"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Khamis, Oktober 30, 2008

Menarik Dan Seronok Dibaca...

Dalam melayari dunia blog politik, ada yang baik dan ada yang tidak baik. Sama ada dari segi memberikan info sebenar atau bias kepada parti sokongannya tanpa mengira baik buruknya.

Buat masa ini saya mempunyai 2 pilihan blog yang menarik untuk dibaca kerana neutral dan berpandukan fakta, tidak seperti blog saya ini yang tak setanding dengan blog mereka. Saya hanya menulis mengikut apa yang saya tahu dan alami serta melalui pemerhatian setiap hari.

PILIHAN ANDA

Header ni yang diguna oleh blog PILIHAN ANDA. Bijak juga...

Blog ini amat menarik perhatian saya kerana selalu meletakkan komik atau kartun di setiap artikelnya. Selalunya kartun yang diletakkan memang melucukan dan menjadi satira kepada isu semasa dan topik yang dibincangkan.

Bagi saya blog ini adalah neutral dan sebenarnya tidaklah bias kepada kepartian tetapi merupakan suara dari seorang insan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. Jika ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya ini, apa kata anda bersetuju bahawa setiap orang layak untuk berbicara selagi tidak menggugat keamanan dan keharmonian negara.


RAKYAT MALAYSIA


Juga sebuah blog yang bagus untuk dibaca. Lihatlah pula latar belakang blogger ini. Bukan sebarangan. Saya paparkan di sini untuk anda :

BEKAS pensyarah & wartawan, pengarang berita serta pengarang akhbar & tv sepenuh masa. Pernah bekerja di Berita Harian, Harian Metro, Harian Watan, ntv7 & rtm. Menang anugerah Kajai 1983 dan Anugerah Karya Bangsa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1984. Sejak 1998 bekerja sendiri & masih menyelidik serta menulis sepenuh masa. Menghasilkan beberapa buku. Lahir 14 Oktober 1954 di Pasir Puteh, Kelantan. Membesar dan bersekolah rendah dan menengah di Besut, Terengganu. Lulusan sains politik Universiti Sains Malaysia (USM). Menetap di Selangor.



Layarilah blog tersebut. Klik pada gambar untuk link ke sana. Selamat belayar di alam siber...

Read more...

Rabu, Oktober 29, 2008

Akaun Defisit Adalah Akaun Aktif?

Aku tertarik membaca salah satu berita di muka depan Sinar Harian 28 Oktober 2008 berkaitan kenyataan MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz bahawa kedudukan akaun negeri Kelantan yang defisit menunjukkan bahawa akaun negeri Kelantan adalah aktif. Betulkah begitu?

Ya, sememangnya betul. Akaun defisit menunjukkan kerajaan negeri Kelantan berjaya mengaktifkan akaun negeri secara total dan maksimum dengan pelaksanaan projek, kebajikan dan program untuk rakyat. Kalau tak aktif, takkanlah akaun tu boleh jadi defisit. Betul tak?

Sewaktu sibuk untuk menghadapi pilihanraya umum baru-baru ini, PAS negeri Kelantan telah mencanangkan kepada rakyat dan penyokongnya bahawa seandainya BN dapat menguasai Kelantan maka negeri ini akan dipenuhi korupsi dan salahguna kuasa. Ini kerana PAS Kelantan mengatakan bahawa sewaktu mereka mengambilalih kerajaan Kelantan daripada BN, akaun negeri mengalami defisit sebanyak RM100 juta akibat perbelanjaan yang tidak telus dan pembaziran. Keadaan itu kononnya telah diperbetulkan bila mereka yang memerintah Kelantan dengan perolehan hasil yang baik tetapi tidak dinyatakan berapa jumlahnya atau dari mana hasilnya. Malah ramai yang tertanya-tanya jika perkara itu benar keranan ramai yang tidak nampak kenyataannya.

Namun nada PAS Kelantan mula berbeza bila akaun negeri mengalami defisit di bawah pemerintahan cemerlang selama 18 tahun. Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz bagaikan kata-kata orang yang terlupa dengan apa yang pernah dikatakannya sebelum ini. Jika defisit akaun di bawah kerajaan BN dikatakan korupsi dan pembaziran, bagaimana pula jika defisit akaun di bawah kerajaan PAS?

Secara nyata, ramai penyokong PAS sendiri terkejut dengan kenyataan Tuan Guru yang kita sayangi ini. Bagaimana boleh defisit sedangkan tak banyak projek atau program yang dijalankan untuk rakyat? Bagaimana tak dapat banyak hasil sedangkan banyak cukai yang perlu dibayar dan caj meletak kereta pun mahal? Ramai yang mahu tahu bagaimana boleh terjadinya defisit tersebut.

Di sebelah pihak penyokong yang tak berapa cerdik, kenyataan Tuan Guru tersebut disambut dengan perasaan bangga. Bangga kerana Kerajaan PAS Kelantan 'berjaya mengurus-tadbir' kewangan negeri dengan baik. Maka dicanangkan sekitar kampung dan sekitar daerah berita gembira tersebut.

Yang menjadi persoalan, apakah perbelanjaan yang mengakibatkan defisit tersebut? Adakah ada penyalahgunaan dana untuk membina markas atau masjid PAS di sekitar Kelantan? Mustahil, kerana ianya menggunakan dana PAS sendiri dan juga daripada sumbangan para dermawan. Atau adakah defisit ini berlaku ada kaitannya dengan penyelewengan projek pembekalan air Kelantan yang dikaitkan dengan Husam Musa? Atau ada penyelewengan yang kita tak tahu?

