"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Sabtu, September 20, 2008

Siapa Layak Jadi Perdana Menteri?

16 September 2008 sudah pun berlalu. Malaysia masih diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional. Pembentukan kerajaan baru yang digembar-gemburkan oleh Anwar nampaknya tidak menjadi kenyataan. Adakah ini petanda baik atau baru bermulanya tragedi untuk negara kita ini?

Ramai pihak dalam Pakatan Rakyat yang tidak sabar menunggu tarikh keramat tersebut. Mana-mana yang telah dijanjikan jawatan menteri kabinet dalam kerajaan Pakatan Rakyat, termimpi-mimpi siang dan malam. Terbayang-bayang kedudukan, pangkat, kuasa dan wang ringgit yang akan berada dalam genggaman mereka.

Anwar tentulah mahu jadi PM yang berkuasa demi untuk mencapai cita-citanya menjadi orang nombor 1 Malaysia. Mungkin dia akan gunakan kuasanya untuk dapatkan kembali modalnya yang telah digunakan untuk beli ahli parlimen BN yang mahal itu. Tapi ramai yang mengatakan Anwar akan balas dendam kepada semua orang yang pernah menjadi penghalang kepada keinginannya untuk berkuasa.

DAP dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Maklumlah, Anwar mahu berikan jawatan TPM kepada orang Cina dan India. Jika tidak, mana mungkin orang akan sayang pada Anwar. Akibat takut impian untuk dapatkan jawatan TPM hilang dari genggaman mereka, DAP tiba-tiba sahaja melantik seorang Melayu menjadi orang nombor 2 parti mereka.

Di pihak PAS juga tidak kurang angannya. Ramai di kalangan pemimpin tertinggi sudah mabuk kepayang kepada jawatan yang Anwar tawarkan kepada mereka dalam kabinet. Janji-janji kuasa yang akan mereka perolehi membuatkan mereka menjadi makin angkuh dan sanggup mengenepikan teguran dan nasihat anggota-anggota bawahan. Maklumlah, mereka orang atasan. Orang bawahan tidak layak menegur segala tindak-tanduk mereka. Bak moto mereka di Muktamar Agung PAS baru-baru ini, Mereka boleh menegur tetapi pemimpin atasan yang membuat keputusan, merujuk kepada pandangan yang disuarakan oleh anggota mereka.

Secara kasarnya, Anwar memang layak jadi PM jika Pakatan Rakyat dapat menguasai kerajaan baru. Bukanlah kerana Anwar adalah pemimpin sejati, sudah tentu tidak. Tetapi kerana semua orang kuat dalam Pakatan Rakyat sanggup menjadi pengikut setia Anwar. Maka mereka menjadi lupa untuk mengasah kepimpinan mereka sendiri. Jika Anwar yang sudah terkenal dengan salah lakunya itu pun sanggup mereka junjung, sudah tentulah mereka tidak layak jadi pemimpin. Maka Anwar sahajalah yang boleh jadi ketua mereka.

Mulanya saya melihat DAP sebagai sebuat parti yang kuat dan progresif. Mereka dilihat tidak tunduk kepada apa sahaja. Mereka berani bersuara dan bertindak. Perjuangan politik mereka utuh. Maklumlah, orang Cina yang mahukan kesamarataan dalam masyarakat Malaysia ini. Tapi akhirnya mereka hanya menjadi pengikut Anwar, mungkin juga tukang basuh kaki Anwar. Tunduk juga mereka akhirnya kepada seorang Melayu yang tidak mereka ketahui keikhlasan hatinya.

Paling saya sedih bila melihat parti yang saya sayangi iaitu PAS yang kini kelihatan bercelaru perjuangannya. Islam yang menjadi teras kepada PAS kini bagaikan tersimpan di dalam almari. Islam yang kelihatan pada PAS hanyalah pada pakaian dan ilmu yang ada. Tetapi dari segi tindakan, bagaikan takut dimarah oleh rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat. UMNO dan BN dikatakan kerajaan jahiliah tetapi bila rakan-rakan Pakatan Rakyat bertindak melampaui apa yang pernah dibuat oleh UMNO atau BN, PAS hanya mendiamkan diri. PAS hanya melaungkan kerajaan Islam kepada UMNO tetapi kerajaan Islam langsung tidak berani ditimbulkan dalam Pakatan Rakyat.

Andainya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan baru, maka kita memang sudah maklum siapa yang layak jadi PM antara 3 parti ini. DAP dan PAS tidak layak kerana mereka tidak mampu jadi pemimpin besar. Tidak mungkin pengikut yang akan dapat pangkat besar berbanding bos mereka. Tapi tidak kisahlah, masing-masing akan dapat habuannya. Biarlah orang lain jadi ketua asalkan mereka dapat juga merasa sedikit kuasa dan wang ringgit.

Tahniah kepada Anwar Ibrahim yang amat berkemampuan menjadikan 2 parti besar sebagai pengikut setianya. Begitulah hebatnya PKR dan tidak hairanlah mengapa PKR lebih dominan dalam Pakatan Rakyat. Bukan kerana PKR memiliki bilangan ahli parlimen yang ramai tetapi kerana keberanian mereka dan kesetiaan ahli yang tidah berbelah bahagi.

Tapi yang pastinya orang yang layak menjadi PM adalah dari kalangan yang menang majoriti melalui undi demokrasi dan bukannya yang membeli anggota seperti beli sayur buruk di pasar...

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.