PAS Parti Siapa?
Saya menerima e-mail daripada seorang kawan baik yang menyuarakan kebimbangan dengan sikap pemimpin dan penyokong PAS. Katanya, kita ramai penyokong tetapi sikap mereka tidak konsisten. PAS bagaikan bukan parti PAS yang dulu dan pemimpin kita tidak lagi popular. Akhirnya kawan saya ini meninggalkan soalan untuk saya jawab, "Cuba teka kenapa jadi begini?".
Pening dengan mesej pendeknya itu, saya cuba menghubunginya melalui web conference di Skype. Hampir sehari suntuk menunggu beliau online di Skype, akhirnya dapat juga saya menghubunginya pada lewat malam dalam keadaan saya yang sudah mengantuk teramat sangat.
"Apasal kau hantar e-mail macam tu. Aku tak faham la. Cuba kau perjelaskan sikit," saya berkata sambil menahan mengantuk yang teramat sangat.
"Kau tak perasankah yang orang kita (merujuk kepada penyokong PAS) lebih suka bercerita pasal si Nuar Brahim (Anwar Ibrahim) lebih dari Tok Guru kita yang 2 orang tu?" beliau bertanya. Saya terdiam berfikir sambil mengiyakan kata-katanya. Beliau menyambung lagi;
"Harakah banyak cerita pasal Nuar. Siasah pun pasal Nuar juga. Tambah pulak orang kita pun cerita dan sokong Nuar juga." Kelihatan kawan saya ini menekan sesuatu di komputernya. "Cuba tengok gambar tu. Yang ni pun sokong Nuar jugak," beliau berkata sambil tersengih-sengih.
Rupa-rupanya kawan saya ini hantar gambar. Ketawa terbahak-bahak saya melihat gambar tersebut. Gambar perhimpunan Bersih (yang sebenarnya tidak bersih) di mana Anwar Ibrahim sedang dijulang manakala seorang pemimpin besar PAS memandang bagaikan taksub kepada pemimpin PKR itu.
"Tak baik la kau hantar gambar ni. Kau kutuk-kutuk pun tapi kau tetap tampal gambar dia dalam bilik kau tu," saya merujuk kepada gambar pemimpin-pemimpin PAS yang ditampal di dalam biliknya yang dapat saya lihat melalui kamera web beliau.
"Ni bilik kerja aku. Memang la ada tampal. Dalam bilik tidur aku cuma ada gambar aku dan bini aku masa kawin dulu," katanya sambil ketawa besar. Kawan saya ini sudah berkahwin 6 tahun lepas dan sudah ada 3 anak pun masih tampal gambar lamanya itu. Kenapa tidak tampal gambar terbaru? Mungkin rupa fizikal sudah tidak cantik macam dulu.
"Aku dah bosan asyik dengar orang kita bercerita pasal Nuar Brahim. Sokong sangat si Nuar tu. Sokong PAS aje la. Jangan sokong orang lain," tiba-tiba saja kawan saya ni masuk angin satu badan. Serius pula.
"Si Khalid (MB Selangor) cadangkan kuota 10% bukan bumiputera dalam UiTM pun dah cukup membakar perasaan Melayu. Si Nuar ni boleh sokong si Khalid ni. Masih ada pulak Melayu bodoh yang sokong Nuar ni," berapi-api marahnya kawan saya ini. Maklumlah kami pun lepasan ITM (sebelum jadi UiTM). Tentulah kami bela benteng gedung ilmu bangsa Melayu ini.
"Sabar. Kalau marah pun jangan sebut perkataan 'Melayu bodoh' tu. Tak baik," saya cuba menyejukkan hatinya.
"Macam mana aku tak marah. Taksub sangat pada si Nuar tu sampaikan hilang prinsip parti kita. Apa, pemimpin kita ni tak bagus ke? Nuar jadi PM? Pemimpin kita tak reti memimpin ke?"
Selepas itu banyak lagi yang dibebelkannya sehinggakan saya tidak terlayan amarahnya itu. Akhirnya mujur juga bini kesayangannya panggil masuk tidur kerana sudah lewat benar. Jika tidak, entah sampai bila saya terpaksa layan borak dengan beliau.
Benar juga kata kawan saya itu. Di tempat saya ini pun orang PAS lebih banyak bercerita pasal Anwar Ibrahim. Bila Saiful bersumpah laknat, mereka bagaikan lebih Islam daripada orang lain apabila sanggup mengatakan si Saiful itu penipu dan sumpahnya tidak sah. Maka Anwar Ibrahim jugalah yang mereka katakan benar walaupun Anwar Ibrahim menggeletar kepala lutut bila disuruh bersumpah. Entah ilmu apa yang Anwar Ibrahim pakai hinggakan segala kata-katanya diturut tanpa berfikir panjang lagi.
Saya teringat ketika musim pilihanraya yang baru lalu, semua penyokong PAS bercakap tentangapa yang Anwar Ibrahim cakap. Pemimpin PAS juga menggunakan modal Anwar Ibrahim untuk berceramah walaupun mereka tidak faham satu habuk pun pasal ekonomi. Pendek kata, Anwar Ibrahim memang menguasai Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat memang di bawah kaki Anwar Ibrahim.
Akhirnya PAS juga yang terlupa pada prinsip dan perjuangannya hanya kerana mahu mengikut Anwar Ibrahim...