"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahannam." [Surah an Nisaa’: 140]

Ahad, Mei 10, 2009

Rencana : Kriteria Profesional Dalam PAS

Oleh : Zulkiflee Bakar

SEMEMANGNYA tiada siapapun menafikan bahawa isu mengenai siapa yang layak menerajui Pas adalah satu isu lama seperti mana dihujahkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun dalam masa yang sama Abdul Hadi juga memahami masa sudah berubah, situasi sudah berubah dan kedudukan Pas juga sudah berubah. Parti itu kini dilihat salah sebuah parti yang kuat selepas ia bergabung bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Malah ketika ini, sudah ada impian yang besar di kalangan pemimpin-pemimpin Pas untuk menyusun barisan bagi mentadbir Malaysia. Mereka begitu yakin bahawa tsunami politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu akan berlanjutan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Justeru muktamar parti itu yang akan berlangsung pada bulan depan dianggap medan terbaik kepada pemimpin Pas tanpa mengira latar belakang mereka sama ada ulama atau profesional untuk menonjolkan diri. Sebenarnya pertembungan antara puak ulama dan profesional dalam Pas setiap kali pemilihan adalah perkara biasa dan ia sudah wujud sejak beberapa tahun lalu.


Namun apa yang tidak boleh dinafikan oleh Abdul Hadi ialah golongan profesional yang sedang bergerak dalam Pas sekarang bukanlah golongan profesional Pas seperti dulu. Sesetengah mereka sudah diresapi dengan sindrom mahukan kuasa dan kedudukan. Bagi mencapai cita-cita itu, golongan profesional yang terlibat sudah tidak lagi akan mempedulikan apa juga dasar parti termasuklah kenyataan-kenyataan yang menegaskan, kepimpinan tertinggi Pas terutamanya bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh ulama.

Sesetengah golongan profesional Pas sudah diresapi dengan budaya buruk yang dibawa oleh PKR iaitu mahu mendapatkan kuasa dengan apa cara sekali pun. Pas sememangnya memerlukan golongan profesional dan fakta ini tidak boleh dinafikan. Selama ini dengan bantuan golongan profesional juga, Pas mampu menarik sokongan rakyat terutamanya di kalangan masyarakat bukan Melayu, tetapi ini tidak bermakna semua golongan profesional dalam Pas layak diberikan kedudukan dan jawatan hanya semata-mata kerana mereka merasakan lebih baik daripada ulama. Pas memerlukan penyokong tulen di kalangan profesional, ertinya mereka yang menyertai Pas demi memperkukuhkan parti itu dan bukannya berebut kuasa politik.

Dulu, kita mungkin boleh melihat bahawa golongan profesional ikhlas menyertai Pas, mereka tidak mahu bersama-sama dengan UMNO kerana mereka yakin melalui Pas yang dipimpin oleh ulama, perjuangan ke arah menegakkan kepimpinan Islam akan terlaksana. Namun berikutan landskap politik yang sudah berubah, golongan profesional mula merasakan bahawa mereka perlu lebih dominan dalam Pas.

Malah golongan profesional yang sememangnya sudah ada dalam Pas pun turut mula dibelenggu oleh nafsu untuk berkuasa apabila melihat sekarang adalah saat terbaik mereka berada di barisan hadapan. Mereka terlalu yakin bahawa PRU13 adalah milik pembangkang. Justeru mereka mengatur strategi untuk memastikan dalam pemilihan kali ini sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden menjadi milik mereka. Melalui cara itu ia akan membolehkan secara perlahan-lahan mereka akan menolak penguasaan golongan ulama di dalam Pas yang kini dianggap oleh puak profesional ‘majoritinya sudah lanjut usia’.

