Kerja Oh Kerja...
Buat masa ni aku malas nak tulis pasal politik. Lagi pun dah terlalu banyak blog politik yang ada dan selalu update, sama ada blog pro-BN atau blog pro-PR. Maka sekiranya anda mencari berita politik, bolehlah rujuk senarai blog di tepi tu.
Asyik sibuk dengan cerita politik yang semuanya cerita pasal pemimpin dan sibuk bela pemimpin. Kalau penyokong asyik bela pemimpin, siapa yang nak bela rakyat? Huru-hara politik punya pasal, pemimpin pun tak sempat nak ambik tahu pasal penyokongnya walaupun penyokongnya sibuk tulis blog berjela-jela untuk bela pemimpinnya tu.
Antara isu kritikal di kalangan rakyat pada masa ini adalah pekerjaan. Berapa ramaikah golongan muda terutamanya lepasan diploma atau ijazah yang dapat kerja yang baik? Dan berapa ramai sebenarnya yang masih merangkak mencari kerja? Masih ramai yang kerja di bawah tahap kelulusan mereka dan ramai juga yang masih ditanggung oleh mak bapak.
Setiap tahun, berpuluh ribu lulusan diploma dan ijazah yang dihasilkan oleh puluhan IPTA dan IPTS di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, berapa ramaikah yang mendapat pekerjaan tetap dan berapa ramai pula yang akan terkais-kais mencari pekerjaan?
Ramai lepasan ijazah dan diploma yang bekerja kerani, pembantu kedai atau pasaraya, pengawal keselamatan, malah kerja-kerja rendah lainnya yang bertaraf bawah dari SPM. Malah ada antara mereka yang telah bertahun-tahun bekerja sebegitu selepas tamat pengajian kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan.
Bagaimana dengan kerja kerajaan?
Ramai juga yang sinis dengan pertanyaan ni. Selalunya mengaitkan peluang kerja kerajaan dengan 'pemasangan kabel' yang bukannya kabel telefon atau elektrik, tetapi merujuk kepada orang dalam.
Banyak cerita berkaitan calon yang mendapat pekerjaan adalah orang-orang yang mempunyai saudara-mara atau kenalan di jabatan kerajaan terutamanya di bahagian pengambilan. Memang diakui perkara ini benar terjadi dan berleluasa tetapi tidaklah sampai menutup peluang pemohon lain.
Adakah peluang kerja kerajaan terlalu terhad?
Ramai yang beranggapan peluang kerja kerajaan terlalu terhad. Dan ramai yang menuduh penggunaan orang dalam sebagai penyebabnya. Tetapi ramai yang tidak menyedari bahawa banyak permohonan yang dibuat terhadap jawatan yang tiada kekosongan, sedangkan jawatan yang ada kekosongan hanya menerima sedikit permohonan. Ini mungkin disebabkan pemohon hanya memohon jawatan yang diminati dan tidak memberi perhatian kepada kekosongan sebenar. Tapi sesiapa pun akan minta kerja yang diminatinya, kan?
CUEPACS?
Keberanian CUEPACS mengugut kerajaan melalui Presidennya yang meminta had umur persaraan dilanjutkan turut dilihat menutup peluang pekerjaan kepada golongan muda terutamanya graduan. Apabila kerajaan akur kepada kehendak CUEPACS ini, maka golongan muda perlu menanti beberapa tahun untuk kekosongan baru dalam jabatan kerajaan. Masalahnya berapa lama harus ditunggu dan berapa banyak peluang pekerjaan yang ada sementara menunggu mereka bersara?
Jika sebelum ini CUEPACS meminta lanjutan had umur persaraan yang akhirnya disetujui kerajaan pada 58 tahun, adakah mereka akan berpuas hati? Tidak! Mereka masih mahukan had umur 60 tahun tersebut. Adakah ini adil untuk orang lain? Tidak! CUEPACS hanya mahukan keadilan untuk mereka, bukannya untuk orang lain.
Maka banyak suara yang sakit hati dan marah terhadap tindakan CUEPACS yang begitu samseng mengugut kerajaan hingga kerajaan terpaksa tunduk menyembah mereka. Bagaimana dengan golongan muda yang masih mencari pekerjaan?
Ada yang berkata bahawa CUEPACS sebenarnya memperjuangkan diri sendiri. Bila merasakan mereka hampir umur berpencen, maka menyalaklah mereka agar kerajaan tunduk kepada mereka. Bila mereka meresakan duit gaji mereka tidak cukup untuk bermewah-mewah, menyalaklah mereka agar kerajaan tunduk lagi kepada mereka.
Ramai juga yang berkata; anak orang-orang CUEPACS tak perlu risau kerana mak bapak mereka yang kuat CUEPACS itu akan jadi kabel besar mereka untuk dapat kerja kerajaan.
Ada pesara kerajaan yang juga sakit hati dengan tindak-tanduk CUEPACS kini yang tak reti-reti nak bersara walhal orang lain masih ramai yang nak bekerja. Umur makin tua bukannya bermakna makin cekap kerana kebanyakannya makin berlagak. Seorang pesara berkata kepada saya, "Agaknya selagi mereka terdaya pegang pen, selagi itulah mereka nak kerja."
Lupakanlah kerja kerajaan. Carilah kerja swasta...
Kerja swasta susah. Nak macam-macam kelayakan. Nak bahasa Inggeris, nak bahasa Cina, nak itu, nak ini. Ada juga alasan bila disuruh cari kerja swasta. Tapi mengapa ada graduan kita yang tidak berminat kerja swasta?
Kerja swasta tidak mempunyai kelebihan yang ada pada kerja kerajaan. Pinjaman kerajaan, perubatan percuma, elaun banyak, gaji tinggi, cuti pun banyak. Sedangkan swasta cuti tak banyak, gaji rendah, elaun sikit, nak goyang kaki pun susah. Kalau ini semua nak dijadikan alasan, sampai bila pun tak bekerjalah...
Kerja swasta memerlukan kemahiran bahasa Inggeris kerana perkhidmatan yang diberikan lebih bersifat menyeluruh dan banyak berurusan dengan syarikat asing atau bangsa lain yang gemar berbahasa Inggeris. Sedangkan ramai juga graduan kita yang lemah berbahasa Inggeris. Bila kerajaan berusaha serapkan bahasa Inggeris dalam matapelajaran tertentu, ramai pula yang bantah. Walhal budak-budak sekolah pun tak mengeluh. Keputusan Bahasa Inggeris meningkat dan dah ramai budak sekolah yang dah pandai speaking.
Bahasa Cina? Lupakanlah yang tu. Berikan saja pada yang pandai bahasa Cina. Lagipun memang mereka nak orang Cina saja. Tak faham-faham lagi?
Kalau susah sangat nak dapat kerja, cubalah berniaga sendiri. Nak buka kedai, bertani, menternak pun boleh. Banyak kemudahan yang kerajaan sediakan untuk ini. Latihan dan pinjaman juga disediakan. Cubalah jengah laman web kerajaan yang berkaitan.
Kerajaan juga perlu mengambil inisiatif untuk mengagihkan peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda yang berkelulusan tinggi tetapi masih menganggur atau belum bekerja tetap. Masih banyak yang boleh dilakukan dan diperbetulkan dalam kementerian dan jabatan kerajaan. Nampaknya Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Rakyat perlu lebih proaktif mempromosikan peluang pekerjaan yang ada.
Jika yang ini pun masih ada alasan, apalagi yang boleh dibuat? Buat blog, pasang iklan supaya orang klik, dan minta derma? Nak main internet pun kena ada modal jugak, bro...
0 comments:
Catat Ulasan