"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Rabu, Oktober 29, 2008

Akaun Defisit Adalah Akaun Aktif?

Aku tertarik membaca salah satu berita di muka depan Sinar Harian 28 Oktober 2008 berkaitan kenyataan MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz bahawa kedudukan akaun negeri Kelantan yang defisit menunjukkan bahawa akaun negeri Kelantan adalah aktif. Betulkah begitu?

Ya, sememangnya betul. Akaun defisit menunjukkan kerajaan negeri Kelantan berjaya mengaktifkan akaun negeri secara total dan maksimum dengan pelaksanaan projek, kebajikan dan program untuk rakyat. Kalau tak aktif, takkanlah akaun tu boleh jadi defisit. Betul tak?

Sewaktu sibuk untuk menghadapi pilihanraya umum baru-baru ini, PAS negeri Kelantan telah mencanangkan kepada rakyat dan penyokongnya bahawa seandainya BN dapat menguasai Kelantan maka negeri ini akan dipenuhi korupsi dan salahguna kuasa. Ini kerana PAS Kelantan mengatakan bahawa sewaktu mereka mengambilalih kerajaan Kelantan daripada BN, akaun negeri mengalami defisit sebanyak RM100 juta akibat perbelanjaan yang tidak telus dan pembaziran. Keadaan itu kononnya telah diperbetulkan bila mereka yang memerintah Kelantan dengan perolehan hasil yang baik tetapi tidak dinyatakan berapa jumlahnya atau dari mana hasilnya. Malah ramai yang tertanya-tanya jika perkara itu benar keranan ramai yang tidak nampak kenyataannya.

Namun nada PAS Kelantan mula berbeza bila akaun negeri mengalami defisit di bawah pemerintahan cemerlang selama 18 tahun. Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz bagaikan kata-kata orang yang terlupa dengan apa yang pernah dikatakannya sebelum ini. Jika defisit akaun di bawah kerajaan BN dikatakan korupsi dan pembaziran, bagaimana pula jika defisit akaun di bawah kerajaan PAS?

Secara nyata, ramai penyokong PAS sendiri terkejut dengan kenyataan Tuan Guru yang kita sayangi ini. Bagaimana boleh defisit sedangkan tak banyak projek atau program yang dijalankan untuk rakyat? Bagaimana tak dapat banyak hasil sedangkan banyak cukai yang perlu dibayar dan caj meletak kereta pun mahal? Ramai yang mahu tahu bagaimana boleh terjadinya defisit tersebut.

Di sebelah pihak penyokong yang tak berapa cerdik, kenyataan Tuan Guru tersebut disambut dengan perasaan bangga. Bangga kerana Kerajaan PAS Kelantan 'berjaya mengurus-tadbir' kewangan negeri dengan baik. Maka dicanangkan sekitar kampung dan sekitar daerah berita gembira tersebut.

Yang menjadi persoalan, apakah perbelanjaan yang mengakibatkan defisit tersebut? Adakah ada penyalahgunaan dana untuk membina markas atau masjid PAS di sekitar Kelantan? Mustahil, kerana ianya menggunakan dana PAS sendiri dan juga daripada sumbangan para dermawan. Atau adakah defisit ini berlaku ada kaitannya dengan penyelewengan projek pembekalan air Kelantan yang dikaitkan dengan Husam Musa? Atau ada penyelewengan yang kita tak tahu?

Dalam kes pembentangan Bajet Berimbang 2009 yang dibacakan oleh Dato Husam Musa, defisit yang berlaku adalah sebelum bajet tersebut dilaksanakan. Bagaimana ianya boleh dikatakan berimbang jika ianya defisit? Turut menjadi persoalan adalah hutang kerajaan Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan yang masih tertunggak dan gagal dijelaskan oleh kerajaan Kelantan.

Ada rakyat yang tertanya-tanya bagaimana kerajaan Kelantan boleh berhutang sedangkan rakyat diwar-warkan dengan cerita kerajaan Kelantan berjaya menyelesaikan hutang kerajaan BN sebelum ini yang berjumlah RM100 juta dalam masa yang singkat?

Bagi Bajet Berimbang 2009 ini, kerajaan Kelantan menyatakan bahawa kerajaan negeri memantapkan dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah. Tapi rasanya lebih baik kerajaan negeri cuba selesaikan hutang tertunggak yang ada sebelum mula memikirkan tentang projek yang mahu dilaksanakan. Ini kerana banyak projeksebelum ini yang sebenarnya langsung tidak dapat dilihat atau dinikmati oleh rakyat Kelantan kerana sama ada tertumpu di satu tempat sahaja atau gagal dilaksanakan.

Kerajaan Kelantan perlu menguatkuasakan undang-undang dan kutipan hasil dengan lebih baik lagi untuk meningkatkan hasil yang sepatutnya. Tunggakan hasil yang banyak sama ada daripada perniagaan tempatan atau agensi juga perlu segera dikutip agar akaun negeri terus hidup dan aktif ke arah lebihan pendapatan dan bukannya defisit. Negeri Kelantan memiliki banyak sumber yang boleh dioptimumkan untuk meningkatkan hasil.

Bagi kami yang telah bersama PAS sejak dahulu lagi, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz amat memalukan dan mengelirukan. Malah ada kalangan sahabat aku yang mengatakannya sebagai tak sedar diri jika dibandingkan dengan kenyataan terhadap defisit akaun kerajaan negeri BN. Kami hormat Tuan Guru sebagai ulama besar yang disanjung seluruh pengikut PAS tetapi dalam hal selain Islam kami harap Tuan Guru serahkan kepada yang lebih pakar untuk membuat sebarang kenyataan atau dapatkan nasihat pakar sebelum membuat kenyataan.

Jika defisit kerajaan BN adalah penyelewengan, adakah defisit kerajaan kita ini juga penyelewengan? Harap Tuan Guru dapat maklumkan kepada kami...

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.