"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Selasa, November 18, 2008

Siapa Yang Tak Boleh Ditegur?

Sewaktu aku ke Kuala Lumpur untuk makan angin baru-baru ni, seorang sahabat lama yang lebih senior telah menghubungi aku. Kebetulan kami sama-sama berada di KL, maka kami pun bertemu. Macam-macam cerita lama yang keluar. Seronok juga sambil-sambil makan nasi kandar mamak. Seronok sebab senior aku tu yang belanja. Biasanya aku makan yang murah-murah je. Dapat yang mahal, memang tak tolaklah.

"Aku dengar kau ada buat blog. Betul ke?" tiba-tiba sahaja senior aku yang bernama Muaz ni bertanya. Aku terkejut juga.

"Tau dari mana?" aku bertanya.

"Zul yang bagitau," Muaz menjawab. Aku tersengih-sengih, tak tau nak cakap apa.

"Blog biasa je. Bukannya gah sangat. Saja-saja. Update pun jarang-jarang sebab sekarang tak ada internet kat rumah. Kabel telefon kat kampung tu kena curi," aku menerangkan.

"Blog pasal apa? Politik?" Muaz bertanya lagi.

"Politik tapi taklah macam blog orang lain. Orang lain banyak ulas perkembangan dan isu politik, tapi saya sikit-sikit je. Yang banyaknya menceritakan pendapat dan pemerhatian saya je," aku menjelaskan. Malulah juga. Kalau Muaz komen blog aku ni cikai atau low class, entah mana aku nak letak muka aku ni.

"Biasanya blogger ni akan nampak menyokong sesuatu pihak. Ada yang sokong UMNO, BN, PKR, PAS, DAP... Kau sokong apa?" Muaz bertanya lagi. Macam polis pulak. Ni yang aku tak sedap hati ni.

"Dah tentulah saya sokong PAS. Tapi saya tak bias. Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah. Tapi kalau boleh saya nak tegur PAS dulu. Supaya kita boleh selari dengan kehendak agama dan perlembagaan parti. Itu je niat saya," suara aku makin slow. Bukan takut tapi sebab rasa macam kena soal-siasat. Muaz nak marah aku ke?

"Bagus! Macam tu la yang bagus," tiba-tiba sahaja Muaz tersenyum sambil menunjukkan tanda bagus kepada aku. Apahal pulak ni?

"Apa yang bagusnya?" aku bertanya.

"PAS kita ni memang patut ditegur. Kita dah jauh sangat dari landasan perjuangan kita. Terutamanya sejak masuk Pakatan Rakyat. PAS dah tak berapa nak jadi macam PAS," Muaz bercerita sambil menghirup teh tariknya.

"Kenapa? Ada cerita ke?" aku cuba mengorek cerita daripada Muaz.

"Memang ada cerita," Muaz menjawab, kuat. Beberapa pelanggan kedai mamak tu memerhatikan kami.

"Kau tau tak, pemimpin kita sekarang ni makin susah ditegur?" Muaz berkata sambil bertanya.

"Tak tau. Apa maksud 'makin susah' tu? Selama ni boleh ditegur atau memang tak boleh ditegur?" aku bertanya lagi. Nampaknya aku asyik bertanya je. Maklumlah nak dapat cerita.

"Masa kita mula-mula join PAS dulu, boleh ditegur. Sekarang makin tak boleh ditegur. Ingat diorang je yang betul. PAS pun dah mula perangai macam PKR," kata Muaz.

"Ye ke?"

"Ye la. Nak sangat pada kuasa. Hari tu sibuk nak jadi kerajaan, sekarang senyap sebab tak jadi kenyataan. Apa UMNO buat, semua nak disalahkan. Tapi kalau PKR atau DAP buat, kita senyap menikus je," Muaz bercerita dengan penuh semangat.

"Ooo, dah jadi tikus la sekarang ni? Bagi la racun tikus," aku ketawa. Muaz merenung aku.

"Kau ni tak serius langsung. Ni hal kita jugak ni," Muaz berkata.

"Saya tak bekerja dengan parti. Saya tak tau sangat cerita macam ni. Abang Muaz kat Johor, Abang Shah kat Perak, Abang Din di Kelantan, Abang Zul kat sini, entah berapa ramai lagi geng-geng kita di serata Malaysia ni," aku menjawab.

"Sebab bekerja dengan parti la yang buat kami tension sangat ni. Kau tau tak..."

"Tak tau," pantas aku menjawab walaupun Muaz belum habis bercakap lagi.

