"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Rabu, November 19, 2008

Ketuanan Melayu, Ketuanan Islam

Nik Aziz: Tiada istilah ketuanan Melayu dalam Islam
Mstar Online - Selasa November 18, 2008

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

"Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.

"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.

"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.

"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam," katanya. BERNAMA


- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz, kita sememangnya tahu bahawa dalam Islam tidak menekankan kelebihan untuk sesuatu bangsa sahaja. Islam adalah universal untuk semua umat Islam dan yang paling penting adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Ketuanan Melayu yang kita laungkan selama ini merujuk kepada salasilah kita sebagai pewaris asal Tanah Melayu ini sejak dulu lagi. Dengan cabaran dan tekanan bertubi-tubi daripada bangsa lain yang bukan beragama Islam, kaum Melayu berjuang untuk mempertahankan haknya. Maka timbullah laungan 'Ketuanan Melayu' demi membela nasib dan mempertahankan hak istimewa Melayu di tanahair ini.

Dalam konteks negara kita pada hari ini, Ketuanan Melayu dan kenyataan Tuan Guru yang tersebut adalah relevan. Kita memerlukan perjuangan mempertahankan Ketuanan Melayu serta pada masa yang sama melaksanakan dasar dan kehendak Islam dalam setiap perkara. Kita sendiri dapat lihat bagaimana hak istimewa Melayu dipersoalkan malah hukum Islam menjadi ejekan golongan bukan Islam kerana kononnya tiada kebebasan.

Sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya ingin melihat seluruh Melayu dan semua yang beragama Islam di Malaysia ini untuk bersama-sama mempertahankan bangsa dan agama. Janganlah kerana disebabkan ideologi politik kepentingan diri, kita sanggup mengorbankan kepentingan bangsa kita sendiri dan tidak mempertahankan agama kita hanya semata-mata untuk berbaik dengan orang lain.

Jika orang lain tidak menghormati bangsa dan agama kita, mengapa kita perlu menjaga hati mereka? Adakah kita mahu menjadi seperti anjing yang sentiasa diherdik tetapi masih menjilat kaki tuannya dengan penuh kasih-sayang?

P/S : Ketuanan Melayu betul, Ketuanan Islam pun betul...

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.