Zulkifli Nordin : Syabas! Tetapi PKR Bukan Landasan Yang Betul Untukmu...
Aku tersenyum gembira bila siaran berita menunjukkan Zulkifli Nordin, ahli Parlimen Kulim Bandar Baru menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap ahli yang berhormat sama ada dari BN atau PR terutamanya yang bukan beragama Islam terhadap agam Islam di Malaysia. Kelantangannya bukan sahaja mengejutkan semua yang ada malah membuatkan tiada seorang pun ahli perlimen lain yang bangun menjawab hujahnya.
Disebabkan siaran berita hanya memaparkan sebahagian ucapan Zulkifli Nordin, keesokannya aku membuka internet di pejabat dan mencari semua berita yang berkaitan. Memang ramai blogger yang kagum dengan sikap Zulkifli Nordin sama ada blogger yang pro-UMNO ataupun blogger yang pro-PAS. Mereka berbangga melihat ada seorang pemimpin yang lantang menjaga kesucian Islam pada waktu pemimpin parti Islam mendiamkan diri dalam hal berkaitan agama dan bangsa kerana takut menimbulkan kemarahan kawan dari parti lain.
Malangnya Zulkifli Nordin berada dalam kelompok PKR. Kita semua sedar bahawa PKR adalah sebuah parti politik yang boleh dikatakan sekular dan memperjuangkan kesamarataan antara kaum berdasarkan slogan yang dilaungkan Anwar Ibrahim. Sebelum ini Zulkifli Nordin telah dipanggil oleh lembaga disiplin PKR kerana menentang forum Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam. Ahli Majlis Peguam kebanyakkannya terdiri daripada ahli PKR malah Anwar Ibrahim sendiri menyokong penganjuran forum tersebut atas nama kebebasan.
Dengan sikap yang ditunjukkan Zulkifli Nordin itu, boleh menyebabkan beliau disepit oleh orang-orang besar PKR yang ramai terdiri dari kalangan bukan Islam. Anwar Ibrahim sendiri tentunya tidak suka kerana Anwar Ibrahim mahu Zulkifli Nordin ikut suruhannya dan bukan suruhan Allah...
Zulkifli Nordin mempunyai blognya sendiri. Jika beliau melayari internet lebih dari sekadar mengemaskini blognya, beliau akan sedar bahawa walaupun ramai yang bangga dengan tindakannya di dalam parlimen tetapi ramai jugalah yang membuat spekulasi dan fitnah atas kelantangan beliau itu.
Dari apa yang saya jumpa, ada blog yang membuat kenyataan bahawa Zulkifli Nordin membuat perjanjian dengan UMNO. Dengan perjanjian itu membuatkan UMNO menarik balik petisyen terhadap keputusan pilihanraya Kulim Bandar Baru. Antara banyak fitnah yang dinyatakan berkaitan spekulasi tersebut adalah Zulkifli Nordin buat perjanjian dengan UMNO untuk menjadi duri dalam daging terhadap PKR, kononnya akan masuk UMNO, dan bermacam-macam fitnah yang tidak sanggup saya baca lagi. Malangnya yang buat cerita fitnah tersebut bukanlah bangsa lain tetapi yang sebangsa dan seagama dengan Zulkifli Nordin, aku dan ramai lagi blogger dan pembaca di luar sana. Bertambah buruk lagi bila yang terlibat memfitnah beliau adalah penyokong PKR yang sepatutnya menyokong beliau sebagai pemimpin PKR dan orang-orang PAS yang menganggap mereka lebih Islam berbanding orang lain.
Jika PKR bukanlah landasan yang betul untuk Zulkifli Nordin memperjuangkan Islam, landasan yang manakah yang betul? Adakah PAS yang sepatutnya menjadi tapaknya perjuangannya?
Pada pendapat saya, PAS kini bukanlah seperti PAS yang dulu yang benar-benar berpegang kepada perlembagaannya untuk menegakkan syiar Islam. PAS kini hanya berani menuntut Islam daripada UMNO sahaja tetapi menjadi pengecut untuk menyebut Islam bila berhadapan dengan kawan PR yang disayanginya. PAS sekarang juga banyak bergaduh sesama sendiri disebabkan ada satu pihak mahu mengikut Anwar Ibrahim manakala satu pihak lagi tidak mahu menjadi barua Anwar Ibrahim. Maka bermaki-makianlah pihak barua Anwar Ibrahim terhadap pihak yang satu lagi...
DAP tentulah bukan landasan untuk ZUlkifli Nordin dan UMNO pula bukanlah pilihan hatinya. Jadi apakah jalan yang patut dipilihnya? Jika dengan PKR, beliau perlu melapor kepada Anwar Ibrahim. Jika dengan PAS, beliau akan keliru sama ada perlu melapor kepada puak pengikut Anwar Ibrahim atau puak bukan pengikut Anwar Ibrahim. Jika dengan DAP, beliau perlu melapor kepada Lim Kit Siang atau Karpal Singh tapi tentu beliau akan dimaki. Jika dengan UMNO, kena melapor kepada Pak Lah.
Zulkifli Nordin hanya melapor kepada Allah! Maka jalan yang sepatutnya adalah bersama Ibrahim Ali yang bebas menghentam BN atau PR...
Salute Zulkifli Nordin...
P/S : Baca wawancara bersama Zulkifli Nordin di Utusan Malaysia. Aku tak boikot Utusan...