Dalam kes pembentangan Bajet Berimbang 2009 yang dibacakan oleh Dato Husam Musa, defisit yang berlaku adalah sebelum bajet tersebut dilaksanakan. Bagaimana ianya boleh dikatakan berimbang jika ianya defisit? Turut menjadi persoalan adalah hutang kerajaan Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan yang masih tertunggak dan gagal dijelaskan oleh kerajaan Kelantan.

Ada rakyat yang tertanya-tanya bagaimana kerajaan Kelantan boleh berhutang sedangkan rakyat diwar-warkan dengan cerita kerajaan Kelantan berjaya menyelesaikan hutang kerajaan BN sebelum ini yang berjumlah RM100 juta dalam masa yang singkat?

Bagi Bajet Berimbang 2009 ini, kerajaan Kelantan menyatakan bahawa kerajaan negeri memantapkan dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah. Tapi rasanya lebih baik kerajaan negeri cuba selesaikan hutang tertunggak yang ada sebelum mula memikirkan tentang projek yang mahu dilaksanakan. Ini kerana banyak projeksebelum ini yang sebenarnya langsung tidak dapat dilihat atau dinikmati oleh rakyat Kelantan kerana sama ada tertumpu di satu tempat sahaja atau gagal dilaksanakan.

Kerajaan Kelantan perlu menguatkuasakan undang-undang dan kutipan hasil dengan lebih baik lagi untuk meningkatkan hasil yang sepatutnya. Tunggakan hasil yang banyak sama ada daripada perniagaan tempatan atau agensi juga perlu segera dikutip agar akaun negeri terus hidup dan aktif ke arah lebihan pendapatan dan bukannya defisit. Negeri Kelantan memiliki banyak sumber yang boleh dioptimumkan untuk meningkatkan hasil.

Bagi kami yang telah bersama PAS sejak dahulu lagi, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz amat memalukan dan mengelirukan. Malah ada kalangan sahabat aku yang mengatakannya sebagai tak sedar diri jika dibandingkan dengan kenyataan terhadap defisit akaun kerajaan negeri BN. Kami hormat Tuan Guru sebagai ulama besar yang disanjung seluruh pengikut PAS tetapi dalam hal selain Islam kami harap Tuan Guru serahkan kepada yang lebih pakar untuk membuat sebarang kenyataan atau dapatkan nasihat pakar sebelum membuat kenyataan.

Jika defisit kerajaan BN adalah penyelewengan, adakah defisit kerajaan kita ini juga penyelewengan? Harap Tuan Guru dapat maklumkan kepada kami...

Read more...

Selasa, Oktober 28, 2008

Nak Beli Kayu...

Baru-baru ni semasa dalam perjalanan balik dari Kota Bharu selepas menyelesaikan urusan syarikat di sana, aku singgah ke kedai kayu yang dimiliki orang kampung aku. Sambil melihat-lihat kayu dan papan untuk buat tambahan rumah ayah aku, boleh jugalah nak berbual-bual.

Semasa aku sampai ke kedainya, aku nampak 2-3 orang lelaki sedang berbual-bual di hujung longgokan kayu sambil bergelak-ketawa. Mata aku melilau mencari Din. Entah di mana dia. Dalam opis agaknya...

"Assalamualaikum. Sibuk sangat ke?" aku menegur Din yang sibuk menulis bil belian. Nampak panjang berjela senarai yang dibuatnya. Wah, untung banyak nampaknya.

"Wa'alaikummussalam. Mimpi gapo mu maghi sini?" Din bangun bersalam dengan aku.

"Kebetulan lalu sini, aku singgah la. Nak cari barang untuk buat dapur rumah aku," aku menjelaskan. Din duduk kembali dan menyambung kerjanya.

"Kawe banyok kijo nih. Nok buat bil untuk tok penghulu nuuu..." Din berkata sambil mulutnya memuncung ke arah 3 orang lelaki yang berborak tadi. Aku memerhatikan mereka tapi tak dapat meneka yang mana satu tok penghulu.

"Tok penghulu kampung mana pulak? Tak pernah tengok pun. Gaya macam tok penghulu pun tak ada," aku masih mengamati mereka sambul menggaru dagu aku.

"Ni tok penghulu kapung *********. Tok penghulu UMNO," Din menjelaskan sambil menyiapkan bil yang sedang ditulisnya.

"Dia beli kayu ke?" aku bertanya lagi.

"Dok ehh... dio beli motobot," Din menjawab sambil menjeling aku.

"Rilek la, jangan marah. Aku saja tanya. Banyak sangat diorang beli, untung besar la kamu," aku menepuk-nepuk bahu Din. Din tersengih saja.

"Biaso-biaso jah. Gini la oghe berniago. Cari make," Din berkata sambil mencabut bil yang telah siap ditulisnya. Din bangun dan berjalan keluar opisnya untuk menyerahkan bil tersebut kepada pelanggannya. Aku ikut di belakang Din.

"Bereh, boh... Nanti kawe bayar lepah buleh pitih," tok penghulu tu memberitahu Din sambil memasukkan bil tu ke dalam failnya.

"Berehhh... Srupo skalo la," Din menjawab. Mereka bergelak-gelak beberapa ketika sambil berbual sedikit sebelum 3 lelaki tu naik Proton Waja dan pergi entah ke mana.

"Semacam je bunyinya. Ada apa-apa ke?" aku cuba mengorek rahsia. Din tersenyum.

"Aku jual kayu, buleh untung. Dio beli kayu pun buleh untung jugok," Din menjawab. Din memang dapat untung sebab berniaga, tapi orang beli kayu dapat untung yang aku tak berapa nak faham ni...

