu, maka pemimpin PAS itu ditempelak kembali oleh orang-orang yang mengaku sebagai orang PAS ini.
Diburukkan lagi dengan tindakan para pemimpin PAS sendiri yang tidak menunjukkan sikap sebagai khalifah Islam yang sebenar dengan mengamalkan matlamat menghalalkan cara. Mereka mengutuk dan mengharamkan segala yang pemimpin parti lain buat tetapi menghalalkan segala apa yang mereka lakukan. Perkara ini akan menjadi ikutan para penyokong dan pasti berlaku perbuatan yang melampaui batas dan ajaran Islam.
Aku mengharapkan agar semua pemimpin, ahli, pengikut dan penyokong PAS agar istiqamah dalam perjuangan dan kembali menghayati perlembagaan parti yang mengutamakan Islam lebih dari mengutamakan kepentingan diri sendiri. Janganlah sibuk memburukkan orang lain sedangkan diri sendiri membawa kerosakan kepada diri sendiri, parti, masyarakat dan negara.
Jika ada yang terlupa dengan perlembagaan dan perjuangan parti, hayati dan fahamilah beberapa Fasal yang penting ini :
Fasal 3 .
Dasar PAS ialah Islam
Fasal 4 .
Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR
Fasal 5 .
Tujuan PAS ialah :
1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara.
Fasal 6 .
Usaha–usaha :
1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai–nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.