Hak Eksklusif?
Semenjak tamatnya PRU12, kelihatan para pemimpin makin kuat bersuara. Para penyokong dan rakyat juga semakin lantang berkata-kata. Dalam akhbar, radio dan televisyen penuh cerita. Internet, forum dan blog juga dibarisi nista dan fakta.
Kadangkala rasa serabut dan bosan bila melihat atau mendengar banyak versi yang berbeza untuk satu cerita. Ada kisah sebenar, ada juga kisah yang difitnahkan. Ada yang menyoal dan ada yang menjawab. Selalunya yang kita jumpa adalah pihak A mengutuk pihak B, dan pihak B menjawab kutukan pihak A sama ada dengan fakta, tipu-tipu atau maki-hamun. Begitulah juga sebaliknya. Masing-masing buat dan masing-masing merasa.
Agaknya sudah berapa banyak blog dan forum politik yang pro-BN dan pro-PR yang ada di dunia internet kini? Mungkin jumlahnya beratus-ratus, atau mungkin juga beribu.
Yang hairannya bila melihatkan sikap segelintir manusia yang bagaikan tidak mahu menerima apa sahaja teguran, penulisan atau kata-kata terhadap golongan mereka. Mereka begitu pantas menyerang, memaki-hamun, mengutuk, dan menjatuhkan hukum terhadap pihak lain. Sedangkan pada masa yang sama golongan mereka sedang melakukan perkara yang sama malah lebih teruk lagi terhadap orang lain.
Nampaknya ada pihak yang menganggap hak untuk bercerita, mengutuk pihak lawan, dan sebagainya seperti hak eksklusif mereka. Hanya mereka yang berhak menulis dan berkata-kata walaupun tanpa bukti sahih, walaupun hanya diceritakan oleh entah siapa-siapa. Bagaikan hanya mereka yang berhak menyerang pihak lain dan mendedahkan pelbagai cerita berkaitan, walaupun hanya rekaan.
Orang lain tak boleh buat blog? Tak boleh mengutuk parti lawan? Tak boleh dedahkan keburukan dan kelemahan pemimpin parti lawan? Kenapa orang lain tak boleh? Engkau sahaja yang boleh?
Ada yang begitu seronok dan percaya bulat-bulat apabila membaca penulisan atau mendengar cerita daripada golongan mereka sendiri yang memfitnah dan mencaci-maki golongan parti lawan. Dan mereka jugalah yang akan menjadi burung belatuk yang memuatkan cerita tersebut dalam blog masing-masing atau menceritakannya secara lisan. Itu jugalah yang dicanangkan ke segenap ceruk tempat, kononnya dia sahaja yang betul.
Namun apabila bertemu hasil penulisan atau mendengar cerita daripada lawan politik mereka, mustahil untuk mereka menerima bila ianya 'mengetuk' golongan mereka. Maka tidaklah mereka menyelidik terlebih dahulu, melainkan menyerang dengan penuh dendam kesumat bagaikan iblis kelaparan.
Contohnya, apabila mereka bertemu blog yang begitu lantang mengutuk golongan mereka (sedangkan mereka juga begitu). Mulalah mereka menyamar sebagai blogger tersebut untuk memburukkan imej dan menduplikasi blog semata-mata mahu menjadikan dunia blog politik dan hak bersuara sebagai hak mutlak mereka. Mereka ini yang melaungkan kebebasan? Hanya untuk mereka tetapi tidak untuk orang lain? Golongan sebeginikah yang boleh membawa perubahan untuk negara Malaysia yang tercinta ini?
Kadangkala apabila pihak lain seperti mufti atau ahli agama yang lainnya menegur lawan politiknya, maka bersorak-sorailah mereka mengangkat mufti atau ahli agama itu sebagai hero mereka, disanjung setinggi-tingginya. Tetapi bila mufti dan ahli agama tersebut menegur pihak mereka, maka mereka akan menyalak kemarahan serta memaki menghina mufti dan ahli agama tersebut habis-habisan. Apakah golongan mereka begitu suci dari dosa dan lebih tinggi darjat berbanding mufti dan ahli agama yang mahu menegur ke arah kebaikan?
Begitu juga sistem kehakiman. Bila mahkamah menyebelahi pihak mereka, maka berkokoklah berderai-derai bahawa mahkamah itu adil. Namun bila keputusan mahkamah tidak memenangkan mereka, maka menyalaklah mereka bahawa kehakiman dikawal oleh pihak tertentu.
Bukan sahaja orang parti lawan, malah orang parti sendiri juga mereka serang dan maki-hamun bila insan tersebut menegur kelemahan dan keburukan mereka sendiri. Pantas mereka mencemuh dan mengutuh insan tersebut pelbagai perkara. Kasihan insan tersebut yang cuba menjadi manusia yang memegang tanggungjawab untuk menegur ke arah kebaikan selaras dengan ajaran Islam, yang cuba membersihkan 'ahli keluarganya' sebelum membersihkan orang lain. Contohnya Ustaz Nik Abduh dan Mohd Sayuti Omar yang turut menerima cemuhan bila menegur pihak-pihak tertentu dalam PAS.
Adakah ini disebabkan mereka menjadikan hak cerita politik, dunia blog dan internet tanpa sempadan ini sebagai hak eksklusif mereka atau mungkin kerana mereka mula hilang akal disebabkan ketaksuban politik melampau. Bila sengaja menyempitkan ruang untuk orang lain berbicara sama seperti mereka, maka terbuktilah mereka adalah golongan sempit akal!
Ada pihak yang selalu mengatakan hadis ini terhadap lawan politik mereka, sedangkan mereka sendiri tidak mengamalkannya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Hujurat 49:6)
Andainya pemimpin melakukan kesalahan atau kesilapan, tegurlah ia jangan sampai menjatuhkannya tetapi membuatkan dia sedar dan insaf, seterusnya memperbaiki diri untuk kebaikan rakyat dan pengikutnya.
Bagaimana pula jika rakyat atau penyokong yang membuat kesalahan? Kutuk penyokong parti lain sahaja?
0 comments:
Catat Ulasan