UMNO : Masih Relevenkah Parti Melayu?
Walaupun BN masih dapat menguasai pemerintahan negara namun semakin goyah dengan kejatuhan 3 negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah ke tangan parti pembangkang. Selain itu kegagalan menawan Kelantan dengan kehilangan banyak kerusi DUN berbanding pilihanraya lalu membuatkan BN semakin tertekan.
Dengan pakatan pembangkang atau dikenali sebagai BA, masih bergembira dan merayakan kejayaan besar dalam pilihanraya kali ini, BN pula bergolak dengan pelbagai masalah dalaman. MIC, MCA dan Gerakan kehilangan banyak kerusi dengan para pemimpin utama tertewas di gelanggang sendiri. UMNO pula yang sepatutnya mengetuai BN mengalami pergolakan yang amat besar dari segi kepimpinan dan perpaduan dalaman.
Sejak tamat pilihanraya hingga ke saat ini, kita masih mendengar berbagai cerita dalam UMNO dari peringkat pusat ataupun negeri. Ada yang menyalahkan antara satu sama lain akibat tewas di tangan pembangkang. Berlaku perpecahan di peringkat negeri untuk memilih menteri besar. Dan ada juga bertelagah sesama sendiri akibat tidak dipilih sebagai calon pilihanraya.
Banyak faktor yang menyebabkan BN dan UMNO mengalami kejatuhan yang begitu mendadak. Salah satunya mungkin disebabkan para pemimpin dan calon BN merasa begitu selesa dengan kedudukan mereka selama ini. Sudah banyak yang mereka perolehi sepanjang tugas mereka dalam kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Malah kedudukan mereka dalam parti juga begitu selesa dan senag-lenang walaupun tidak mendapat jawatan utama. Ini menyebabkan mereka lupa diri dan lupa tanggungjawab mereka kepada rakyat.
Para pemimpin UMNO begitu hebat bercakap dan berhujah tetapi gagal dalan menjalankan tugas kepada rakyat. Mereka mudah ditemui semasa pilihanraya hampir tiba tetapi sukar apabila habis pilihanraya. Sewaktu mereka berkuasa, rakyat dapat melihat mereka semakin kaya. Rumah semakin besar, kereta mewah semakin banyak, malah kawan-kawan dari kalangan peniaga besar pun semakin ramai. Banyak juga penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan pembaziran dalam dana kerajaan.
Bila terjadi masalah kenaikan harga barang, mereka hanya meminta rakyat bersabar dengan alasan kenaikan harga barang tersebut adalah lumrah dan perlu dihadapi. Rakyat sememangnya faham tentang masalah tersebut tetapi mampukah rakyat mengeluarkan perbelanjaan yang lebih? Pihak wakil rakyat tentulah tidak begitu ‘sakit’ dengan kenaikan harga tersebut kerana pendapatan mereka begitu lumayan. Mengapa mereka tidak berusaha untuk mengawal kenaikan harga tersebut dengan membentuk dasar-dasar dan perundangan baru?
Kerana itulah rakyat menunjukkan kuasa undi mereka dalam PRU-12. Mereka bukanlah menolak kerajaan BN tetapi sekadar memprotes dan menyampaikan sedikit teguran. Bukan sedikit yang sedih dan menangis bila melihat BN hampir tewas kepada pakatan pembangkang sedangkan mereka sendiri yang mengundi pembangkang. Ramai juga penyokong pembangkang yang terkilan dengan kekalahan BN sehinggakan parti bukan Melayu mendapat kuasa besar. Rakyat masih sayangkan UMNO dan BN tetapi UMNO khususnya masih belum memahami mesej yang disampaikan oleh rakyat. UMNO masih bertelagah untuk berlumba-lumba mendapatkan kuasa.
Syabas kepada Presiden MCA, MIC dan Gerakan kerana bertanggungjawab dengan kekalahan mereka dan sanggup tidak diberikan kuasa walaupun sebagai senator sekalipun. Nampaknya mereka mahu mengambil masa untuk menilai diri dan kepimpinan parti masing-masing dan memperbetulkan mana-mana yang salah.
UMNO masih lagi relevan tetapi perlulah dirawat dengan begitu rapi agar segala penyakit kronik dalam diri setiap pemimpin mereka boleh dihapuskan. Binalah kepimpinan yang bersih dan berwibawa. Rakyat malaysia masih perlukan UMNO sebagai pemimpin mereka. Adakah UMNO perlu reformasi besar-besaran?