"Mu garu palo buat gapo? Tok pehe? Bendo mudoh jah ni. Mu tengok aku buat bil tadi?" Din bertanya. Aku mengangguk macam belatuk...

"Mu tengok kayu gapo hok dio beli?" Din bertanya lagi.

"Aku tengok. Kayu yang paling molek," aku menjawab pantas. Maksud kayu molek tu tentulah kayu gred 1 dan bukannya gred yang tercorot.

"Ya, betul atah kertas. Atah kayu jah hok saloh," Din terkekek-kekek ketawa macam anak dara mengusik anak teruna.

"Korok mu. Aku tak faham ni," aku marahkan si Din tu. Aku dah makin pening.

"Gini, tok penghulu tadi tu beli kayu untuk buak kijo do kapung dio la. Buak wakaf, baiki rumoh oghe kapung puok-puok OMNO dio tu," Din menjelaskan. Memang la orang UMNO jaga puak-puak dia je sebab puak-puak PAS langsung tak nak terima bantuan daripada UMNO. Maklumlah, semua sentiasa buruk sangka dan bermusuh disebabkan berlainan ideologi politik. Melayu memang mudah lupa...

"Haa, lepas tu?" tiba-tiba je aku rasa macam ada cerita best.

"Biaso la bilo kes projek JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) ni. Beli baghe muroh tapi claim mahal. Buleh pitih lebih. Katolah tadi dio beli kayu gred 3 jah. Tapi dio suruh aku buat bil mace beli kayu gred 1. Kalu kayu gred 3 hargo RM10,000 tapi bilo buat bil kayu gred 1 dio buleh claim denge JPP RM15,000. Masyukkk..." Din bercerita sambil menunjukkan tanda bagus merujuk kepada kata-kata terakhirnya iaitu masyuk.

"Mak oii, RM5,000 masuk poket dia. Loaded tu," macam tak percaya je cerita yang aku dengar ni. Memang masyuk dapat RM5,000 untuk satu kerja mudah macam ni.

"Gitu la oghe UMNO. Kuat make pitih. Kalu takdok pitih gak, toksir kijo. Sebab buleh pitih la puok-puok tu sanggup jadi kuli UMNO," Din mula mengutuk orang-orang UMNO. Tapi rasanya kalau bab duit ni sesiapa pun boleh jadi gelap mata. Orang parti aku sendiri pun nak sangat cari duit mudah. Buka pos PAS masa pilihanraya dulu tu semata-mata nak duit daripada wakil rakyat. Wakil rakyat beri duit banyak, tapi dia beri orang makan bihun sikit dengan air teh-o je. Ada juga yang jadi talam dua muka dengan membodek orang BN untuk dapat projek. Lepas tu 'suap-menyuap' sesama sendiri. Hampeh...

"Kamu sokong apa?" aku tanya Din.

"Aku oghe PAS la. Srupo mu jugok. Maso ngundi haghi tu mu buat senarai pengundi, pukul 12 male kelik tido. Aku incharge poster, pukul 3 pagi baru abih kijo. Si Halim dengan Mamat jago tv denge video, mu hok igat puok-puok tu tenguk cd blue dale pos. Mu tok ingat ko?" Din menjawab. Padahal dia sendiri pun aku tangkap tengah tengok cd tak senonoh tu dengan Halim dan Mamat. "Puok-puok oghe tuo suruh mu buat poster pasal oghe UMNO tapi mu toksir sebab mu kato tok baik menjatuhke maruoh oghe. Tok imam maroh mu tapi mu maroh dio balik," Din ketawa terkekeh-kekeh mengenangkan peristiwa dulu.

"Ke situ pulak dia. Cerita lama dah tu. Kamu memang orang PAS? Kenapa PAS? Kalau sokong UMNO boleh dapat macam-macam," aku sengaja mengumpan Din untuk tau apa jawapannya. Tapi rasanya aku dah tau.

"Kalu kito nok kepado Isle, kito pilih PAS. Kito nok kerajae Isle. UMNO buke nok ko Isle. Nok pitih jah. Rasuoh, saloh guno kuaso, kroni, mace-mace lagi. Mako aku pilih PAS sampai ke akhir hayat," Din tersengih sambik mendabik dada.

"Islam sangatlah kamu tu?" aku bertanya. Din terkebil-kebil dengan pertanyaanku.

"Bakpo pulok?" Din kehairanan.

"Kamu bersubahat dengan orang UMNO buat bil palsu. Lepas tok penghulu UMNO tadi tu claim kayu dengan JPP, berapa banyak dia berbahagi duit haram tu dengan kamu?" aku menyindir sambil mengangkat kening aku macam Ziana Zain. Din terkulat-kulat...

"Rilek, boh... Kawe cari make jah..."

Read more...

Zulkifli Nordin : Syabas! Tetapi PKR Bukan Landasan Yang Betul Untukmu...

Aku tersenyum gembira bila siaran berita menunjukkan Zulkifli Nordin, ahli Parlimen Kulim Bandar Baru menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap ahli yang berhormat sama ada dari BN atau PR terutamanya yang bukan beragama Islam terhadap agam Islam di Malaysia. Kelantangannya bukan sahaja mengejutkan semua yang ada malah membuatkan tiada seorang pun ahli perlimen lain yang bangun menjawab hujahnya.

