"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Ahad, Mei 10, 2009

Ketua Pemuda Tempelak Pemimpin PAS

Utusan Malaysia - 10 Mei 2009

KOTA BHARU 9 Mei - Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Muhammad Zaki Ibrahim (gambar) menempelak sikap sesetengah pemimpin tertinggi parti itu kerana masih mempertikaikan perkara asas dan dasar perjuangan parti yang telah ditubuhkan lebih 50 tahun lalu.


Katanya, setiap kali menjelang pemilihan, isu yang timbul ialah siapa layak memimpin sama ada ulama atau profesional sedangkan perkara itu telah dijelaskan dalam perlembagaan.

Katanya, pada masa yang sama, beberapa pemimpin Pas akan memberikan definisi sendiri tentang kedua-dua golongan tersebut dan menjadi perdebatan hangat dalam media.

"Setiap dua tahun sekali semua orang bercakap mengenai konsep kepimpinan ulama, seolah-olah orang lihat dalam bab asas dan dasar parti ini masih tidak jelas walaupun lebih 50 tahun parti ditubuhkan.

"Kini semua orang memberi tafsiran sendiri siapa ulama dan profesional, tahun lalu tidak timbul isu seperti ini. Dalam perlembagaan parti telah dijelaskan, baca semula dan tengok resolusi Dewan Pemuda Pas Pusat 1982 mengenai konsep kepimpinan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kelantan Kali Ke-50 di sini hari ini. Ia dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Sabki Yusof.

Muktamar tersebut menyaksikan anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan dicabar oleh naibnya, Abdul Latiff Abdul Rahman bagi jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan selepas Zaki melepaskan jawatan kerana telah melepasi had usia.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan perdebatan hangat mengenai siapa yang layak untuk memimpin parti itu apabila jawatan Timbalan Presiden dilihat akan berlaku pertembungan antara beberapa pemimpin parti itu.

Antara mereka yang merebut jawatan berkenaan ialah dua naib presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu, Pesuruhjaya Pas Kedah dan Selangor, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Dr. Hassan Ali serta penyandang jawatan itu, Nasharuddin Mat Isa.

Ekoran itu tercetus polemik siapa yang layak sama ada ulama atau profesional. Daripada senarai calon yang berminat itu hanya dua yang dilihat mewakili golongan ulama iaitu Nasharuddin dan Azizan.

Muhammad Zaki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran berkata, ramai di kalangan pemimpin Pas tidak membaca dan memahami kandungan perlembagaan yang memperjelaskan mengenai konsep kepimpinan ulama.

"Dalam perlembagaan dijelaskan bahawa ulama telah diinstitusikan melalui Majlis Syura Ulama hasil resolusi Dewan Pemuda pada muktamar tahun 1982, ia dijelaskan dalam Fasal 17 perlembagaan Pas.

"Jangan kita bercakap kalau tidak membaca perlembagaan, zaman dahulu kita diajar tentang perlembagaan oleh ustaz yang berjuang pada peringkat awal Pas ditubuhkan. Saya amat berharap pemimpin kita patuhi perlembagaan parti dan tidak membicarakan hal dalaman parti secara terbuka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Sabki berkata, perbahasan mengenai ulama bukan bergantung kepada sijil yang dimiliki oleh seseorang pemimpin tetapi kualiti yang dimiliki.

"Gabungan profesional dan ulama adalah penting serta tidak boleh dipisahkan dalam Pas. Apa yang penting ialah kualiti ulama dan profesional itu sendiri.

"Ulama perlu hayati perjuangan, ada keikhlasan dan ilmu Islam manakala profesional pula mesti kuasai ilmu yang mana dia berada dalam bidang itu dan mahir dalam ilmu pengurusan, kalau tidak boleh hendak uruskan, orang tidak akan bagi jalan," katanya.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.