Pakatan Rakyat Akan Bentuk Kerajaan Pusat?
Begitu lama saya tidak dapat meluangkan masa untuk mengemaskini blog ini. Terlalu sibuk dengan kerja. Namun sering juga saya mengikuti perkembangan isu semasa politik tanahair yang begitu bercelaru sejak kebelakangan ini.
Pakatan Rakyat begitu yakin akan dapat membentuk kerajaan dalam sedikit masa lagi dengan penghijrahan beramai-ramai ahli Parlimen dari Sabah ke dalam Pakatan Rakyat. Maka kesemua wakil rakyat dari Pakatan Rakyat terutamanya dari PKR dan DAP begitu angkuh dan berani mencabar Kerajaan Barisan Nasional.
Paling ketara adalah kesungguhan dan keyakinan Anwar Ibrahim yang sering mencanangkan Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru. Kemungkinan besar jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan baru dengan kemasukan ahli Parlimen Sabah, maka Anwar Ibrahim yang akan menjadi Perdana Menteri.
Adakah ahli Parlimen Sabah tersebut akan membentuk parti baru atau adakah mereka akan masuk ke PKR? Andainya mereka masuk PKR, maka jelaslah Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke-6. Patutlah Anwar begitu tidak sabar untuk bertanding di salah satu kawasan Parlimen. Impiannya untuk berkuasa sudah begitu hampir.
Secara peribadinya saya memang langsung tidak berkenan jika Anwar menjadi PM jika melihatkan tindak-tanduknya dalam PRU-12 baru-baru ini. Anwar begitu lantang menjaja dan memfitnah Malaysia di negara-negara luar. Dan Anwar juga menaja pelbagai tunjuk perasaan dan rusuhan demi untuk mencapai cita-cita jahat peribadinya atau untuk Pakatan Rakyat.
Semasa Anwar menjadi Timbalan PM dahulu, berapa ramai kroninya yang telah dijadikannya jutawan. Betapa jahatnya Anwar kepada mahasiswa universiti yang pro-pembangkang sehinggakan tiada kebebasan langsung untuk mahasiswa.
Semua pemimpin PAS dan DAP tahu akan hal ini tetapi sengaja menutup mata disebabkan kepentingan politk. Masing-masing mahu berkuasa dan sanggup melupakan keburukan satu sama lain. Tetapi pihak lain yang tidak begitu nampak keburukannya, kenapa kita buruk-burkkan dengan begitu lantang walaupun tanpa bukti kukuh?
Dalam pada pemimpin PAS mengatakan PAS semakin popular kerana kemenangan PAS di Kelantan dan Kedah serta kekuatan Pakatan Rakyat,mereka sebenarnya tidaklah begitu hebat. PAS dapat menguasai Kelantan dan Kedah kerana sebahagian besar calon DUN adalah daripada PAS. Sedangkan untuk berkuasa menubuhkan kerajaan pusat adalah dengan kelebihan bilangan ahli Parlimen.
DAP pula dilihat begitu berkuasa dan sering bersuara lantang. Sejak Pakatan Rakyat berkuasa di beberapa negeri, DAP semakin angkuh. Malah keangkuhan DAP ditambah pula dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat meluluskan projek penternakan babi bernilai RM100juta.
Sewaktu Sultan Perak memilih wakil PAS untuk menjadi MB Perak, pihak DAP begitu lantang mempersoalkan tindakan tersebut dan mahu memulaukan perlantikan MB. Namun mungkin akhirnya mereka sedar bahawa mereka terpaksa menerima perlantikan tersebut walaupun penguasaan DUN mereka lebih banyak manakala PAS paling sikit. Tentulah disebabkan SUltan Perak memerlukan Melayu sebagai MB.
Walaupun parti komponen lain Pakatan Rakyat yang memerintah di sesebuah negeri, DAP dilihat begitu dominan. PKR pula mengambil bahagian yang untung untuk mereka libatkan diri manakala PAS bagai menjadi pak turut dan mengiakan segala perbuatan DAP dan PKR dengan alasan-alasan tertentu.
Tidak dapat dibayangkan pula jika Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan baru. Dengan kerusi Parlimen paling sedikit maka PAS masih menjadi budak suruhan yang boleh diibaratkan menang sorak tetapi maruah Islam dan Melayu tergadai kerana sejak kebelakangan ini PAS bagaikan lupa pada matlamat asal perjuangannya dan mengikut telunjuk nafsu untuk berkuasa.
Kebijaksanaan Anwar memanipulasikan keadaan dan emosi rakyat untuk mendapatkan kuasa memang tidak dapat dinafikan. Keupayaan Anwar untuk membeli ahli-ahli Parlimen Sabah memang tidak dapat dinafikan kerana kemampuan kewangan ANwar yang mendapat tajaan 'luar' serta kroni-kroni yang kaya-raya.
Apa yang saya risaukan adalah pembentukan kerajaan dan pemerintahan yang ditunjangi rasuah dan kepentingan peribadi akan wujud dan ini akan memberi kesan teramat buruk kepada rakyat. Apa lagi yang boleh dijangkakan dari tindakan membeli ahli Parlimen dan memburukkan negara sendiri di negara luar?