Disebabkan siaran berita hanya memaparkan sebahagian ucapan Zulkifli Nordin, keesokannya aku membuka internet di pejabat dan mencari semua berita yang berkaitan. Memang ramai blogger yang kagum dengan sikap Zulkifli Nordin sama ada blogger yang pro-UMNO ataupun blogger yang pro-PAS. Mereka berbangga melihat ada seorang pemimpin yang lantang menjaga kesucian Islam pada waktu pemimpin parti Islam mendiamkan diri dalam hal berkaitan agama dan bangsa kerana takut menimbulkan kemarahan kawan dari parti lain.

Malangnya Zulkifli Nordin berada dalam kelompok PKR. Kita semua sedar bahawa PKR adalah sebuah parti politik yang boleh dikatakan sekular dan memperjuangkan kesamarataan antara kaum berdasarkan slogan yang dilaungkan Anwar Ibrahim. Sebelum ini Zulkifli Nordin telah dipanggil oleh lembaga disiplin PKR kerana menentang forum Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam. Ahli Majlis Peguam kebanyakkannya terdiri daripada ahli PKR malah Anwar Ibrahim sendiri menyokong penganjuran forum tersebut atas nama kebebasan.

Dengan sikap yang ditunjukkan Zulkifli Nordin itu, boleh menyebabkan beliau disepit oleh orang-orang besar PKR yang ramai terdiri dari kalangan bukan Islam. Anwar Ibrahim sendiri tentunya tidak suka kerana Anwar Ibrahim mahu Zulkifli Nordin ikut suruhannya dan bukan suruhan Allah...

Zulkifli Nordin mempunyai blognya sendiri. Jika beliau melayari internet lebih dari sekadar mengemaskini blognya, beliau akan sedar bahawa walaupun ramai yang bangga dengan tindakannya di dalam parlimen tetapi ramai jugalah yang membuat spekulasi dan fitnah atas kelantangan beliau itu.

Dari apa yang saya jumpa, ada blog yang membuat kenyataan bahawa Zulkifli Nordin membuat perjanjian dengan UMNO. Dengan perjanjian itu membuatkan UMNO menarik balik petisyen terhadap keputusan pilihanraya Kulim Bandar Baru. Antara banyak fitnah yang dinyatakan berkaitan spekulasi tersebut adalah Zulkifli Nordin buat perjanjian dengan UMNO untuk menjadi duri dalam daging terhadap PKR, kononnya akan masuk UMNO, dan bermacam-macam fitnah yang tidak sanggup saya baca lagi. Malangnya yang buat cerita fitnah tersebut bukanlah bangsa lain tetapi yang sebangsa dan seagama dengan Zulkifli Nordin, aku dan ramai lagi blogger dan pembaca di luar sana. Bertambah buruk lagi bila yang terlibat memfitnah beliau adalah penyokong PKR yang sepatutnya menyokong beliau sebagai pemimpin PKR dan orang-orang PAS yang menganggap mereka lebih Islam berbanding orang lain.

Jika PKR bukanlah landasan yang betul untuk Zulkifli Nordin memperjuangkan Islam, landasan yang manakah yang betul? Adakah PAS yang sepatutnya menjadi tapaknya perjuangannya?

Pada pendapat saya, PAS kini bukanlah seperti PAS yang dulu yang benar-benar berpegang kepada perlembagaannya untuk menegakkan syiar Islam. PAS kini hanya berani menuntut Islam daripada UMNO sahaja tetapi menjadi pengecut untuk menyebut Islam bila berhadapan dengan kawan PR yang disayanginya. PAS sekarang juga banyak bergaduh sesama sendiri disebabkan ada satu pihak mahu mengikut Anwar Ibrahim manakala satu pihak lagi tidak mahu menjadi barua Anwar Ibrahim. Maka bermaki-makianlah pihak barua Anwar Ibrahim terhadap pihak yang satu lagi...

DAP tentulah bukan landasan untuk ZUlkifli Nordin dan UMNO pula bukanlah pilihan hatinya. Jadi apakah jalan yang patut dipilihnya? Jika dengan PKR, beliau perlu melapor kepada Anwar Ibrahim. Jika dengan PAS, beliau akan keliru sama ada perlu melapor kepada puak pengikut Anwar Ibrahim atau puak bukan pengikut Anwar Ibrahim. Jika dengan DAP, beliau perlu melapor kepada Lim Kit Siang atau Karpal Singh tapi tentu beliau akan dimaki. Jika dengan UMNO, kena melapor kepada Pak Lah.

Zulkifli Nordin hanya melapor kepada Allah! Maka jalan yang sepatutnya adalah bersama Ibrahim Ali yang bebas menghentam BN atau PR...

Salute Zulkifli Nordin...

P/S : Baca wawancara bersama Zulkifli Nordin di Utusan Malaysia. Aku tak boikot Utusan...

Read more...

Ahad, Oktober 26, 2008

Kerja Bodoh PR : Boikot Utusan Malaysia

Entah kenapa aku tengok sekarang ni Pakatan Rakyat sudah semakin mabuk. Mungkin disebabkan mereka dimabukkan oleh kuasa dan kedudukan yang mereka miliki. Agaknya dah semakin tak sedar diri mereka ini bila merasakan bahawa mereka memiliki ramai pengikut fanatik yang sanggup jadi pak turut walaupun tak tahu hujung pangkal sesuatu perkara.

Bila PR mula boikot Utusan Malaysia, perkataan yang terlintas di kepala aku untuk mereka ini adalah biol, bongok, tak sedar diri, munafik, bangang dan bengong. Tidak ketinggalan adalah BODOH! Paling menyakitkan hati aku bila PAS ikut sama jadi pak turut walaupun yang sebenarnya sakit hati sangat-sangat pada Utusan ni adalah puak-puak DAP yang ayam laganya dihentam teruk akhbar perdana tersebut.