Hakikatnya, kita memahami fakta bahawa kalaulah benar Pas memerlukan sokongan golongan profesional, biarlah ia adalah golongan profesional tulen, ertinya tidak diresapi dengan sebarang pengaruh luar. Mereka ingin memegang jawatan dalam Pas demi untuk memperkukuhkan Pas serta memastikan Pas adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang dan bukannya sekadar menjadi pengikut. Ia kerana jika latar belakang Pas diambil kira, Pas seharusnya menjadi ketua dalam pakatan pembangkang bukannya berada pada kedudukan nombor tiga selepas DAP apatah lagi PKR yang baru berusia setahun jagung.

Parti induk

Sebenarnya, Pas lebih diperlukan oleh PKR dan DAP kerana dalam pakatan tersebut Pas adalah parti induk Melayu, tanpa sokongan Pas, pakatan berkenaan tidak akan ke mana. Mahu tidak mahu, sementara Pas hanya sedikit sahaja memerlukan sokongan PKR dan DAP bagi meraih sokongan Melayu tetapi kedua-dua parti berkenaan lebih banyak memerlukan kehadiran Pas.

Persoalannya, siapakah yang meletakkan Pas ke tahap itu? Ulama atau profesional? Sudah tentulah jawapannya ulama, justeru ahli-ahli Pas perlu mempertahankan kedudukan ulama di samping tidak meminggirkan golongan profesional, tetapi golongan profesional yang hendak diberi tempat itu pula mestilah pemimpin Pas tulen yang tidak diresapi sebarang pengaruh luar apatah lagi dipalit dengan tanggapan daripada kumpulan Erdogan atau pro Anwar Ibrahim. Ini kerana biarpun senario politik negara sudah berubah ia tidak bermakna teraju Pas yang berteraskan kepada kepimpinan ulama perlu berubah. Selama ini rakyat pelbagai lapisan masyarakat menyokong Pas tanpa mengira sama ada parti itu dipimpin oleh ulama atau tidak, malah secara dasarnya mereka mengetahui bahawa Pas diterajui oleh ulama dan memperjuangkan dasar Islam. Malah bagi orang Melayu yang tidak menyokong UMNO, mereka melihat Pas sebagai alternatif dan sentiasa menyanjung tinggi kepimpinan ulama. Oleh itu adalah wajar jika ahli-ahli Pas terus memastikan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diterajui ulama dan terus menjadikan golongan profesional sebagai pembantu yang memperkukuhkan parti.

Ahli-ahli Pas tidak harus terperangkap dengan madah berhelah sesetengah kelompok profesional dalam parti itu yang sememangnya berhasrat untuk berkuasa menjelang PRU13. Oleh itu kepimpinan Pas perlu dipertahankan seadanya dan memastikan tidak ada mana-mana pihak yang cuba menggugat hanya kerana kuasa. Mereka tidak harus bergantung sangat kepada pendekatan syura seperti mana yang dinyatakan Abdul Hadi kerana pendekatan berkenaan seolah-olah kini semakin terhakis dalam Pas. Walaupun Abdul Hadi berkata, Pas akan konsisten dalam pentadbiran parti dengan mengamalkan semangat syura (kaedah rundingan untuk memilih barisan pemimpin tertinggi parti itu), namun percayalah laluan ke arah itu semakin berliku sejak Pas kini dilihat menjadi salah sebuah parti politik terkuat di negara ini.

Dalam membuat persediaan menghadapi situasi syura gagal dilaksanakan, ahli-ahli Pas yang akan berkumpul di Stadium Malawati, Shah Alam perlu menentukan dari sekarang keputusan yang akan mereka lakukan. Mereka berhak memilih siapa yang dimahukan tetapi pastikan keputusan yang dibuat jangan sampai ‘menyuntik virus-virus makhluk perosak’ ke dalam parti itu. Ingatlah, Pas adalah sebuah parti politik yang bergelut di dalam gelanggang merebut kedudukan dan kekuasaan, semakin kuat parti itu semakin hebat pertandingan dalam parti kerana ahli politik tetap ahli politik tanpa mengira dari parti siasah manapun.

0 comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin

Followers

Parti Islam Se-Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia

Islam Teras Perjuangan

Islam Teras Perjuangan

  ©Template by Dicas Blogger.