"Memang la kau tak tau. Aku belum habis cakap lagi. Ramai pemimpin kita yang dah bersikap macam pemimpin PKR. Bila bercakap pun melebihkan Anwar je. Cakap pasal Islam, pasal PAS berdegar-degar. Tapi bukannya ikut prinsip parti yang nakkan Islam. Bila kita tegur, dikatanya kita tak reti. Maklumlah, dia pemimpin. Kita ni kuli je. Mungkin diorang (pemimpin) rasa besar kepala sebab PAS ramai pengikut yang sanggup buat apa saja," Muaz bercerita.

"Sanggup buat apa saja, macam kita?" aku menyoal.

"Kita buat apa yang patut je. Kalau pasal nak kerahkan buat kerja, penyokong kat luar sana sanggup buat apa saja. Bukan macam PKR yang yang perasan diorang betul, bukan macam orang BN yang buat kerja bila ada duit. Penyokong kita diberi minum teh-o dengan biskut kering saja pun tak apa. Tetap buat kerja sampai habis," Muaz berkata. Teh-o dengan biskut kering? Macam kami di Kelantan je...

"Apa masalahnya?" aku bertanya, pura-pura tak faham.

"Masalahnya pemimpin kita dah jadi macam pemimpin PKR. Dah ikut Anwar pulak. Percaya sangat pada Anwar tu. Cakap Tok Guru pun dah tak berapa nak ikut. Kalau kita cakap benda tu tak betul, benda tu salah; pemimpin kita buat tak tau je. Ikut jugak si Anwar tu," kata Muaz.

"Biasalah tu. Walaupun kita benci Anwar, tapi Anwar dah diangkat jadi bigbos Pakatan Rakyat. Bukan kita yang angkat tapi pemimpin PAS dan DAP, dengan para penyokong yang lain. Anwarlebih berpengaruh berbanding sesiapa pun dalam Pakatan Rakyat. Dia bos, yang lain pencacai je," aku menjawab.

"Kan kita sepatutnya ikut prinsip perjuangan kita. Kita nakkan Islam. Ikut perlembagaan parti. Bukan ikut cakap orang lain. Anwar tu jadi pemimpin? Sekarang pun orang-orang dia buat benda yang mencabar agama kita. Entah apa nama India-India tu. Cina pun ramai. Barua Anwar semua tu," Muaz berkata.

"Ada juga orang-orang kita ikut cakap Tok Guru. Contohnya, boleh mengumpat, orang utan, ikut Anwar, macam-macam lagilah," aku buat lawak bodoh lagi.

"Tu cakap yang tak boleh dipakai. Benda yang salah, orang kita ikut. Benda betul, tak nak ikut pulak. Tok Guru pun satu hal. Bercakap macam agama Islam tu dalam tangan dia semata-mata. Bila kita tegur, buat tak tau. Orang-orang dia marah kita balik," Muaz menambah. Banyak sangat yang dia tak puas hati...

"Kau tulis dalam blog kau. Tulis biar pedas-pedas. Biar diorang sedar sikit. Nanti kami semua bagi cerita pada kau kalau ada apa-apa," Muaz menyuruh. Memang mereka boleh beri cerita pada aku sebab mereka kerja dengan parti.

"Tapi, takkan la semua pemimpin kita macam tu? Saya rasa cuma sebahagian je. Itupun mungkin yang pro-Anwar je," aku cuba menyanggah.

"Betul, bukan semuanya tak boleh ditegur. Tapi ramai sangat. Dulu ikut perlembagaan parti, ikut agama. Sekarang ikut kuasa dan pangkat pulak," Muaz menyatakan. Aku terdiam, tak cuba untuk menyambung kata-kata lagi. Makin dilayan, makin panjang perbualan ni. Aku nak balik cepat ni sebab nak beli hard disk baru untuk pc aku.

"Kalau kau nak banyak cerita, kau kerja dengan parti. Macam-macam kau boleh tahu. Macam-macam kau boleh cerita dalam blog kau. Kami semua boleh tolong dapatkan tempat untuk kau," Muaz mencadangkan.

"Tak nak la. Kalau dah kerja dengan parti, tentulah tanggungjawab saya untuk rahsiakan segala hal parti. Lagipun, saya tak nak jumpa dengan orang-orang yang tak boleh ditegur."

Kalau aku sanggup jumpa orang-orang yang tak boleh ditegur ni, dah tentu aku pun kerja dengan parti macam kawan-kawan aku yang taksub sangat dengan PAS sejak zaman belajar lagi.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.