Andainya mereka katakan Utusan Malaysia yang banyak menghentam mereka itu adalah akhbar milik BN, tidakkah mereka sedar akan akhbar-akhbar milik mereka sendiri yang banyak menghentam kerajaan walaupun kerajaan buat benda baik? Itu belum dikira dengan cerita palsu yang sengaja diada-adakan dan fitnah umpat keji yang dijadikan nyawa akhbar milik puak-puak PR.

Belum lagi memerintah Malaysia pun dah berlagak macam negara ni PR yang punya. Kalau dah memerintah, tentu semua yang dilihat berkaitan dengan BN akan diharamkan. Apatah lagi Utusan Malaysia yang akan diharamkan terlebih dahulu oleh si dungu dalam PR yang takut kejahatannya dibocorkan.

Selama ini Harakah, Sahsiah, Suara Keadilan dan macam-macam lagi akhbar serta laman web milik PR telah menyiarkan banyak cerita palsu dan fitnah terhadap kerajaan. Adakah pemimpin PR yang tolol ini tahu apa yang kerajaan boleh buat? Tak tahu? Memanglah tak tahu kerana mereka tidak ada otak untuk berfikir. Cakap pun tak guna otak. Kerajaan berkuasa untuk membatalkan permit dan mengharamkan sebarang siaran bercetak atau di dalam laman web. Tetapi adakah kerajaan buat begitu? Tidak, kan?

Memang suara PR banyak membuat cerita palsu berbanding cerita benar kerana banyak sumber dalaman parti terutama PAS yang menyampaikan berita kepada aku. Tetapi PR beruntung kerana sebahagian besar penyokong PR adalah orang yang 'patuh' kepada cakap-cakap pemimpin pujaan hatinya. Apa sahaja yang pemimpin PR cakap, semua pengikutnya menyokong dan percaya tanpa banyak soal.

Seorang rakan yang sejak dulu aktif dengan politik dan bergiat aktif bersama PKR memberitahu aku bahawa dia kini bagaikan 'terbakar dek api neraka' bila bersama PKR. Banyak keburukan yang dilihatnya dan membuatkannya sedar akan betapa tidak adilnya PKR terhadap harapan rakyat. Bila semakin banyak keburukan yang dilihatnya maka dia mahu meninggalkan PKR dan kembali bersama kami iaitu rakan-rakan lamanya di dalam PAS. Tetapi bagaimana dia mahu kembali bila kami sendiri pun pening-pening lalat dengan gelagat orang-orang PAS yang kini dah tak berapa Islam walaupun mengaku lebih Islam berbanding orang lain.

Diharapkan pemimpin PR lebih cerdik di masa depan dan lebih memikirkan rakyat yang memerlukan bantuan mereka. Janganlah difikirkan diri sendiri sahaja. Kalau dah buat salah tu, mengaku sajalah. Jangan nak berdolak-dalik atau nak buat kerja bodoh lagi. Kalau pemimpin PR sibuk boikot Utusan Malaysia, jangan sampai kerajaan boikot media PR dengan cara mengharam atau membatalkan permit.

Pemimpin PR, tolonglah cerdik sikit. Sikit pun tak apa...

P/S : Aku baca semua akhbar kecuali yang berbahasa Cina dan Tamil. Tapi media PKR aku tak minat...

Read more...

Rabu, Oktober 22, 2008

Songkok Punya Pasal...

"Tak guna betul pejabat kadi tu," kawan aku yang bernama Mat itu menumbuk tiang wakaf di depan surau sewaktu kami duduk menunggu masuknya waktu Isyak malam tadi.

"Apasal pulak engkau ni?" aku bertanya kehairanan.

"Dah la lambat sangat proses kad nikah aku. Sekarang reject pulak," kata Mat.

"Kad nikah pun boleh kena reject jugak ke? Engkau nikah sindiket kot?" aku mengusik Mat yang tengah bengang tu.

"Sindiket kepala hotak kau. Kau sendiri yang jadik driver aku masa tu," Mat menambah. Betullah aku jadi driver tak rasmi dia masa akad nikah hari tu. Dah hampir 5 bulan lepas.

"Abis tu, apa masalahnya?" aku bertanya kerana belum jelas dengan masalah kad akuan nikah si Mat itu.

"Aku punya gambar yang kena reject," Mat memberitahu. Suaranya kembali kendur.

"Gambar? Engkau bagi gambar apa?" aku buat-buat tak faham. Padahal tentulah berkaitan gambar pasport yang diserahkan semasa akad nikah dulu tu.

"Gambar aku la. Pejabat kadi minta gambar yang pakai songkok," Mat kembali meninggikan suaranya.

"Abis tu?"

"Gambar aku hari tu pakai kopiah," Mat tersengih-sengih.

"Woit!!! Apasal pulak engkau pakai kopiah? Pakai songkok la," aku terkejut dengan kenyataannya tu. Apahal pulak beri gambar pakai kopiah?

"Aku orang PAS, mesti la pakai kopiah! Orang UMNO je yang pakai songkok!" Mat memarahi aku. Ni yang aku malas nak melayan orang gila politik berbual ni. Banyak benda yang bodoh berbanding yang cerdik.

"Menteri Besar Perak orang UMNO jugak ye?" aku bertanya sinis. Maklumlah, MB Perak selalu pakai songkok. Mat terkebil-kebil merenungku.

"Sekarang ni ramai pemimpin kita yang pakai songkok. Kalau nak sebut nama, memang tak terkira. Engkau tau tak asal-usul songkok ni?" aku bertanya soalan budak tadika pada Mat.

"Entah," pendek je jawapan Mat. Jawapan yang mudah bila tak nak berfikir.

"Songkok ni pakaian Melayu. Masa zaman Hang Tuah dulu, orang Melayu lilit kain di kepala. Kalau orang besar-besar pakai destar atau tengkolok. Bila masuk zaman British, orang Melayu pakai songkok. Engkau bangsa apa?" Entah betul, entah tidak cerita aku ni. Saja untuk buat si Mat ni faham maksud aku.

"Tapi aku orang PAS. Orang PAS mesti tetap dengan pendiriannya. PAS pakai kopiah. UMNO pakai songkok!!!" Mat menyuarakan kata-kata semangat sambil mendabik dada.

"Tak payah la. Bos-bos (pemimpin PAS) kita pun tak tetap pendirian. Dulu kata tak boleh bersahabat dengan parti agama lain tapi sekarang kita sendiri yang buat. Dulu cakap nak buat negeri kebajikan tapi sampai sekarang belum buat apa-apa," aku menambah sedikit pedas. Bengang jugak aku dibuatnya bila hal songkok kopiah pun jadi hal politik jugak.

"Kalau kad nikah engkau tak ada, macam mana engkau nak buktikan engkau dah kawin? Kalau kena operasi cegah maksiat, penat engkau nak menjawab," aku menambah lagi.

"Ye la, esok aku pergi buat gambar baru," Mat mengangguk sambil tersengih macam kerang busuk.

Apa susahnya pakai songkok?

P/S : Songkok bukan lambang parti tapi lambang bangsa Melayu. Harap maklum...

Read more...

Selasa, Oktober 21, 2008

Pemimpin Oh Pemimpin...

Menyampah sungguh bila aku tengok persidangan Parlimen dalam berita. Parti pencadang dan parti pembangkang asyik bertikam lidah je. Itu sajakah kerjanya dalam Dewan Rakyat? Wakil rakyat tu diundi oleh rakyat untuk bergaduh dan tunjuk kuat dalam dewan? Kalau ada pengundi yang suruh wakil rakyatnya menyalak macam anjing liar dalam Dewan Rakyat tu hanyalah puak-puak yang bukan dari jenis baik-baik saja.

Jika ada pembentangan sama ada pembentukan dasar negara, undang-undang atau belanjawan negara pun tetap tak habis dengan bertikam lidah. Katakanlah pihak pencadang membentangkan sesuatu, pihak pembangkang tetap akan membangkang kerana itulah kerjanya pembangkang. Walau sebaik manapun pembentangan oleh pihak pencadang, pihak pembangkang tetap bangkit mengatakan ianya tak baik dan menyusahkan rakyat.

Tak ada gunanya kita mengundi jika mengharapkan wakil rakyat pilihan kita tu untuk membawa suara rakyat ke dalam Dewan Rakyat. Silap juga jika kita memilih seseorang yang kita rasakan baik tetapi tiba-tiba berubah menjadi tak baik dalam Dewan Rakyat. Selalunya entah suara siapa yang mereka bawa kerana langsung tidak seiring dengan kehendak kita. Kita tak suruh pun wakil rakyat tu maki-hamun orang lain tapi dia buat juga. Kita kena ingat, memilih pemimpin juga adalah ibadah. Jika kita tersalah pilih, rosaklah kita...

Dulu semasa pembentangan rang undang-undang DNA, pihak pembangkang membantah sekeras-kerasnya kerana ketua pembangkang 'ada masalah' dengan ujian DNA. Disebabkan ketua pembangkang takut pecah tembelang, maka baruanya ikut angin ketua pembangkang. Apalagi, membangkanglah mereka di dalam dewan. Ketua pembangkang tak payah nak menyalak kuat-kuat sebab ramai anjingnya yang tolong menyalak.

Bila membahaskan belanjawan negara, biarlah rasional. Pihak pencadang bagi cadangan tapi pembangkang asyik membangkang saja. Bukannya nak perbetulkan atau beri cadangan yang boleh memperkasakan belanjawan tu. Nak cakap hal ekonomi pun biarlah dengan ilmu sebab nampak bodoh sangat bila membangkang sesuatu tapi tak dapat beri cadangan. Malah segala dalil yang dinyatakan pun hanya air liur sampah. Memalukan.

Aku orang PAS dan aku mengundi PAS. Aku tak pernah mengamanahkan wakil rakyat aku jadi pengikut Anwar. Aku tak mahu wakil rakyat aku membangkang sesuatu yang baik untuk rakyat.
Apa salahnya rang undang-undang DNA yang boleh membantu menyelesaikan banyak kes jenayah dan menolong orang-orang yang teraniaya contohnya kes bunuh, rogol dan sebagainya. Aku sendiri mengharapkan kerajaan menyimpan rekod DNA semua yang ada dalam Malaysia ni sama ada warganegara atau orang asing agar kita boleh buat rujukan segera jika ada keperluan terhadap DNA. Tapi parti yang aku sokong sanggup duduk di bawah seorang yang nak jadi big boss pakatan dan juga big boss Malaysia. Big boss tu pula takutkan ujian DNA.

Ada seorang blogger yang meletakkan dirinya hebat dalam dunia blog ni (berbanding aku yang hanya blogger kecil dalam dunia blog yang luas...) mencadangkan agar menterbalikkan Jalur Gemilang hanya dengan alasan bahawa dasar kerajaan zalim kepada rakyat. Zalim apa? Kerana melaksanakan sistem layan diri di stesen minyak? Dia kasihankan rakyat tempatan yang kononnya akan kehilangan kerja atau dia sayangkan pekerja asing yang menguasai kerja di stesen minyak?

Sememangnya kerajaan perlu buat begitu sejak dari dulu lagi agar kerja rakyat tempatan terjamin. Pekerja asing kini banyak menguasai tugas penting di stesen minyak seperti juruwang dan penyelia sedangkan pekerja tempatan hanya jadi tukang cuci lantai dan tandas. Dengan dasar inilah nanti akan memberikan rakyat kita kerja yang lebih baik terutamanya selepas khidmat pekerja asing ditamatkan pada tahun 2010. Jadi, sebelum berniat nak terbalikkan Jalur Gemilang yang melambangkan maruah rakyat Malaysia, cubalah terbalikkan kereta blogger hebat yang bernombor Siam tu. Agaknya dia pun orang Siam. Sebab itulah dia tak sayangkan Jalur Gemilang. Malangnya ramai pula yang sanggup jadi anjing pengikut yang menterbalikkan Jalur Gemilang...

Bila mendengar wakil rakyat membahaskan belanjawan dalam Dewan Rakyat, banyak juga aku dengar mereka menyuarakan dalil membangkang yang kosong dan bodoh. Semua tak elok, semua menekan rakyat, semua burukkan ekonomi. Tapi bila diminta dalil-dalilnya, tersengih-sengih macam kerang busuk.

Satu sebab berlaku kenaikan harga barang dan peningkatan inflasi adalah disebabkan pemberian kerajaan kepada rakyat seperti kenaikan gaji kakitangan kerajaan, kenaikan pencen dan pelepasan cukai. Kenapa pihak pembangkang tak membangkang yang ni? Sekurang-kurangnya mintalah pihak pencadang untuk mempertimbangkan dengan hanya sedikit kenaikan demi untuk mengawal ekonomi. Tapi pembangkang tak mampu berfikir waras. Maka pencadang pun laksanakan pemberian yang telah menyebabkan inflasi melonjak tinggi. Kalaulah pihak pembangkang yang menjadi kerajaan, pasti keadaan akan jadi lebih teruk lagi berdasarkan janji ketuanya yang gila kuasa untuk menetapkan gaji pokok bagi pekerja swasta sebanyak RM1,500.00. Makin melompatlah harga barang...

P/s : Janji Anwar memang manis untuk semua penyokongnya. Nak beri macam-macam tapi pemberiannya tu sebenarnya lebih memburukkan keadaan negara dan ekonomi. Maklumlah, benda yang terlalu manis tu hanya akan memberikan penyakit kencing manis. Jangan sampai kena potong kaki...

Read more...

Helikopter...



Read more...

Datuk Shah Rukh Khan...


Read more...

Rabu, Oktober 15, 2008

Itulah Politik Namanya...

Sebuah karya yang penuh bermakna daripada Dr Mohd Asri, Mufti Perlis yang terkenal dengan keberaniannya menegur orang-orang kita yang selalu terlupa atau sengaja lupa.

Mengupas sikap kita dalam berpolitik hinggakan tidak mampu berfikir waras disebabkan mengutamakan politik kuasa lebih dari mengutamakan agama.

Harapan saya agar orang-orang kita akan sedar dan mula menggunakan otak dan akal fikiran. Itupun jika mereka ada otak...

Sila klik banner di bawah untuk melawat ke laman web Dr Asri...

Read more...

Rabu, Oktober 08, 2008

Replika Anwar : Apa Kata Pemuda PAS?

Pemuda PAS: Gambar Anwar bukan patung

Pemuda PAS Selangor berpendapat replika gergasi imej Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Caves tidak termasuk dalam kategori patung yang diharamkan dalam ajaran Islam.

"Dalam Islam, apa-apa pun, kalau berunsur pemujaan tidak boleh. Kedua, (kalau) berhala, tidak dipuja pun tidak boleh.

"Tetapi, (replika) itu hanyalah gambar besar untuk memperingati pemimpin. (Imej) itu bukan patung. Itu hanyalah gambar besar," kata ketua dewan itu Sallehen Mukhyi.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyatakan replika gergasi itu menunjukkan PKR mendewa-dewakan pemimpinnya, Sallehen berkata:

poster gergasi anwar ibrahim batu caves 061008"Yang beliau (Mohd Ali ) sensitif sangat kenapa? Meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara itu pun menyalahi akidah, (hukum) itu telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, dan itu memang jelas berbentuk manusia, (perkara) itu beliau tidak sibuk pula.”

Mohd Ali semalam turut menimbulkan persoalan sama ada pembinaan replika itu diterima oleh PAS sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Sallehen berkata, projek mendirikan gambar itu inisiatif penyokong Anwar sendiri dan oleh itu, sudah tentu kepimpinan tertinggi PAS tidak dimaklumkan.

"Malah saya rasa, Anwar sendiri pun tidak tahu (sebelum timbul kontroversi)," katanya.

Mengulas pandangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam yang dilaporkan berkata, gambar besar itu "membawa unsur keberhalaan dan perlu dihapuskan dengan segera", Sallehen berkata:

"Boleh jadi mufti (Perlis) patut datang tengok sendiri (replika itu)."

Sementara itu penduduk setempat bersedia untuk merobohkannya jika kontroversi berlarutan berhubung penegakan replika gergasi itu, kata pengelola projek tersebut R Viriya.

"Saya tidak mahu isu ini menjadi besar. Kalau dikaitkan dengan isu perkauman, saya pun tidak mahu buat.

"Saya hanya mahu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada orang Melayu dan (lagi pun) Deepavali pun sudah dekat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Deepavali akan disambut pada 27 Oktober.

Beliau mengulas kesediaan wakil rakyat PKR Batu Caves, Amiruddin Shari untuk menurunkan replika itu apabila permit kelulusannya yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang tamat tempohnya tidak lama lagi.

Viriya menambah, sebelum replika itu didirikan pada 28 September lalu, beliau pernah merujuk kepada rakan-rakannya yang berketurunan Melayu tetapi mereka menjelaskan "tidak salah" membina imej sedemikian.

Katanya lagi, beliau tidak mendapat sebarang aduan membantah daripada penduduk setempat dan hanya mengetahui kontroversi replika itu melalui media.

"Tiada teguran (daripada penduduk), hanya (pemimpin) Umno (di media) sahaja yang tegur," katanya.

Tambahnya, yang juga timbalan pengerusi persatuan penduduk Kampung Indian Settlement di Batu Caves, projek ini asalnya usaha sekumpulan penduduk di situ.

"Projek ini kita buat sendiri, ramai yang menyumbang. (Replika) ini bukan projek persatuan penduduk," kata Viriya.


Ulasan : Betulkah tidak haram? Jangan buat fatwa sebarangan. Apa kata kalau tiba-tiba ada pemimpin UMNO buat replika sebegitu, mungkin akan dilabelkan haram pula? Tapi mungkin pemimpin PAS yang akan buat replika terlebih dahulu sebab kita mempunyai lebih ramai penyokong kuat / fanatik berbanding UMNO. Nasihat untuk Sallehen Mukhyi, dahulukan agama sebelum mendahulukan politik dan jangan buat replika anda pula. Islam comes first!

Read more...

Replika Anwar : Apa Kata Mufti Perlis?

Mufti Perlis: Penyokong Anwar jangan taksub

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar tidak terlalu taksub hingga dilihat seolah-olah memuja pemimpin itu.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata tindakan penyokong Anwar membina replika setinggi 12.2 meter itu seolah-olah mereka terlalu mengagung-agungkannya.

“saya tak salahkan Anwar, bukan dia yang pasang gambar itu. Penyokong beliau itu jangan bertindak berlebih-lebihan ,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah beliau tindakan memasang replika tersebut perlu dihentikan segera kerana bimbang perkara itu akan menjadi satu amalan dalam masyarakat.

Dr. Mohd Asri berkata jika perkara tersebut dibiarkan masyarakat akan beranggapan ia sebagai sesuatu yang biasa.

“Kita tak mahu perkara ini jadi satu amalan dalam masyarakat. Sekarang gambar Anwar, lepas ini mungkin gambar pemimpin lain pula yang akan diagung-agungkan,” katanya.

Beliau berkata, para penyokong seseorang pemimpin itu boleh memuji mengenai kepimpinan dan juga idealisme pemimpin mereka.

“Kita patut puji sumbangan pemimpin kita, bukan dengan cara memuja mereka,” katanya.

Tegasnya umat Islam seharusnya menentang sebarang bentuk pembinaan patung dan mengelakkan sebarang unsur pemujaan.

“Mereka mungkin menidakkannya, tapi ia sebenarnya adalah unsur pemujaan melampau kerana jelas sekali tujuan mereka adalah untuk menyanjungi Anwar.

“Jadi replika itu perlu diturunkan segera dan ia merupakan satu pembaziran,” katanya.

Ditanya bagaimana dengan tindakan meletakkan gambar pemimpin pada sepanduk atau poster, beliau berkata ia bergantung tujuannya.

“Kita perlu lihat pada tujuannya dahulu. Contohnya gambar pemimpin pada poster pilihan raya, ia bertujuan memperkenalkan pemimpin itu.

“Tapi kalau bina replika sebesar itu apa pula maksudnya?” katanya.

Ulasan : Rasanya apa yang dikatakan oleh Mufti yang tersohor ini tidak akan diambil kisah sangat oleh orang-orang PKR. Maklumlah, mereka sendiri boleh membuat hukum berdasarkan kebijaksanaan mereka sendiri. Susah mahu menegur orang yang berlagak pandai...

Read more...

Selasa, Oktober 07, 2008

Dewa Anwar Di Batu Batu Caves


Poster (patung?) Dewa Anwar Makhal Sakhti telah didirikan di Batu Caves dan kini menjadi tumpuan rakyat terutamanya para fanatik Dewa Anwar.

Menurut wakil yang mendirikan poster tersebut :

Salam perjuangan dan reformasi

Kami terpanggil dengan isu poster gergasi DSAI di Batu Caves, Sesungguhnya apalah yang dikatakan patung, Bena atau Tugu, boleh kita bezakan semua ? Dalam masalah ini poster gergasi DSAI diperbuat dari kayu dan diwarnakan. Dan kami menyediakan poster gergasi ini untuk mengingati perjuangan dan kemenangan beliau.

Tentang penyembahan tidak mungkin terjadi sebab penyokong tetap dengan kalimah tauhid "Tiada Tuhan Melainkan Allah" . Hanya orang berfikiran sebaliknya yang berpegang pada berhala.. Tentang Pembiayaan poster gergasi ini diderma oleh orang perseorangan.

Pandai pula beliau memutar-belit agama untuk menghalalkan tindakan mereka. Begitulah jahil-tukil yang meletakkan agama terkemudian sekali selepas tindakannya.

Penyembahan mungkin tidak terjadi tetapi sanjungan yang melampau sehingga taksub adalah sesuatu yang dibimbangkan. Kalau tiada ketaksuban tentulah poster ini tidak didirikan, betulkan?

Read more...
Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.